HCTM Lancar Projek SURI, Tingkat Akses Rawatan Kanser Payudara Sempena “Pink October” 2026

14 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Projek Perintis Program Navigasi Pesakit Barah Payudara (SURI) bersempena Program Kesedaran Kanser Payudara “Pink October” 2026 di Auditorium HCTM hari ini.

Inisiatif terbaharu ini direka khas untuk membantu pesakit melangkah sepanjang fasa rawatan dengan lebih tersusun. Langkah ini sekaligus mengatasi isu kelewatan rawatan, kekeliruan maklumat mahupun ketidaklancaran peralihan penjagaan.

Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin berkata, kanser payudara kekal sebagai barah utama yang paling kerap dihidapi wanita di Malaysia. Menurut beliau, pengesanan pada peringkat awal penting untuk meningkatkan kadar kesembuhan serta menawarkan pilihan rawatan yang lebih ringan.

“Masih ramai individu lewat mendapatkan pemeriksaan akibat rasa takut, stigma, kurang kesedaran atau kesukaran memahami sistem kesihatan. Oleh itu, usaha menyebarkan maklumat mengenai Pemeriksaan Payudara Sendiri (PTS), pemeriksaan klinikal dan mamografi perlu terus dipergiat,” kata beliau ketika merasmikan program berkenaan.

Beliau menambah, rawatan kanser payudara memerlukan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran seperti pembedahan, onkologi, radiologi, patologi, pemulihan dan sokongan psikososial. Justeru, Projek SURI terhasil daripada komitmen Jabatan Surgeri bersama unit-unit klinikal dan sokongan bagi memastikan setiap pesakit menerima penjagaan berpusatkan pesakit, selamat dan beretika.
Sebagai sebuah hospital pengajar, HCTM berhasrat menjadi peneraju amalan terbaik dalam penjagaan pesakit menerusi penerapan budaya pembelajaran berterusan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin dan Ketua Jabatan Surgeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi.

Program “Pink October” tahun ini memfokuskan usaha menghimpunkan pakar kesihatan, pesakit, penyintas dan masyarakat untuk memperkukuh sokongan serta memberikan harapan baharu kepada mereka yang terkesan.


 

Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1DnKsAeDGH/

HCTM Santuni Komuniti Felda Soeharto, Memperkasa Kesedaran Kesihatan Melalui Program KPT Prihatin Madani

14 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi kesihatan yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan berkualiti di hospital malah turun mendekati masyarakat melalui program KPT Prihatin MADANI sempena Karnival Sukan Nostalgia Anak Kampung, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Soeharto.

Program anjuran Jabatan Khidmat Pelanggan HCTM ini merupakan manifestasi komitmen institusi dalam memperluas akses kepada pendidikan dan saringan kesihatan asas sekali gus menyemai kesedaran bahawa pencegahan penyakit dan amalan hidup sihat perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian.

Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial serta penglibatan tiga orang Pegawai Perubatan, program ini turut mendapat sokongan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, FELDA dan komuniti setempat.

Pelbagai pengisian bermanfaat dilaksanakan termasuk saringan kesihatan asas, demonstrasi penjagaan kesihatan mulut dan gigi, demonstrasi cucian tangan serta kuiz kesihatan.
Turut hadir Encik Ahmad Zamri bin Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan mewakili Pengarah HCTM dan Encik Nazir bin Mohamad Pengarah AADK Selangor.

Program yang diselaraskan oleh Encik Abdul Hamid Ismail ini menghimpunkan 32 orang warga HCTM daripada pelbagai jabatan dan lapisan jawatan serta berjaya memberikan manfaat kepada lebih 150 orang peserta.

HCTM akan terus melangkah ke hadapan memperkukuh sinergi bersama komuniti dan memperluas inisiatif kesihatan yang inklusif demi kesejahteraan rakyat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1EijczZuoG/

HCTM di Sebalik Kesiapsiagaan Perubatan di Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang

8 Okt 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwakili oleh Jabatan Perubatan Kecemasan komited memberikan sokongan dalam penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia yang telah berlangsung pada 2-4 Oktober 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada kali ini.
Menyertai barisan hadapan Track Medical Services (TMS), seramai 6 orang kakitangan HCTM yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan Pembantu Khidmat Am bersama 122 orang petugas yang lain, telah dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk sentiasa bersiap sedia memberikan intervensi dan respons pantas demi keselamatan para pelumba serta kru sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.
Penglibatan pasukan ini mencerminkan komitmen HCTM dalam memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi acara bertaraf antarabangsa, merangkumi aspek respons kecemasan, sokongan perubatan serta pengurusan perubatan dan kesihatan sepanjang penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia.

 


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/14sy3hY7szn/

 


HCTM Anjur Program Gotong-Royong Perdana, Memperkasakan Amalan Kelestarian dan Piawaian Kualiti

7 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmennya dalam memelihara kebersihan, keceriaan, dan keselamatan persekitaran hospital menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Perdana HCTM 2026 yang berlangsung di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar.

YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dalam ucapannya berkata program ini bukan sahaja bertujuan membersih dan menceriakan kawasan hospital, malah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pematuhan standard Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), serta penerapan Amalan 5S/QE.

Menurut beliau, amalan 5S/QE di HCTM kini diperkasa dengan integrasi elemen moden seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendekatan Lean Management, serta amalan kelestarian (SD/ESG). Langkah ini dilihat berupaya meningkatkan kecekapan operasi, menjaga keselamatan warga kerja, dan memperkukuh imej hospital sebagai institusi kesihatan unggul.

“Inisiatif ini turut menyokong pelbagai piawaian antarabangsa seperti ISO 9001, ISO 45001, ISO 50001, dan ISO 14001, selain menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat bagi pesakit, pelawat, serta warga kerja hospital,” katanya.

Program gotong-royong anjuran Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu merupakan sebahagian daripada persediaan awal HCTM dalam menghadapi proses penilaian semula akreditasi MSQH yang dijadualkan pada tahun 2027. Antara penambahbaikan yang disasarkan merangkumi pembersihan kawasan kritikal, pelupusan dokumen serta aset yang tidak digunakan, dan pengurusan stor yang lebih sistematik. Selain itu, program ini turut menyemak papan tanda hospital bagi memastikan maklumat yang dipaparkan tepat serta seragam demi kemudahan pesakit dan pelawat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1BM6AthbXn/

Memperkasa Peranan Fisioterapi Dalam Menangani Penyakit Kardiovaskular dan Strok

27 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan telah menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2026 pada 26 September 2026 di Dewan Serbaguna, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Dalam ucapan utamanya, Dato’ Dr. Azmi Baharudin menegaskan bahawa penyakit kardiovaskular dan strok kekal sebagai penyumbang utama kematian serta ketidakupayaan di seluruh dunia. Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kardiovaskular mencatatkan anggaran 17.9 juta kematian setiap tahun, dengan lebih 85 peratus daripadanya berpunca daripada serangan jantung dan strok.

Sementara itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan faktor risiko seperti hipertensi, diabetes dan obesiti yang menjadi cabaran kesihatan kian serius dalam kalangan masyarakat. Strok yang dahulunya sering dikaitkan dengan warga emas kini semakin kerap menjejaskan golongan berusia produktif, sekali gus memberi impak besar kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.

Berdasarkan konteks ini, profesion fisioterapi memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan menyeluruh melalui aspek pencegahan dengan merancang senaman bagi mengawal tekanan darah dan risiko jantung, aspek pengurusan menerusi Program Rehabilitasi Kardiak untuk meningkatkan stamina serta mengelakkan kemasukan semula ke hospital dan aspek pemulihan dengan memanfaatkan prinsip neuroplastisiti bagi membantu pesakit strok membina semula pergerakan serta kembali berdikari. Secara keseluruhannya, profesion fisioterapi bukan sekadar memberikan rawatan selepas berlakunya kecederaan sebaliknya merupakan komponen kritikal yang merangkumi keseluruhan rantaian penjagaan kesihatan.

Bagi meraikan sambutan ini, aktiviti explorace telah dijalankan secara berkumpulan dengan menggabungkan cabaran fizikal, minda dan semangat kerjasama. Seramai 56 orang peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti ini untuk menguji stamina dan daya tahan, sekali gus meningkatkan kesihatan kardiovaskular, merangsang pergerakan aktif, mengasah kemahiran penyelesaian masalah serta memupuk semangat kerja berpasukan.

 


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/18EqzupUPy/

HCTM Hargai Bakti Warga Hospital, Seramai 485 Terima Anugerah Perkhidmatan

27 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan HCTM 2026 pada 25 September 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.

Majlis tersebut merupakan manifestasi penghargaan pengurusan universiti dan hospital terhadap komitmen, kesetiaan serta dedikasi warga hospital yang memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat. Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, YBhg. Prof. Dr. Ismanizan Ismail, yang mewakili Naib Canselor UKM.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Ismanizan menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada seramai 485 penerima anugerah pada malam tersebut. Daripada jumlah itu, seramai 310 staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 153 menerima Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun, manakala 22 menerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun.

Pada majlis tersebut, turut berlangsung simbolik pra pelancaran Rumah Perantaraan HCTM dan Studio HCTMTV yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Encik Ahmad Rizal Adnan.

Sebagai sebuah hospital pengajar, HCTM memikul tanggungjawab besar dalam menjaga nama dan reputasi UKM melalui kepakaran, profesionalisme, integriti serta sifat empati. Justeru, kualiti perkhidmatan perubatan tidak hanya diukur melalui kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya menerusi ihsan dan rasa tanggungjawab semasa melayani pesakit serta ahli keluarga mereka.

Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian oleh ARTISUKMA UKM, sesi 15 cabutan bertuah serta penyampaian Anugerah Pesona Anggun Kategori Lelaki dan Wanita. Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain @ Zakaria; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, YBhg. Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman; Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud; Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin; serta Pengerusi Jawatankuasa Majlis Anugerah Perkhidmatan HCTM merangkap Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Encik Mursidi Ahamad.

 


 

Galeri gambar: https://www.facebook.com/share/p/1c7UkMyv7p/

Unit Fisioterapi HCTM Ukir Kejayaan di MATCVS 2026

27 Sep 2026 2026, Berita

Disiplin Pembedahan dan Penjagaan Kritikal, Unit Fisioterapi yang diketuai oleh Dr. Katijjahbe Md Ali, terus melakar prestasi cemerlang dalam memacu perawatan terkehadapan bagi pesakit sternotomi. Menerusi kolaborasi strategik bersama Unit Kardiotorasik Surgeri, Jabatan Surgeri dan Unit Pemulihan Kardiorespiratori, Pusat Jantung dan Paru-paru, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pasukan ini berjaya memperkenalkan pendekatan pemulihan yang lebih inovatif dan berasaskan bukti saintifik.

Pada Kongres Tahunan 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘴𝘪𝘢𝘯 𝘈𝘴𝘴𝘰𝘤𝘪𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘛𝘩𝘰𝘳𝘢𝘤𝘪𝘤 𝘢𝘯𝘥 𝘊𝘢𝘳𝘥𝘪𝘰𝘷𝘢𝘴𝘤𝘶𝘭𝘢𝘳 𝘚𝘶𝘳𝘨𝘦𝘳𝘺 (MATCVS 2026) yang ke-26 di Sheraton Petaling Jaya baru-baru ini, pasukan tersebut telah membentangkan analisa awal kajian rintis Fasa II dan III yang prospektif, secara rawak dan terkawal bagi menilai keberkesanan intervensi 𝘌𝘢𝘳𝘭𝘺 𝘚𝘶𝘱𝘦𝘳𝘷𝘪𝘴𝘦𝘥 𝘐𝘯𝘤𝘳𝘦𝘮𝘦𝘯𝘵𝘢𝘭 𝘙𝘦𝘴𝘪𝘴𝘵𝘢𝘯𝘤𝘦 𝘛𝘳𝘢𝘪𝘯𝘪𝘯𝘨 (ESpIRiT) selepas pembedahan sternotomy .

Komitmen berterusan terhadap penyelidikan translasional ini terbukti apabila warga Unit Fisioterapi meraih tempat teratas dalam kategori 𝘠𝘰𝘶𝘯𝘨 𝘐𝘯𝘷𝘦𝘴𝘵𝘪𝘨𝘢𝘵𝘰𝘳 𝘈𝘸𝘢𝘳𝘥 (YIA) dan 𝘍𝘳𝘦𝘦 𝘗𝘢𝘱𝘦𝘳 𝘗𝘳𝘦𝘴𝘦𝘯𝘵𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 (𝘈𝘭𝘭𝘪𝘦𝘥 𝘏𝘦𝘢𝘭𝘵𝘩) di MATCVS 2026:

Tempat Pertama (YIA): Suriah Ahmad (Pegawai Pemulihan Anggota U9)
Kajian: “𝘌𝘢𝘳𝘭𝘺 𝘙𝘦𝘴𝘪𝘴𝘵𝘢𝘯𝘤𝘦 𝘌𝘹𝘦𝘳𝘤𝘪𝘴𝘦 𝘪𝘯 𝘵𝘩𝘦 𝘐𝘯𝘱𝘢𝘵𝘪𝘦𝘯𝘵 𝘚𝘦𝘵𝘵𝘪𝘯𝘨 𝘖𝘱𝘵𝘪𝘮𝘪𝘴𝘦𝘴 𝘜𝘱𝘱𝘦𝘳 𝘓𝘪𝘮𝘣 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘷𝘦𝘳𝘺 (𝘌𝘚𝘗𝘐𝘙𝘐𝘛): 𝘈 𝘙𝘢𝘯𝘥𝘰𝘮𝘪𝘴𝘦𝘥 𝘊𝘰𝘯𝘵𝘳𝘰𝘭𝘭𝘦𝘥 𝘛𝘳𝘪𝘢𝘭.”

Tempat Kedua (YIA): Pn. Nurdiyana Ismail (Pegawai Pemulihan Anggota U10)
Kajian: “𝘐𝘮𝘱𝘢𝘤𝘵 𝘰𝘧 𝘌𝘢𝘳𝘭𝘺 𝘚𝘶𝘱𝘦𝘳𝘷𝘪𝘴𝘦𝘥 𝘐𝘯𝘤𝘳𝘦𝘮𝘦𝘯𝘵𝘢𝘭 𝘙𝘦𝘴𝘪𝘴𝘵𝘢𝘯𝘤𝘦 𝘛𝘳𝘢𝘪𝘯𝘪𝘯𝘨 (𝘌𝘚𝘗𝘐𝘙𝘐𝘛) 𝘰𝘯 𝘗𝘴𝘺𝘤𝘩𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪𝘤𝘢𝘭 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘷𝘦𝘳𝘺 𝘍𝘰𝘭𝘭𝘰𝘸𝘪𝘯𝘨 𝘊𝘢𝘳𝘥𝘪𝘢𝘤 𝘚𝘶𝘳𝘨𝘦𝘳𝘺: 𝘈 𝘙𝘢𝘯𝘥𝘰𝘮𝘪𝘻𝘦𝘥 𝘊𝘰𝘯𝘵𝘳𝘰𝘭𝘭𝘦𝘥 𝘛𝘳𝘪𝘢𝘭 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘛𝘩𝘳𝘦𝘦-𝘔𝘰𝘯𝘵𝘩 𝘍𝘰𝘭𝘭𝘰𝘸-𝘜𝘱.”

Tempat Ketiga (YIA): Suriah Ahmad (Pegawai Pemulihan Anggota U9)
Kajian: “𝘊𝘭𝘪𝘯𝘪𝘤𝘢𝘭 𝘝𝘢𝘭𝘪𝘥𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘜𝘯𝘴𝘶𝘱𝘱𝘰𝘳𝘵𝘦𝘥 𝘜𝘱𝘱𝘦𝘳 𝘓𝘪𝘮𝘣 𝘌𝘹𝘦𝘳𝘤𝘪𝘴𝘦 𝘛𝘦𝘴𝘵 𝘵𝘰 𝘌𝘷𝘢𝘭𝘶𝘢𝘵𝘦 𝘍𝘶𝘯𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘷𝘦𝘳𝘺 𝘛𝘳𝘢𝘫𝘦𝘤𝘵𝘰𝘳𝘪𝘦𝘴 𝘈𝘧𝘵𝘦𝘳 𝘔𝘦𝘥𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘵𝘦𝘳𝘯𝘰𝘵𝘰𝘮𝘺: 𝘈 𝘔𝘶𝘭𝘵𝘪-𝘊𝘦𝘯𝘵𝘳𝘦 𝘖𝘣𝘴𝘦𝘳𝘷𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭 𝘚𝘵𝘶𝘥𝘺.”

Tempat Ketiga (Free Paper Presentation): Dr. Katijjahbe binti Md Ali, Ph.D (U12)
Kajian: “𝘚𝘢𝘧𝘦𝘵𝘺 𝘢𝘯𝘥 𝘍𝘦𝘢𝘴𝘪𝘣𝘪𝘭𝘪𝘵𝘺 𝘰𝘧 𝘌𝘢𝘳𝘭𝘺 𝘚𝘶𝘱𝘦𝘳𝘷𝘪𝘴𝘦𝘥 𝘐𝘯𝘤𝘳𝘦𝘮𝘦𝘯𝘵𝘢𝘭 𝘙𝘦𝘴𝘪𝘴𝘵𝘢𝘯𝘤𝘦 𝘛𝘳𝘢𝘪𝘯𝘪𝘯𝘨 𝘍𝘰𝘭𝘭𝘰𝘸𝘪𝘯𝘨 𝘔𝘦𝘥𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘵𝘦𝘳𝘯𝘰𝘵𝘰𝘮𝘺: 𝘗𝘳𝘦𝘭𝘪𝘮𝘪𝘯𝘢𝘳𝘺 𝘍𝘪𝘯𝘥𝘪𝘯𝘨𝘴 𝘧𝘳𝘰𝘮 𝘢 𝘙𝘢𝘯𝘥𝘰𝘮𝘪𝘴𝘦𝘥 𝘊𝘰𝘯𝘵𝘳𝘰𝘭𝘭𝘦𝘥 𝘛𝘳𝘪𝘢𝘭”

Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan atas dedikasi dan pencapaian membanggakan yang mengharumkan nama HCTM di peringkat kebangsaan.

 


Galeri gambar: https://www.facebook.com/share/p/18XAeF7Uey/

Kursus Pengurusan Kekerasan Dan Buli Perkukuh Keselamatan Warga Kerja Kesihatan

21 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), hari ini menganjurkan Kursus Pengurusan Kekerasan dan Buli Terhadap Pekerja Kesihatan bagi memperkukuh pengetahuan, kesedaran dan kemahiran warga kerja dalam menangani isu kekerasan serta buli di tempat kerja.

Kursus yang berlangsung selama dua hari itu telah diadakan di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, harmoni dan bebas daripada kekerasan, ancaman serta buli.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah HCTM, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, menegaskan bahawa setiap warga kerja berhak menjalankan tanggungjawab dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan bebas daripada sebarang bentuk kekerasan serta buli. Pada masa yang sama, setiap insiden perlu ditangani secara profesional, berstruktur dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Beliau turut menekankan bahawa isu buli di tempat kerja perlu diberikan perhatian serius kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk secara fizikal, verbal, ugutan, penghinaan, gangguan, intimidasi, pengasingan serta tingkah laku berulang yang boleh menjejaskan kesejahteraan warga kerja.

Kursus ini turut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai aspek penting dalam pengurusan insiden, termasuk Code Grey, early recognition, de-escalation, team response, MyHELP, Psychological First Aid serta peranan kepimpinan penyelia.

Penganjuran kursus ini diharapkan menjadi antara usaha berterusan HCTM dalam memperkukuh budaya keselamatan, kesejahteraan, saling menghormati dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja kesihatan, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat.

 


 

Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19e3Kqnc5R/

HCTM Dekati Masyarakat Hulu Selangor Melalui Program ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Surgeri dan Advanced Surgical Skills Center (ASSC) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ sempena Bulan Kesedaran Penyakit Vaskular Peringkat HCTM 2026, yang berlangsung pada 9 dan 10 September 2026 di Dewan Serbaguna & Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor.


Program yang dirasmikan oleh Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, itu merupakan inisiatif tahunan hospital dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit vaskular, khususnya berkaitan gejala, faktor risiko, pengesanan awal, pencegahan, penjagaan dan rawatan.


Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata program ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya di luar HCTM. Sebelum ini, program sama telah dilaksanakan di Daerah Manjung, Perak pada 2024 dan Daerah Mersing, Johor pada 2025, manakala Kuala Kubu Bharu telah dipilih sebagai destinasi sasaran bagi tahun ini.


Program selama dua hari yang bermula hari ini menawarkan pelbagai aktiviti kepada masyarakat setempat, termasuk saringan kesihatan percuma bagi penyakit salur darah dan buah pinggang, ceramah kesihatan serta sesi khidmat nasihat bersama pakar.


Masyarakat setempat berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan daripada pakar vaskular dan nefrologi, sekali gus mengetahui tahap kesihatan salur darah dan buah pinggang.


YBhg. Dato’ Dr. Azmi turut menyeru masyarakat agar menjadikan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai amalan serta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami tanda atau gejala berkaitan penyakit arteri dan vena.


Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Hospital Kuala Kubu Bharu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor (PKDHS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Hulu Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS), Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Daerah Hulu Selangor (JPNIN), dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).



Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1FK4DKGUyU/

HCTM Perkukuh Budaya Keselamatan Pesakit Melalui Program Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026

9 Sep 2026 2026, Berita

Sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Unit Kawalan Infeksi komitmen terhadap keselamatan pesakit menerusi penganjuran Program Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 Peringkat HCTM yang diadakan pada 9 September 2026, jam 2.30 petang bertempat di Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Dato Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM menegaskan bahawa keselamatan pesakit merupakan asas tunjang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan beretika yang berpusatkan kepada pesakit.

Menurut beliau, tema “Safe Care for Noncommunicable Diseases” dengan slogan “Safe Care for Life” yang diketengahkan amat bertepatan dengan cabaran perkhidmatan kesihatan masa kini, khususnya dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan serta pengurusan secara berterusan dalam jangka masa panjang.

“Keselamatan pesakit perlu diberikan perhatian pada setiap peringkat perjalanan rawatan, bermula daripada proses diagnosis, penggunaan ubat-ubatan, prosedur dan pembedahan sehinggalah kepada pemantauan serta peralihan penjagaan,” katanya.

Seluruh warga HCTM diseru agar sentiasa menilai semula amalan kerja seharian, khususnya dari aspek komunikasi, pengesahan identiti pesakit, ketepatan ubat, rawatan dan prosedur serta keberanian untuk bersuara sekiranya terdapat perkara yang boleh menjejaskan keselamatan pesakit.


Galeri foto: https://www.facebook.com/share/p/1Ju523kvZg/

1 2 3 … 5

Search

+