HCTM Santuni Komuniti Felda Soeharto, Memperkasa Kesedaran Kesihatan Melalui Program KPT Prihatin Madani

14 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi kesihatan yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan berkualiti di hospital malah turun mendekati masyarakat melalui program KPT Prihatin MADANI sempena Karnival Sukan Nostalgia Anak Kampung, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Soeharto.

Program anjuran Jabatan Khidmat Pelanggan HCTM ini merupakan manifestasi komitmen institusi dalam memperluas akses kepada pendidikan dan saringan kesihatan asas sekali gus menyemai kesedaran bahawa pencegahan penyakit dan amalan hidup sihat perlu menjadi budaya dalam kehidupan seharian.

Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial serta penglibatan tiga orang Pegawai Perubatan, program ini turut mendapat sokongan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, FELDA dan komuniti setempat.

Pelbagai pengisian bermanfaat dilaksanakan termasuk saringan kesihatan asas, demonstrasi penjagaan kesihatan mulut dan gigi, demonstrasi cucian tangan serta kuiz kesihatan.
Turut hadir Encik Ahmad Zamri bin Noordin, Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan mewakili Pengarah HCTM dan Encik Nazir bin Mohamad Pengarah AADK Selangor.

Program yang diselaraskan oleh Encik Abdul Hamid Ismail ini menghimpunkan 32 orang warga HCTM daripada pelbagai jabatan dan lapisan jawatan serta berjaya memberikan manfaat kepada lebih 150 orang peserta.

HCTM akan terus melangkah ke hadapan memperkukuh sinergi bersama komuniti dan memperluas inisiatif kesihatan yang inklusif demi kesejahteraan rakyat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1EijczZuoG/

Search

+