MAJLIS SUMBANGAN TANPA TUNAI DAN PENYERAHAN SUMBANGAN OLEH AGENSI LUAR KEPADA HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ (HCTM)

20 Dis 2019

 

CHERAS, 18 DISEMBER 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menerima sumbangan peralatan dan kemudahan rekreasi daripada Persatuan Advokasi Kesihatan Kanser Malaysia (Together Against Cancer Association Malaysia) TAC (21 unit Hospital Sleepers Bed) dan Tanjung Boulevard Sdn. Bhd. (1 unit treadmill, 2 unit Technogym syncgro forma crosstrainer, 2 unit fitness spinning bike star trac dan 1 unit coway water dispenser) untuk kemudahan pesakit dan kakitangan HCTM.

Majlis yang diadakan di Sukmaria, HCTM telah diserikan lagi dengan pelancaran perasmian Sumbangan Tanpa Tunai melalui aplikasi SNAP & PAY.  Di dalam ucapan Pengarah, HCTM Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, menekankan berkenaan tujuan utama pelancaran SNAP & PAY adalah untuk mengumpul dan memudahkan dana disalurkan ke dalam Tabung Pesakit HCTM.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah menerima lebih kurang 550,00 hingga 600,000 pesakit dalam dan luar pada setiap tahun dan sebahagiannya terdiri daripada pesakit yang kurang berkemampuan untuk membiayai kos peralatan dan ubat-ubatan. Sumbangan dalam bentuk peralatan dan pembiayaan kos ubat-ubatan pesakit di HCTM sangat diperlukan untuk membantu golongan ini.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Philantrophy Kampus Kuala Lumpur telah diwujudkan pada Februari 2019 dan mengadakan kerjasama dengan pihak Bank Islam Berhad (BIMB) bagi mengumpul dana bagi 3 teras utama Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan.

BIMB telah menggabungkan teknologi dan pematuhan syariah dalam menyampaikan perkhidmatan selari dengan aliran digital semasa. Inisiatif ini dapat memastikan keselesaan, sumbangan yang berterusan, selamat dan berimpak tinggi dengan pelaksanaan yang mudah untuk para pengguna. Pengguna boleh melakukan transaksi hanya dengan memuat turun aplikasi SNAP & PAY, imbas kod QR dan pembayaran boleh dilakukan melalui sistem FPX. 

Diharapkan dengan inisiatif ini akan memperolehi lebih banyak lagi sumbangan dan dana untuk mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan perawatan kepada masyarakat dan memberi banyak manfaat kepada hospital. Semoga dengan sumbangan dan bantuan ini, mampu menceriakan mereka yang kurang bernasib baik. Harapan agar usaha baik ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

                                   

 

 

 

 

 

IKLAN JAWATAN KOSONG PELANTIKAN – DISEMBER 2019 DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (KAMPUS KUALA LUMPUR)

11 Dis 2019

Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar (Kampus Kuala Lumpur) ingin mempelawa kakitangan atau warganegara Malaysia yang berkelayakan, komited serta berdedikasi untuk mengisi kekosongan jawatan pelantikan dan kenaikan pangkat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz seperti di berikut:

Lantikan:

  1. PEGAWAI PSIKOLOGI GRED S41
  2. PENERBIT RANCANGAN GRED B19
  3. PEMBANTU PEMBEDAHAN PERGIGIAN GRED U19

Maklumat Lanjut: http://www.ukm.my/provckl/news/iklan-jawatan-kosong-pelantikan-disember-2019-di-universiti-kebangsaan-malaysia-kampus-kuala-lumpur/

 

KHATAN PERDANA PDRM 2019

11 Dis 2019

 

BUKIT AMAN, 08 Disember 2019 – Sempena dengan cuti sekolah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menganjurkan program berkhatan beramai-ramai bertempat di Masjid Bukit Aman.

Seramai 60 orang kanak-kanak telah terlibat di dalam program dan dibantu seramai 40 orang petugas dari HCTM. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

Program kerjasama ini adalah kali ke-empat diadakan dan diharapkan akan berterusan pada masa hadapan. Selain daripada program berkhatan, HCTM juga terlibat dalam program saringan kesihatan dan menerima sumbangan daripada PDRM untuk diagihkan kepada pesakit HCTM.

GOTONG-ROYONG PERDANA PERINGKAT HCTM

10 Dis 2019

 

CHERAS, 04 Disember 2019 – Gabungan kerjasama kakitangan, agensi luar dan perwakilan penduduk telah merealisasikan program Gotong-Royong Perdana Peringkat HCTM.

Turut diadakan, program zumba sebelum gotong-royong dijalankan di sekitar kawasan HCTM bagi membanteras pembiakan makhluk perosak dan meningkatkan kebersihan serta keselamatan di hospital.

Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid turut serta bersama-sama 110 orang kakitangan dan wakil agensi luar membersih kawasan persekitaran HCTM.

Program itu dijayakan dengan penglibatan agensi luar seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Alam Flora Sdn. Bhd, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCORP) dan Majlis Perwakilan Penduduk Bandar Tun Razak. Selain itu, program ini turut melibatkan Persatuan Peagawai Tadbir dan Iktisas UKM (PERTADI) dan Kesatuan Kakitangan Am UKM (KESUKMA).

Program seumpama ini dapat memupuk hubungan jaringan kerjasama yang baik antara agensi dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan dan penduduk setempat.

 

MAJLIS SUNATHON KEMENTERIAN KEWANGAN DENGAN KERJASAMA HCTM UKM

6 Dis 2019

 

PUTRAJAYA,  02 Disember 2019 – Seramai 50 orang kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak warga Kementerian Kewangan telah mengikuti Program Sunathon Kementerian Kewangan dengan Kerjasama HCTM. Majlis telah diadakan Ruang Legar Dewan Utama, Aras G Kompleks Kementerian Kewangan.

Program ini merupakan anjuran Kelab Perbendaharaan Putrajaya, Kementerian Kewangan dan melibatkan 21 orang kakitangan HCTM terdiri daripada Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Jururawat dan lain-lain membantu merealisasikan program tersebut. Majlis perasmian telah disempurnakan YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).

Turut hadir dalam majlis, YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan, YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM dan En. Mohd Nasri Nordin, Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities (RMHC).

RMHC juga turut membawa maskot dan menyumbang makanan McDonald untuk menceriakan lagi kanak-kanak yang terlibat.

MAJLIS SUNATHON HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ UKM 2019

6 Dis 2019

CHERAS, 30 November 2019 – Seramai 70 orang kanak-kanak yang terdiri daripada 58 orang anak-anak warga HCTM, 6 orang kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Tengku Budriah dan 6 orang kanak-kanak dari Rumah Ronald McDonald HCTM telah mengikuti Program Sunathon HCTM UKM 2019.

Program ini merupakan anjuran Unit Urologi, Jabatan Surgeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Maklumat Kesihatan, Jabatan Khidmat Pelanggan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Jabatan Farmasi, Bahagian Governan dan Pentadbiran, Jakom-Tek, Dewan Bedah dan Kelab Seni Budaya, Kampus Kuala Lumpur.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur. Turut hadir dalam majlis, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM dan En. Mohd Nasri Nordin, Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities (RMHC).

Tahniah – Kumpulan Sinaran dari Jabatan Radiologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz

12 Nov 2019

 

Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Sinaran dari Jabatan Radiologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia kerana telah berjaya memenangi Anugerah 20 Kumpulan Terbaik Sektor Awam dan Anugerah Emas 5 bintang di Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition (APIC) 2019 yang telah diadakan pada 5-7 November 2019 di Sunway Piramid Convention Centre.

Kejayaan ini telah melayakkan kumpulan Sinaran untuk mewakili Malaysia ke International Convention On Quality Control Circle 2020 yang akan diadakan pada 27-30 Oktober 2020 di Pan Pacific Sanargaon Hotel, Dhaka, Bangladesh.

Manakala, Encik Mohamad Norman Mohd. Nordin telah di anugerahkan “Anugerah Fasilitator Cemerlang” di Annual Productivity & Innovation Conference 2019.

Konferens tahunan kebangsaan tahun 2019 ini telah disertai oleh 300 team dari 126 organisasi yang melibatkan lebih dari 2000 org peserta dari seluruh Negara. Kejayaan ini juga membuktikan UKM sentiasa meneruskan usaha dalam aktiviti kualiti dan menjadi universiti terunggul dalam menghasilkan projek-projek berimpak tinggi yang berjaya diketengahkan di peringkat antarabangsa buat kali ke-11 berturut-turut.

Syabas dan tahniah diucapkan.

1 2 3 7

Search

+