HCTM Perkasakan Kesejahteraan Warga Emas Komuniti PPR Desa Tun Razak Menerusi Karnival Kesihatan

2 Nov 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mendampingi masyarakat menerusi penganjuran Karnival Warga Emas dan Hari Bersama Komuniti PPR Desa Tun Razak 2026 yang berlangsung di PPR Desa Tun Razak hari ini.

Inisiatif program jangkauan komuniti ini dianjurkan oleh Unit Kesihatan Awam HCTM dengan kerjasama Jabatan Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan UKM, Pejabat Kesihatan Cheras, Persatuan Penduduk PPR Desa Tun Razak serta rakan strategik seperti Malaysian Relief Agency (MRA), Politeknik METrO, Projek Pondok Rahmat bagi mendekatkan perkhidmatan dan promosi kesihatan kepada masyarakat setempat.

Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dalam ucapannya semasa majlis penutup, menekankan bahawa Malaysia kini sedang menuju ke arah negara menua. Walau bagaimanapun, data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2025 menunjukkan hanya 14.7 peratus warga emas mencapai status penuaan sihat, manakala hampir 85 peratus hidup dengan sekurang-kurangnya satu penyakit kronik. Senario ini menuntut masyarakat untuk mengubah pemikiran daripada sekadar meniti usia kepada menua secara sihat, aktif dan sejahtera.

Bagi mencapai matlamat tersebut, tiga teras utama pengurusan kesihatan telah ditekankan. Teras pertama ialah amalan pemakanan sihat dan mesra bajet, di mana pengawasan pengambilan gula, garam, dan minyak serta pengutamaan serat dapat membantu mengawal penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Teras kedua pula memberi fokus kepada kesihatan mental dan pencegahan demensia. Beliau menarik perhatian terhadap laporan kebangsaan yang menunjukkan 9.8 peratus warga emas mengalami demensia dan kira-kira 770,800 orang (18.8 peratus) tinggal bersendirian. Sementara itu, teras ketiga menekankan kepentingan saringan kesihatan awal di peringkat komuniti.

Selain aktiviti saringan dan ceramah, program ini turut memperlihatkan keprihatinan sosial menerusi inisiatif Ziarah Kasih. Pasukan sukarelawan dan pakar perubatan HCTM menyantuni pesakit terlantar serta warga emas dengan menyampaikan Pek Jagaan Kesihatan yang mengandungi lampin pakai buang, blue sheet dan susu nutrisi, di samping pengagihan Bakul Makanan Sihat kepada ketua isi rumah B40.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1HxrBuWHR9/

HCTM Terima Sistem Terapi Oksigen Aliran Tinggi

30 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengorak langkah progresif dalam memperkasa perkhidmatan klinikal apabila menjadi Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama di Malaysia menerima sistem terapi oksigen aliran tinggi bagi menyokong pengurusan pesakit semasa prosedur endoskopi.

Sistem perubatan ini merupakan teknologi terapi oksigen aliran tinggi melalui kanula nasal yang membekalkan oksigen yang dipanaskan dan dilembapkan secara terkawal. Teknologi ini berpotensi mengekalkan pengoksigenan pesakit sepanjang prosedur, terutamanya bagi prosedur endoskopi yang memerlukan pemantauan rapi terhadap status pernafasan. Penggunaannya dilaksanakan berdasarkan penilaian klinikal, kesesuaian pesakit dan jenis prosedur yang dijalankan.

Penerimaan teknologi ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam memperkukuh infrastruktur perubatan moden, menyokong amalan klinikal berasaskan bukti serta meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan endoskopi untuk menghadapi keperluan penjagaan pesakit yang semakin kompleks.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan institusi hospital pengajar dalam meneroka dan mengadaptasi inovasi perubatan demi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan pesakit serta kecemerlangan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/18Uns6uLNX/

HCTM Terima Stroke Rehabilitation Certification (Advanced Level) oleh World Stroke Organisation (WSO) di Seoul, Korea Selatan

26 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah dan terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan negara apabila menjadi Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama yang menerima Stroke Rehabilitation Certification (Advanced Level) daripada World Stroke Organisation (WSO) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 23 Oktober 2026 yang lepas.

Inisiatif pensijilan oleh WSO ini mengiktiraf fasiliti kesihatan yang menyampaikan perkhidmatan rehabilitasi strok berkualiti tinggi, berstruktur, berasaskan bukti saintifik serta berpusatkan pesakit. Pengiktirafan tahap Advanced Level ini membuktikan HCTM memiliki kepakaran rehabilitasi strok yang tinggi, aktif dalam penyelidikan serta menyumbang secara mendalam kepada pendidikan, latihan kepakaran dan program mentoring.

Pensijilan ini merangkumi penilaian komprehensif terhadap 55 indikator utama iaitu 9 Indikator Peringkat Perkhidmatan yang merangkumi penambahbaikan kualiti, penyelidikan, pemantauan pencapaian, pembangunan kakitangan, dokumentasi dan komunikasi bersama pesakit dan 46 Indikator Penjagaan Pesakit yang merangkumi pelaksanaan rehabilitasi berasaskan kerjasama berpasukan, penetapan sasaran rehabilitasi, pengurusan komplikasi dan sokongan penyertaan pesakit dalam komuniti.

Pengiktirafan baharu ini melengkapkan pensijilan Advanced Level WSO Stroke Care Centre yang diterima HCTM sebelum ini memberi penekanan kepada rawatan fasa akut, pensijilan rehabilitasi ini pula memastikan kesinambungan penjagaan pesakit dari fasa pesakit dalam (inpatient), pesakit luar (outpatient), sehinggalah pesakit kembali berintegrasi dalam komuniti.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan HCTM dalam menyediakan perkhidmatan rawatan dan rehabilitasi strok yang holistik, berimpak tinggi dan bertaraf dunia demi kesejahteraan masyarakat.


Galeri Foto:

TASKA HCTM Rai Graduan Cilik Tahun 2026

15 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Graduasi TASKA HCTM Tahun 2026 di Auditorium, Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) hari ini. Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), yang hadir mewakili Pengarah HCTM.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Mursidi menekankan bahawa pendidikan awal merupakan fasa kritikal dalam membina asas perkembangan kanak-kanak. Beliau menjelaskan bahawa pada peringkat ini, kanak-kanak bukan sahaja belajar asas akademik seperti mengenal huruf dan nombor, malah dibimbing untuk berkomunikasi, mengurus emosi, berdikari serta membina keyakinan diri sebagai persediaan melangkah ke alam persekolahan.

“Kejayaan anak-anak pada usia ini tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut dilihat melalui keberanian mencuba, kesediaan berkongsi, dan kesungguhan belajar daripada pengalaman,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu serta seluruh warga pendidik TASKA HCTM atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menjayakan majlis tersebut disamping dedikasi mereka yang berterusan terhadap perkembangan anak-anak didik TASKA.

Beliau berharap agar pengalaman dan kenangan manis sepanjang berada di TASKA HCTM akan menjadi bekalan berharga buat anak-anak graduan untuk membesar sebagai individu yang yakin, berdikari, berdaya tahan dan berakhlak mulia pada masa hadapan.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19F8JsedHM/

HCTM Komited Wujudkan Persekitaran Kerja Sihat Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026

15 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Jabatan Psikiatri hari ini telah menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.

Mengangkat tema tahun ini, “Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change” (Pengalaman Hidup Didengari: Suara Sebenar, Perubahan Sebenar), sambutan ini memberi penekanan kepada kepentingan mendengar kisah dan cabaran setiap individu tanpa sikap menghakimi mahupun membuat andaian semata-mata. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, mewakili Pengarah HCTM.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Zairul Azwan menekankan bahawa kesihatan mental merupakan sebahagian daripada kesejahteraan diri yang amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Menurut beliau, cabaran hidup moden seperti tekanan kerja, kos sara hidup, tanggungjawab keluarga serta pengaruh media sosial sering membuatkan seseorang memikul beban emosi yang berat di sebalik senyuman harian.

“Sebagai warga kerja dalam perkhidmatan kesihatan, kita memikul tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih prihatin, selamat dan saling menyokong. Kesihatan mental bukan tanggungjawab individu atau Jabatan Psikiatri semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab kita bersama,” kata Dr. Zairul Azwan.

Beliau turut menyeru agar budaya kerja yang positif terus dibina supaya setiap individu berasa selamat untuk menyuarakan kesukaran serta tidak ragu-ragu untuk memohon bantuan.

Majlis turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Prof. Dr. Nik Ruzyanei Nik Jaafar, Ketua Jabatan Psikiatri, Datin Dr. Afrah binti Mohd Yasin, Pengerusi Jawatankuasa Program serta pegawai-pegawai kanan dan warga kerja HCTM.

 


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19sefWpAac/

 

 

HCTM Lancar Projek SURI, Tingkat Akses Rawatan Kanser Payudara Sempena “Pink October” 2026

14 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Projek Perintis Program Navigasi Pesakit Barah Payudara (SURI) bersempena Program Kesedaran Kanser Payudara “Pink October” 2026 di Auditorium HCTM hari ini.

Inisiatif terbaharu ini direka khas untuk membantu pesakit melangkah sepanjang fasa rawatan dengan lebih tersusun. Langkah ini sekaligus mengatasi isu kelewatan rawatan, kekeliruan maklumat mahupun ketidaklancaran peralihan penjagaan.

Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin berkata, kanser payudara kekal sebagai barah utama yang paling kerap dihidapi wanita di Malaysia. Menurut beliau, pengesanan pada peringkat awal penting untuk meningkatkan kadar kesembuhan serta menawarkan pilihan rawatan yang lebih ringan.

“Masih ramai individu lewat mendapatkan pemeriksaan akibat rasa takut, stigma, kurang kesedaran atau kesukaran memahami sistem kesihatan. Oleh itu, usaha menyebarkan maklumat mengenai Pemeriksaan Payudara Sendiri (PTS), pemeriksaan klinikal dan mamografi perlu terus dipergiat,” kata beliau ketika merasmikan program berkenaan.

Beliau menambah, rawatan kanser payudara memerlukan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran seperti pembedahan, onkologi, radiologi, patologi, pemulihan dan sokongan psikososial. Justeru, Projek SURI terhasil daripada komitmen Jabatan Surgeri bersama unit-unit klinikal dan sokongan bagi memastikan setiap pesakit menerima penjagaan berpusatkan pesakit, selamat dan beretika.
Sebagai sebuah hospital pengajar, HCTM berhasrat menjadi peneraju amalan terbaik dalam penjagaan pesakit menerusi penerapan budaya pembelajaran berterusan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin dan Ketua Jabatan Surgeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi.

Program “Pink October” tahun ini memfokuskan usaha menghimpunkan pakar kesihatan, pesakit, penyintas dan masyarakat untuk memperkukuh sokongan serta memberikan harapan baharu kepada mereka yang terkesan.


 

Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1DnKsAeDGH/

HCTM Santuni Komuniti Felda Soeharto, Memperkasa Kesedaran Kesihatan Melalui Program KPT Prihatin Madani

14 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi kesihatan yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan berkualiti di hospital malah turun mendekati masyarakat melalui program KPT Prihatin MADANI sempena Karnival Sukan Nostalgia Anak Kampung, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Soeharto.

Program anjuran Jabatan Khidmat Pelanggan HCTM ini merupakan manifestasi komitmen institusi dalam memperluas akses kepada pendidikan dan saringan kesihatan asas sekali gus menyemai kesedaran bahawa pencegahan penyakit dan amalan hidup sihat perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian.

Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial serta penglibatan tiga orang Pegawai Perubatan, program ini turut mendapat sokongan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, FELDA dan komuniti setempat.

Pelbagai pengisian bermanfaat dilaksanakan termasuk saringan kesihatan asas, demonstrasi penjagaan kesihatan mulut dan gigi, demonstrasi cucian tangan serta kuiz kesihatan.
Turut hadir Encik Ahmad Zamri bin Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan mewakili Pengarah HCTM dan Encik Nazir bin Mohamad Pengarah AADK Selangor.

Program yang diselaraskan oleh Encik Abdul Hamid Ismail ini menghimpunkan 32 orang warga HCTM daripada pelbagai jabatan dan lapisan jawatan serta berjaya memberikan manfaat kepada lebih 150 orang peserta.

HCTM akan terus melangkah ke hadapan memperkukuh sinergi bersama komuniti dan memperluas inisiatif kesihatan yang inklusif demi kesejahteraan rakyat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1EijczZuoG/

HCTM di Sebalik Kesiapsiagaan Perubatan di Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang

8 Okt 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwakili oleh Jabatan Perubatan Kecemasan komited memberikan sokongan dalam penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia yang telah berlangsung pada 2-4 Oktober 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada kali ini.
Menyertai barisan hadapan Track Medical Services (TMS), seramai 6 orang kakitangan HCTM yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan Pembantu Khidmat Am bersama 122 orang petugas yang lain, telah dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk sentiasa bersiap sedia memberikan intervensi dan respons pantas demi keselamatan para pelumba serta kru sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.
Penglibatan pasukan ini mencerminkan komitmen HCTM dalam memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi acara bertaraf antarabangsa, merangkumi aspek respons kecemasan, sokongan perubatan serta pengurusan perubatan dan kesihatan sepanjang penganjuran Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Malaysia.

 


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/14sy3hY7szn/

 


HCTM Anjur Program Gotong-Royong Perdana, Memperkasakan Amalan Kelestarian dan Piawaian Kualiti

7 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmennya dalam memelihara kebersihan, keceriaan, dan keselamatan persekitaran hospital menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Perdana HCTM 2026 yang berlangsung di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar.

YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dalam ucapannya berkata program ini bukan sahaja bertujuan membersih dan menceriakan kawasan hospital, malah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pematuhan standard Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), serta penerapan Amalan 5S/QE.

Menurut beliau, amalan 5S/QE di HCTM kini diperkasa dengan integrasi elemen moden seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendekatan Lean Management, serta amalan kelestarian (SD/ESG). Langkah ini dilihat berupaya meningkatkan kecekapan operasi, menjaga keselamatan warga kerja, dan memperkukuh imej hospital sebagai institusi kesihatan unggul.

“Inisiatif ini turut menyokong pelbagai piawaian antarabangsa seperti ISO 9001, ISO 45001, ISO 50001, dan ISO 14001, selain menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat bagi pesakit, pelawat, serta warga kerja hospital,” katanya.

Program gotong-royong anjuran Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu merupakan sebahagian daripada persediaan awal HCTM dalam menghadapi proses penilaian semula akreditasi MSQH yang dijadualkan pada tahun 2027. Antara penambahbaikan yang disasarkan merangkumi pembersihan kawasan kritikal, pelupusan dokumen serta aset yang tidak digunakan, dan pengurusan stor yang lebih sistematik. Selain itu, program ini turut menyemak papan tanda hospital bagi memastikan maklumat yang dipaparkan tepat serta seragam demi kemudahan pesakit dan pelawat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1BM6AthbXn/

Memperkasa Peranan Fisioterapi Dalam Menangani Penyakit Kardiovaskular dan Strok

27 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan telah menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2026 pada 26 September 2026 di Dewan Serbaguna, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Dalam ucapan utamanya, Dato’ Dr. Azmi Baharudin menegaskan bahawa penyakit kardiovaskular dan strok kekal sebagai penyumbang utama kematian serta ketidakupayaan di seluruh dunia. Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kardiovaskular mencatatkan anggaran 17.9 juta kematian setiap tahun, dengan lebih 85 peratus daripadanya berpunca daripada serangan jantung dan strok.

Sementara itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan faktor risiko seperti hipertensi, diabetes dan obesiti yang menjadi cabaran kesihatan kian serius dalam kalangan masyarakat. Strok yang dahulunya sering dikaitkan dengan warga emas kini semakin kerap menjejaskan golongan berusia produktif, sekali gus memberi impak besar kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.

Berdasarkan konteks ini, profesion fisioterapi memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan menyeluruh melalui aspek pencegahan dengan merancang senaman bagi mengawal tekanan darah dan risiko jantung, aspek pengurusan menerusi Program Rehabilitasi Kardiak untuk meningkatkan stamina serta mengelakkan kemasukan semula ke hospital dan aspek pemulihan dengan memanfaatkan prinsip neuroplastisiti bagi membantu pesakit strok membina semula pergerakan serta kembali berdikari. Secara keseluruhannya, profesion fisioterapi bukan sekadar memberikan rawatan selepas berlakunya kecederaan sebaliknya merupakan komponen kritikal yang merangkumi keseluruhan rantaian penjagaan kesihatan.

Bagi meraikan sambutan ini, aktiviti explorace telah dijalankan secara berkumpulan dengan menggabungkan cabaran fizikal, minda dan semangat kerjasama. Seramai 56 orang peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti ini untuk menguji stamina dan daya tahan, sekali gus meningkatkan kesihatan kardiovaskular, merangsang pergerakan aktif, mengasah kemahiran penyelesaian masalah serta memupuk semangat kerja berpasukan.

 


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/18EqzupUPy/

1 2 3 … 5

Search

+