Membudayakan Kebersihan Tangan demi Keselamatan Pesakit, HCTM Anjur Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2026

19 Ogo 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia telah melancarkan Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia (World Hand Hygiene Day) peringkat hospital pada 19 Ogos 2026, jam 9.00 pagi tadi dalam satu majlis ringkas di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Sambutan tahunan ini bukan sahaja satu simbolik peringatan, malah merupakan platform strategik untuk memperkukuh budaya keselamatan pesakit serta meningkatkan mutu penjagaan kesihatan yang berterusan. Amalan kebersihan tangan adalah elemen yang paling asas namun paling kritikal dalam memutus rantaian jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (Healthcare-Associated Infections atau HAIs).

“Sama ada doktor, jururawat, ahli farmasi, pegawai sains, pembantu perawatan kesihatan, kakitangan sokongan mahupun pelawat, setiap individu memikul tanggungjawab untuk mengamalkan kebersihan tangan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kita semua memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian penularan mikroorganisma”, ucapnya dalam majlis perasmian tersebut. 

Dato’ Dr. Azmi juga menyeru seluruh warga HCTM agar terus menghayati dan mengamalkan prinsip “My Five Moments for Hand Hygiene” yang disyorkan oleh WHO. Amalan ini perlu disokong melalui program pendidikan berterusan, pemantauan berkesan, serta pembentukan sikap saling mengingatkan dalam kalangan rakan sekerja.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Unit Kawalan Infeksi yang dipimpin oleh Dr. Sharifah Azura Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Program, serta ahli yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan (Timbalan Pengarah Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman (Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubatan), dan Encik Mursidi Ahamad (Timbalan Pengarah Pentadbiran).

 


 

Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1XBt9ctgFN/

 

Search

+