Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.1/2020

4 Oct 2020 Berita

CHERAS, 24 Ogos – Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.1/2020 telah dijalankan secara sederhana namun meriah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Perhimpunan ini dibuka untuk jemputan sahaja dan kakitangan yang tidak dapat hadir boleh menonton secara langsung melalui media sosial Facebook rasmi HCTM.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Varsiti Kita, bacaan doa, tayangan Video Aktiviti HCTM, video Ucapan Kakitangan Sempena 23 tahun HCTM dan ucapan Pengarah HCTM. Berucap dalam majlis, Prof. Dato Dr. Hanafiah mengambil kesempatan merakamkan ucapan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja HCTM khasnya bagi mereka yang bertugas dan dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan yang telah menabur bakti, jasa, dan tenaga dalam menguruskan kes-kes COVID-19 di HCTM sejak bermulanya penularan COVID-19 sehingga ke hari ini. Beliau juga turut menyatakan kebimbangan akan gelombang ketiga yang mula menular terutama negeri-negeri di utara seperti Kedah dan Perlis. Justeru, menyeru kepada semua kakitangan agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan.

Beliau juga turut memaklumkan keputusan Pengurusan Tertinggi UKM mengenai penstrukturan baharu Kampus Kuala Lumpur mulai 1 April 2020. Di mana pentadbiran Kampus Kuala Lumpur hanya meliputi HCTM dan Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) sahaja. Selaras dengan itu, beberapa jabatan yang sebelum ini diletakkan di bawah pentadbiran Kampus Kuala Lumpur telah dikembalikan semula kepada HCTM. Antaranya termasuklah Bahagian Kewangan, Bahagian Governan dan Pentadbiran, Bahagian Sumber Manusia. Selain itu, beberapa bahagian Kampus Kuala Lumpur telah dimansuhkan, antaranya Bahagian Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan dan Bahagian Pentadbiran. Selaras dengan itu, Mesyuarat Khas Pengurusan HCTM bil. 1/2020 pada 27 April 2020 telah bersetuju untuk menggunapakai struktur baharu ini berkuatkuasa pada 18 Mei 2020 dengan penubuhan satu jabatan baharu iaitu Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan yang diletakkan terus di bawah pentadbiran Pejabat Pengarah. Sementara Bahagian Governan dan Pentadbiran dinamakan sebagai Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu. Jabatan-jabatan lain kekal seperti sebelum ini dan diletakkan di bawah Timbalan-timbalan Pengarah HCTM.

Acara diteruskan dengan penyampaian Sijil Penghargaan 5S, Sijil Penghargaan COVID-19, Sijil Penghargaan CUEPACS, penyampaian bendera sempena bulan kemerdekaan dan majlis diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik. Hadir dalam majlis, timbalan-timbalan pengarah HCTM, ketua-ketua dan wakil jabatan, Encik Abdul Rahman Nordin, wakil Presiden CUEPACS dan Presiden KESUKMA, delegasi CUEPACS dan KESUKMA.

Search

+
Font Resize
Contrast