Kursus Pengurusan Kekerasan Dan Buli Perkukuh Keselamatan Warga Kerja Kesihatan

21 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), hari ini menganjurkan Kursus Pengurusan Kekerasan dan Buli Terhadap Pekerja Kesihatan bagi memperkukuh pengetahuan, kesedaran dan kemahiran warga kerja dalam menangani isu kekerasan serta buli di tempat kerja.

Kursus yang berlangsung selama dua hari itu telah diadakan di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, harmoni dan bebas daripada kekerasan, ancaman serta buli.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah HCTM, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, menegaskan bahawa setiap warga kerja berhak menjalankan tanggungjawab dalam persekitaran yang selamat, dihormati dan bebas daripada sebarang bentuk kekerasan serta buli. Pada masa yang sama, setiap insiden perlu ditangani secara profesional, berstruktur dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Beliau turut menekankan bahawa isu buli di tempat kerja perlu diberikan perhatian serius kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk secara fizikal, verbal, ugutan, penghinaan, gangguan, intimidasi, pengasingan serta tingkah laku berulang yang boleh menjejaskan kesejahteraan warga kerja.

Kursus ini turut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai aspek penting dalam pengurusan insiden, termasuk Code Grey, early recognition, de-escalation, team response, MyHELP, Psychological First Aid serta peranan kepimpinan penyelia.

Penganjuran kursus ini diharapkan menjadi antara usaha berterusan HCTM dalam memperkukuh budaya keselamatan, kesejahteraan, saling menghormati dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja kesihatan, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat.

 


 

Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19e3Kqnc5R/

Search

+