HCTM Anjur Program Gotong-Royong Perdana, Memperkasakan Amalan Kelestarian dan Piawaian Kualiti

7 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmennya dalam memelihara kebersihan, keceriaan, dan keselamatan persekitaran hospital menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Perdana HCTM 2026 yang berlangsung di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar.

YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dalam ucapannya berkata program ini bukan sahaja bertujuan membersih dan menceriakan kawasan hospital, malah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pematuhan standard Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), serta penerapan Amalan 5S/QE.

Menurut beliau, amalan 5S/QE di HCTM kini diperkasa dengan integrasi elemen moden seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendekatan Lean Management, serta amalan kelestarian (SD/ESG). Langkah ini dilihat berupaya meningkatkan kecekapan operasi, menjaga keselamatan warga kerja, dan memperkukuh imej hospital sebagai institusi kesihatan unggul.

“Inisiatif ini turut menyokong pelbagai piawaian antarabangsa seperti ISO 9001, ISO 45001, ISO 50001, dan ISO 14001, selain menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat bagi pesakit, pelawat, serta warga kerja hospital,” katanya.

Program gotong-royong anjuran Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu merupakan sebahagian daripada persediaan awal HCTM dalam menghadapi proses penilaian semula akreditasi MSQH yang dijadualkan pada tahun 2027. Antara penambahbaikan yang disasarkan merangkumi pembersihan kawasan kritikal, pelupusan dokumen serta aset yang tidak digunakan, dan pengurusan stor yang lebih sistematik. Selain itu, program ini turut menyemak papan tanda hospital bagi memastikan maklumat yang dipaparkan tepat serta seragam demi kemudahan pesakit dan pelawat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1BM6AthbXn/

Search

+