Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM
Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1C9CCcU9Z2/
Melangkah ke tahun 2026, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin telah menggariskan empat fokus utama sebagai teras hala tuju hospital ke arah kecemerlangan berterusan pada Bicara Pengarah sempena Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.1/2026, 4 Februari 2026. Fokus tersebut merangkumi pemerkasaan penggunaan teknologi digital, pengukuhan amalan kelestarian selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pemantapan nilai integriti, serta keterlibatan aktif dalam khidmat masyarakat.
Berdasarkan amanatnya yang telah disampaikan, beliau berharap seluruh warga HCTM terus mara ke hadapan dengan tujuan yang jelas dan berfokus. Pemanfaatan teknologi digital seperti myHCTM dan ePesakit@HCTM perlu diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, seiring dengan pengamalan prinsip kelestarian dan pengukuhan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan. Keempat-empat fokus ini menjadi pemacu kepada usaha bersepadu HCTM dalam merealisasikan visi dan misi hospital, demi perkhidmatan kesihatan yang mampan, berintegriti dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja atas dedikasi dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang perjalanan ini. Majlis ini juga telah berlangsung pelancaran Podcast ‘Bila ST Bersuara Musim ke-2’, Simbolik Penyerahan Kunci Bilik Berduka, Penyerahan Sijil Anugerah Bitara Utama UKM, penyerahan Sijil Penghargaan Jabatan, Pelancaran Buku Mortaliti dan Morbiditi serta penyerahan Hadiah Pemenang Pertandingan Mencipta Slogan HCTM. Sokongan dan kerjasama padu semua pihak, HCTM diyakini akan terus maju ke hadapan dan kekal sebagai institusi kesihatan yang menjadi kebanggaan bersama.
Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1C9pphbcNg/
Majlis Perasmian Seminar Pemerkasaan Profesion Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Siri 2 Tahun 2026 telah diadakan pada 8 Januari 2026, bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Seminar bertemakan “Memartabatkan Profesion Penolong Pegawai Perubatan di Era Digital dan Globalisasi” ini dianjurkan oleh Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan HCTM (U4P). Ia bertujuan menjadi platform untuk membincangkan hala tuju kerjaya PPP, selain menjadi wadah bagi penyampaian peranan Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya serta Persatuan Pembantu Perubatan, Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.
Majlis ini dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) yang mewakili Pengarah HCTM. Dalam ucapan perasmian, Prof. Madya Dr. Jamari berkata bahawa Penolong Pegawai Perubatan (PPP) merupakan aset penting dalam sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara. Beliau berkata, PPP memainkan peranan besar dalam memastikan kesinambungan rawatan, keselamatan pesakit serta keberkesanan perkhidmatan klinikal.
Beliau juga turut menekankan, pemerkasaan profesion PPP harus dilihat secara menyeluruh, bukan hanya dari segi tugas klinikal, tetapi turut melibatkan pembangunan kompetensi profesional, kepimpinan, integriti, literasi digital serta laluan kerjaya yang jelas dan progresif.
Turut hadir dalam majlis, YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Azman Wan Abdullah, Pengerusi Persatuan Pembantu Perubatan Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, YBrs. Encik Shafrizam Abdul Wahab, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, YBrs. Encik Abdul Wahid Jusoh, Ketua Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan HCTM (U4P), YBrs. Encik Fazuddin Zakaria, Ketua Program Seminar Pemerkasaan Profesional Penolong Pegawai Perubatan Siri 2 Tahun 2026, dan peserta seminar.
Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1AJ7uUmVbd/