HCTM dan Fakulti Perubatan Perkukuh Rawatan Kanser Kepala dan Leher, Umum Pasukan Pakar Khusus
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Fakulti Perubatan (FPER), Universiti Kebangsaan Malayia (UKM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan rawatan kanser menerusi penubuhan 𝘜𝘒𝘔 𝘏𝘦𝘢𝘥 & 𝘕𝘦𝘤𝘬 𝘖𝘯𝘤𝘰𝘴𝘶𝘳𝘨𝘦𝘳𝘺 𝘢𝘯𝘥 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘯𝘴𝘵𝘳𝘶𝘤𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘛𝘦𝘢𝘮, yang diumumkan sempena Sambutan Hari Kanser Kepala dan Leher Sedunia 2026. Majlis sambutan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Menurut beliau, penubuhan pasukan pelbagai disiplin itu merupakan satu langkah strategik dalam memperkasakan perkhidmatan rawatan kanser kepala dan leher di HCTM. Pasukan tersebut menggabungkan kepakaran dalam pembedahan kanser kepala dan leher serta pembedahan rekonstruktif bagi menyediakan rawatan yang lebih menyeluruh, termasuk memulihkan fungsi penting seperti bertutur, makan dan bernafas, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Menurut data GLOBOCAN 2025, dianggarkan 900,000 kes baharu kanser kepala dan leher direkodkan setiap tahun di seluruh dunia dengan 424,000 kematian. Di Malaysia, kanser nasofaring merupakan kanser keempat paling lazim dalam kalangan lelaki, namun majoriti pesakit masih mendapatkan rawatan apabila penyakit telah berada pada tahap lanjut. Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan sesi perkongsian inspirasi bersama tiga bekas pesakit kanser kepala dan leher yang berkongsi pengalaman menjalani rawatan serta prosedur pembedahan di HCTM. Perkongsian mereka memberi gambaran sebenar tentang cabaran yang dihadapi sepanjang proses rawatan, di samping menjadi inspirasi kepada masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal, rawatan yang tepat dan sokongan berterusan.
Penubuhan 𝘜𝘒𝘔 𝘏𝘦𝘢𝘥 & 𝘕𝘦𝘤𝘬 𝘖𝘯𝘤𝘰𝘴𝘶𝘳𝘨𝘦𝘳𝘺 𝘢𝘯𝘥 𝘙𝘦𝘤𝘰𝘯𝘴𝘵𝘳𝘶𝘤𝘵𝘪𝘷𝘦 𝘛𝘦𝘢𝘮 dijangka memperkukuh lagi keupayaan HCTM dalam menyediakan rawatan pembedahan kanser kepala dan leher yang kompleks melalui kolaborasi pelbagai disiplin, penyelidikan dan inovasi, sekali gus memperluas akses pesakit kepada rawatan yang lebih komprehensif dan berkualiti.
Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1ZSRD1eZWz/