Pusat Perhubungan Alumni UKM Sumbang Peralatan Perubatan Bernilai Hampir Setengah Juta Kepada HCTM
Cheras, 30 September 2021 – Sebanyak 50 unit Portable Oxygen Concentrator (POC) dan 14 unit Power Air Purifying Respirator (PAPR) daripada Pusat Perhubungan Alumni UKM dan 10 unit Portable Oxygen Concentrator (POC) dan 1,050 unit Isolation Coverall Suit sumbangan peribadi daripada Datuk Wira Wen Tai Chun, Presiden Sayling Wen Cultural & Educational Foundation dan Datin Wira Audrey Yang melalui The Association of Global Industry Academia Collaboration Malaysia telah diserahkan kepada HCTM melalui Sesi Serahan Peralatan Perubatan yang diadakan pada petang tadi di Dewan Serbaguna Blok Tambahan Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar.
Pengumpulan dana berjumlah RM460, 485 telah dibuat mulai Julai lepas setelah Pusat Perhubungan Alumni UKM mendapat maklumat mengenai keperluan mendesak bagi peralatan POC dan PAPR oleh HCTM. Kutipan sumbangan tersebut digunakan untuk memberi 80 unit POC dan 15 unit PAPR. Sebanyak 50 unit POC dan 14 unit PAPR telah diserahkan kepada HCTM dalam sesi serahan hari ini manakala selebihnya telah diserahkan lebih awal kepada HCTM.
Penyerahan sumbangan peralatan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin. Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani dan dan Dato’ Yeow Wah Chin serta Presiden Majlis Alumni UKM Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak.


























