HCTM Dekati Masyarakat Hulu Selangor Melalui Program ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Surgeri dan Advanced Surgical Skills Center (ASSC) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ sempena Bulan Kesedaran Penyakit Vaskular Peringkat HCTM 2026, yang berlangsung pada 9 dan 10 September 2026 di Dewan Serbaguna & Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor.


Program yang dirasmikan oleh Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, itu merupakan inisiatif tahunan hospital dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit vaskular, khususnya berkaitan gejala, faktor risiko, pengesanan awal, pencegahan, penjagaan dan rawatan.


Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata program ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya di luar HCTM. Sebelum ini, program sama telah dilaksanakan di Daerah Manjung, Perak pada 2024 dan Daerah Mersing, Johor pada 2025, manakala Kuala Kubu Bharu telah dipilih sebagai destinasi sasaran bagi tahun ini.


Program selama dua hari yang bermula hari ini menawarkan pelbagai aktiviti kepada masyarakat setempat, termasuk saringan kesihatan percuma bagi penyakit salur darah dan buah pinggang, ceramah kesihatan serta sesi khidmat nasihat bersama pakar.


Masyarakat setempat berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan daripada pakar vaskular dan nefrologi, sekali gus mengetahui tahap kesihatan salur darah dan buah pinggang.


YBhg. Dato’ Dr. Azmi turut menyeru masyarakat agar menjadikan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai amalan serta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami tanda atau gejala berkaitan penyakit arteri dan vena.


Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Hospital Kuala Kubu Bharu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor (PKDHS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Hulu Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS), Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Daerah Hulu Selangor (JPNIN), dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).



Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1FK4DKGUyU/

HCTM Perkukuh Budaya Keselamatan Pesakit Melalui Program Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026

9 Sep 2026 2026, Berita

Sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Unit Kawalan Infeksi komitmen terhadap keselamatan pesakit menerusi penganjuran Program Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 Peringkat HCTM yang diadakan pada 9 September 2026, jam 2.30 petang bertempat di Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Dato Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM menegaskan bahawa keselamatan pesakit merupakan asas tunjang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan beretika yang berpusatkan kepada pesakit.

Menurut beliau, tema “Safe Care for Noncommunicable Diseases” dengan slogan “Safe Care for Life” yang diketengahkan amat bertepatan dengan cabaran perkhidmatan kesihatan masa kini, khususnya dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan serta pengurusan secara berterusan dalam jangka masa panjang.

“Keselamatan pesakit perlu diberikan perhatian pada setiap peringkat perjalanan rawatan, bermula daripada proses diagnosis, penggunaan ubat-ubatan, prosedur dan pembedahan sehinggalah kepada pemantauan serta peralihan penjagaan,” katanya.

Seluruh warga HCTM diseru agar sentiasa menilai semula amalan kerja seharian, khususnya dari aspek komunikasi, pengesahan identiti pesakit, ketepatan ubat, rawatan dan prosedur serta keberanian untuk bersuara sekiranya terdapat perkara yang boleh menjejaskan keselamatan pesakit.


Galeri foto: https://www.facebook.com/share/p/1Ju523kvZg/

HCTM Anjur Ceramah Perdana Bulan Kemerdekaan dan Maulidur Rasul

3 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Komunikasi Korporat telah menganjurkan Ceramah Perdana bertajuk Kepimpinan Unggul, Jiwa Merdeka: Meneladani Akhlak Rasulullah SAW sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Maulidur Rasul 1448H/2026M di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, hari ini. Sesi ceramah tersebut disampaikan oleh Sahibus Saadah Dato’ Dr. Haji Badli Shah Haji Alauddin, Timbalan Mufti Negeri Pahang.

Program ini bertujuan untuk menyemarakkan patriotisme serta menghayati iktibar perjuangan dan akhlak mulia Rasulullah SAW dalam kalangan warga kerja hospital. Sebagai petugas barisan hadapan kesihatan, penghayatan nilai kemerdekaan jiwa dan semangat keprihatinan berteraskan sunnah amat penting bagi membentuk modal insan yang berdaya tahan, berintegriti dan berdedikasi.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Dr. Hamzaini, Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, YBrs. Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafa, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat (HEJIM) Fakulti Perubatan UKM, ahli-ahli Pengurusan HCTM dan warga kerja hospital.

 


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19SbXCDLzY/?mibextid=wwXIfr

HCTM Perkasa Komunikasi Inklusif Melalui Kursus Bahasa Isyarat

27 Ogo 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh komitmennya menerusi penganjuran Kursus Bahasa Isyarat HCTM: Memperkasa Komunikasi Inklusif dalam Perkhidmatan Kesihatan hari ini.

Kursus berkenaan yang memberi penekanan kepada penguasaan asas bahasa isyarat dalam kalangan warga hospital itu diadakan sebagai usaha meningkatkan keupayaan petugas berkomunikasi dengan pesakit daripada komuniti orang kurang upaya pendengaran.

Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, komunikasi yang jelas, berkesan dan penuh empati amat penting dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kerana setiap maklumat berkaitan gejala, prosedur rawatan, pengambilan ubat dan tindakan susulan boleh memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan serta kesejahteraan pesakit.

Menurut beliau, penguasaan asas bahasa isyarat bukan sekadar kemahiran tambahan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha HCTM menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra, inklusif dan menghormati keperluan setiap pesakit.

“Walaupun hanya melalui beberapa isyarat asas seperti memberi salam, bertanya khabar, menunjukkan arah atau menerangkan sesuatu tindakan mudah, usaha tersebut mampu memberikan keyakinan kepada pesakit serta membuatkan mereka berasa lebih dihargai, selamat dan difahami,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Bahasa Isyarat HCTM di Dewan Serbaguna 2, Bangunan Tambahan HCTM, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif tersebut turut selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 10 yang menekankan usaha mengurangkan ketidaksamaan.
Peserta kursus bukan sahaja didedahkan kepada asas bahasa isyarat dan teknik komunikasi, malah perlu memahami perspektif, emosi serta keperluan komuniti orang kurang pendengaran bagi membentuk interaksi yang lebih berempati.

Kursus tersebut merupakan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kualiti, Jawatankuasa SDG HCTM, dan Unit Latihan dan Perkembangan Kerjaya, Jabatan Sumber Manusia.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1JLRJUS3co/

Hari Sukan TASKA HCTM 2026 Meriahkan Aktiviti Anak-anak

27 Ogo 2026 2026, Berita

Hari Sukan TASKA Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tahun 2026 telah berlangsung pada 22 Ogos 2026 dalam suasana ceria dan penuh kemeriahan dengan penglibatan seramai 66 orang anak-anak TASKA. Aktiviti sukan ini juga melibatkan para pendidik serta ibu bapa untuk menyertai pelbagai aktiviti sukan dan riadah.

Majlis perasmian yang berlangsung di Foyer Lobi Utama, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan itu dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Program ini diadakan secara tahunan sebagai platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong perkembangan fizikal, mental dan sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Dr. Azmi merakamkan penghargaan kepada pihak TASKA HCTM, jawatankuasa penganjur, para pendidik serta ibu bapa atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan. Menurut beliau, penganjuran Hari Sukan TASKA bukan sahaja dapat memeriahkan aktiviti kanak-kanak, malah mengeratkan hubungan antara pihak TASKA dengan ibu bapa.

Beliau berkata, penglibatan ibu bapa secara aktif turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang membina keyakinan anak-anak untuk mencuba perkara baharu. Hari Sukan TASKA turut dilihat sebagai satu wadah pembelajaran yang penting bagi perkembangan awal kanak-kanak melalui aktiviti pergerakan dan permainan berpasukan, serta meningkatkan koordinasi motor, membina keyakinan diri serta memupuk semangat kesukanan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah padanan stokin dan memakai baju anak, aktiviti tambal bentuk, aktiviti bola dalam bakul, cari jongkong emas, pindah bola guna pinggan dan lain-lain.
Hari Sukan TASKA HCTM 2026 bukan sekadar medan untuk bermain dan bersukan, sebaliknya menjadi pengalaman bermakna dalam membentuk anak-anak yang aktif, yakin, berani mencuba serta menghargai nilai persahabatan dan kerjasama.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19Uv5gJTRL/

 

Membudayakan Kebersihan Tangan demi Keselamatan Pesakit, HCTM Anjur Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2026

19 Ogo 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia telah melancarkan Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia (World Hand Hygiene Day) peringkat hospital pada 19 Ogos 2026, jam 9.00 pagi tadi dalam satu majlis ringkas di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Sambutan tahunan ini bukan sahaja satu simbolik peringatan, malah merupakan platform strategik untuk memperkukuh budaya keselamatan pesakit serta meningkatkan mutu penjagaan kesihatan yang berterusan. Amalan kebersihan tangan adalah elemen yang paling asas namun paling kritikal dalam memutus rantaian jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (Healthcare-Associated Infections atau HAIs).

“Sama ada doktor, jururawat, ahli farmasi, pegawai sains, pembantu perawatan kesihatan, kakitangan sokongan mahupun pelawat, setiap individu memikul tanggungjawab untuk mengamalkan kebersihan tangan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kita semua memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian penularan mikroorganisma”, ucapnya dalam majlis perasmian tersebut. 

Dato’ Dr. Azmi juga menyeru seluruh warga HCTM agar terus menghayati dan mengamalkan prinsip “My Five Moments for Hand Hygiene” yang disyorkan oleh WHO. Amalan ini perlu disokong melalui program pendidikan berterusan, pemantauan berkesan, serta pembentukan sikap saling mengingatkan dalam kalangan rakan sekerja.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Unit Kawalan Infeksi yang dipimpin oleh Dr. Sharifah Azura Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Program, serta ahli yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan (Timbalan Pengarah Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman (Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubatan), dan Encik Mursidi Ahamad (Timbalan Pengarah Pentadbiran).

 


 

Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1XBt9ctgFN/

 

Tahniah HCTM! Unggul Sebagai Hospital Rakan Bayi 2026–2029

31 Jul 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya menerima pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi bagi tempoh 14 Mei 2026 hingga 13 Mei 2029. Tahniah dan syabas kepada seluruh warga HCTM atas kejayaan ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya kualiti, keselamatan pesakit dan kecemerlangan perkhidmatan.

Program Saringan Kesihatan HCTM dan SPA Jayakan Budaya Gaya Hidup Sihat Warga Perkhidmatan Awam

29 Jul 2026 2026, Berita
Program Pemeriksaan Kesihatan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia anjuran SPA dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada 27 Julai dan 28 Julai 2026, jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang di Bangunan SPA Blok F1, Kompleks F, Putrajaya. Seramai 200 orang kakitangan di SPA telah turun menyertai program ini. Beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya pemeriksaan kesihatan, reruai promosi kesihatan, Ujian ‘Pap Smear’ dan ‘Human Papilomavirus’ (HPV), Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), Imbasan Pelvik Ultrasound, Ujian Kesihatan Lelaki. Antara jabatan HCTM yang terlibat dalam menjayakan program ialah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Surgeri, Jabatan Khidmat Pelanggan, Poliklinik Warga, Pejabat Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan dan Pusat Reproduktif Termaju (ARC).
Inisiatif murni ini dilaksanakan selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.2.5.1 berkenaan Prosedur Pemeriksaan Kesihatan Pegawai Perkhidmatan Awam dan Perisytiharaan Rekod Kesihatan melalui Sistem HRMIS dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam. Program ini turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi daripada kedua-dua organisasi bagi memberi sokongan moral serta meninjau perjalanan saringan. Pihak HCTM diwakili oleh Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Prof. Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad , Timbalan Pengarah (Pentadbiran), serta Puan Masrifah Zakaria, Ketua Perkhidmatan Kejururawatan. Manakala di pihak SPA pula, dihadiri oleh YBhg. Datuk Ikhbal Hanam bin Mukras, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Encik Mansor Abd Hamid, Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan), Puan Sharenawane binti Hussin, Timbalan Setiausaha (Pengambilan) serta Encik Kamarudin Abdullah, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan.
Kerjasama strategik antara HCTM dan SPA ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memastikan tahap kesihatan warga perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap optimum, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

 

HCTM dan Fakulti Perubatan Perkukuh Rawatan Kanser Kepala dan Leher, Umum Pasukan Pakar Khusus

28 Jul 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Fakulti Perubatan (FPER), Universiti Kebangsaan Malayia (UKM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan rawatan kanser menerusi penubuhan 𝘜𝘒𝘔 𝘏𝘦𝘢𝘥 & 𝘕𝘦𝘤𝘬 𝘖𝘯𝘤𝘰𝘴𝘶𝘳𝘨𝘦𝘳𝘺 𝘢𝘯𝘥 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘯𝘴𝘵𝘳𝘶𝘤𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘛𝘦𝘢𝘮, yang diumumkan sempena Sambutan Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia 2026. Majlis sambutan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Menurut beliau, penubuhan pasukan pelbagai disiplin itu merupakan satu langkah strategik dalam memperkasakan perkhidmatan rawatan kanser kepala dan leher di HCTM. Pasukan tersebut menggabungkan kepakaran dalam pembedahan kanser kepala dan leher serta pembedahan rekonstruktif bagi menyediakan rawatan yang lebih menyeluruh, termasuk memulihkan fungsi penting seperti bertutur, makan dan bernafas, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Menurut data GLOBOCAN 2025, dianggarkan 900,000 kes baharu kanser kepala dan leher direkodkan setiap tahun di seluruh dunia dengan 424,000 kematian. Di Malaysia, kanser nasofaring merupakan kanser keempat paling lazim dalam kalangan lelaki, namun majoriti pesakit masih mendapatkan rawatan apabila penyakit telah berada pada tahap lanjut. Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan sesi perkongsian inspirasi bersama tiga bekas pesakit kanser kepala dan leher yang berkongsi pengalaman menjalani rawatan serta prosedur pembedahan di HCTM. Perkongsian mereka memberi gambaran sebenar tentang cabaran yang dihadapi sepanjang proses rawatan, di samping menjadi inspirasi kepada masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal, rawatan yang tepat dan sokongan berterusan.

Penubuhan 𝘜𝘒𝘔 𝘏𝘦𝘢𝘥 & 𝘕𝘦𝘤𝘬 𝘖𝘯𝘤𝘰𝘴𝘶𝘳𝘨𝘦𝘳𝘺 𝘢𝘯𝘥 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘯𝘴𝘵𝘳𝘶𝘤𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘛𝘦𝘢𝘮 dijangka memperkukuh lagi keupayaan HCTM dalam menyediakan rawatan pembedahan kanser kepala dan leher yang kompleks melalui kolaborasi pelbagai disiplin, penyelidikan dan inovasi, sekali gus memperluas akses pesakit kepada rawatan yang lebih komprehensif dan berkualiti.


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1ZSRD1eZWz/

 

HCTM Jayakan Karnival dan Larian Ceria Semarakkan Minggu Sarkoma 2026

28 Jul 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Unit Tumor Muskuloskeletal, Jabatan Ortopedik & Traumatologi telah menganjurkan Karnival dan Larian Ceria Sarkoma HCTM 2026 pada 25 Julai 2026 bersempena dengan Sambutan Minggu Sarkoma. Program ini dianjurkan sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit sarkoma, iaitu sejenis kanser tisu lembut dan tulang yang masih kurang disedari oleh sebahagian besar masyarakat.


Isu utama penyakit sarkoma adalah gejalanya yang sering disalah tafsir sebagai kecederaan fizikal atau kesakitan biasa, sekali gus menyebabkan ramai pesakit hanya dikesan pada peringkat lewat. Kelewatan ini bukan sahaja memberi cabaran besar dari segi rawatan perubatan, malah memberi impak emosi yang mendalam kepada pesakit serta ahli keluarga mereka. Penganjuran larian dan karnival ini bukan sahaja bertujuan memupuk gaya hidup sihat, malah membina rantai solidariti komuniti yang prihatin terhadap kebajikan pesakit. Suasana program turut diserikan dengan sesi perkongsian khas bersama pemandiri kanser sarkoma yang menceritakan detik perjuangan, ketabahan, serta perjalanan mereka dalam mengharungi proses pemulihan.


Pihak pengurusan HCTM berharap agar usaha ini dapat membuka mata masyarakat untuk lebih peka terhadap sebarang perubahan fizikal pada tubuh badan. Pengesanan awal kekal menjadi kunci utama dalam memastikan rawatan yang lebih berkesan dan memberikan harapan pemulihan yang lebih baik buat pesakit.



Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1Ee9z1SD4U/

 

 

1 2 3 39

Search

+