HCTM Komited Wujudkan Persekitaran Kerja Sihat Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Jabatan Psikiatri hari ini telah menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.
Mengangkat tema tahun ini, “Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change” (Pengalaman Hidup Didengari: Suara Sebenar, Perubahan Sebenar), sambutan ini memberi penekanan kepada kepentingan mendengar kisah dan cabaran setiap individu tanpa sikap menghakimi mahupun membuat andaian semata-mata. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM, mewakili Pengarah HCTM.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Zairul Azwan menekankan bahawa kesihatan mental merupakan sebahagian daripada kesejahteraan diri yang amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Menurut beliau, cabaran hidup moden seperti tekanan kerja, kos sara hidup, tanggungjawab keluarga serta pengaruh media sosial sering membuatkan seseorang memikul beban emosi yang berat di sebalik senyuman harian.
“Sebagai warga kerja dalam perkhidmatan kesihatan, kita memikul tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih prihatin, selamat dan saling menyokong. Kesihatan mental bukan tanggungjawab individu atau Jabatan Psikiatri semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab kita bersama,” kata Dr. Zairul Azwan.
Beliau turut menyeru agar budaya kerja yang positif terus dibina supaya setiap individu berasa selamat untuk menyuarakan kesukaran serta tidak ragu-ragu untuk memohon bantuan.
Majlis turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Prof. Dr. Nik Ruzyanei Nik Jaafar, Ketua Jabatan Psikiatri, Datin Dr. Afrah binti Mohd Yasin, Pengerusi Jawatankuasa Program serta pegawai-pegawai kanan dan warga kerja HCTM.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19sefWpAac/
