Program Saringan Kesihatan HCTM dan SPA Jayakan Budaya Gaya Hidup Sihat Warga Perkhidmatan Awam
Program Pemeriksaan Kesihatan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia anjuran SPA dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada 27 Julai dan 28 Julai 2026, jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang di Bangunan SPA Blok F1, Kompleks F, Putrajaya. Seramai 200 orang kakitangan di SPA telah turun menyertai program ini. Beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya pemeriksaan kesihatan, reruai promosi kesihatan, Ujian ‘Pap Smear’ dan ‘Human Papilomavirus’ (HPV), Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), Imbasan Pelvik Ultrasound, Ujian Kesihatan Lelaki. Antara jabatan HCTM yang terlibat dalam menjayakan program ialah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Surgeri, Jabatan Khidmat Pelanggan, Poliklinik Warga, Pejabat Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan dan Pusat Reproduktif Termaju (ARC).
Inisiatif murni ini dilaksanakan selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.2.5.1 berkenaan Prosedur Pemeriksaan Kesihatan Pegawai Perkhidmatan Awam dan Perisytiharaan Rekod Kesihatan melalui Sistem HRMIS dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam. Program ini turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi daripada kedua-dua organisasi bagi memberi sokongan moral serta meninjau perjalanan saringan. Pihak HCTM diwakili oleh Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Prof. Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad , Timbalan Pengarah (Pentadbiran), serta Puan Masrifah Zakaria, Ketua Perkhidmatan Kejururawatan. Manakala di pihak SPA pula, dihadiri oleh YBhg. Datuk Ikhbal Hanam bin Mukras, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Encik Mansor Abd Hamid, Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan), Puan Sharenawane binti Hussin, Timbalan Setiausaha (Pengambilan) serta Encik Kamarudin Abdullah, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan.
Kerjasama strategik antara HCTM dan SPA ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memastikan tahap kesihatan warga perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap optimum, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1DVKLNYkyn/