HCTM Dekati Masyarakat Hulu Selangor Melalui Program ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Surgeri dan Advanced Surgical Skills Center (ASSC) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ sempena Bulan Kesedaran Penyakit Vaskular Peringkat HCTM 2026, yang berlangsung pada 9 dan 10 September 2026 di Dewan Serbaguna & Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Program yang dirasmikan oleh Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, itu merupakan inisiatif tahunan hospital dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit vaskular, khususnya berkaitan gejala, faktor risiko, pengesanan awal, pencegahan, penjagaan dan rawatan.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata program ini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya di luar HCTM. Sebelum ini, program sama telah dilaksanakan di Daerah Manjung, Perak pada 2024 dan Daerah Mersing, Johor pada 2025, manakala Kuala Kubu Bharu telah dipilih sebagai destinasi sasaran bagi tahun ini.
Program selama dua hari yang bermula hari ini menawarkan pelbagai aktiviti kepada masyarakat setempat, termasuk saringan kesihatan percuma bagi penyakit salur darah dan buah pinggang, ceramah kesihatan serta sesi khidmat nasihat bersama pakar.
Masyarakat setempat berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan daripada pakar vaskular dan nefrologi, sekali gus mengetahui tahap kesihatan salur darah dan buah pinggang.
YBhg. Dato’ Dr. Azmi turut menyeru masyarakat agar menjadikan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai amalan serta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami tanda atau gejala berkaitan penyakit arteri dan vena.
Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Hospital Kuala Kubu Bharu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor (PKDHS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Hulu Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS), Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Daerah Hulu Selangor (JPNIN), dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1FK4DKGUyU/
