Pengedaran Juadah Hari Raya Pertama Aidilfitri Bersama Kakitangan HCTM
CHERAS, 2 Mei 2022 – Pengedaran juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri telah diadakan pada jam 10.00 pagi selepas Solat Hari Raya Aidilfitri di Surau Ibnu Sina HCTM. Program ini diadakan dengan tujuan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama kakitangan bertugas yang tidak dapat pulang ke kampung dan menyambut Hari Raya bersama keluarga atas tuntutan kerja.
Sebanyak 500 bungkus juadah pelbagai menu Hari Raya seperti lemang, rendang ayam, nasi beriani, nasi impit dan kuah kacang telah diedarkan kepada kakitangan pada hari tersebut. Juadah diedarkan oleh Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM yang tampil segak mengenakan busana Melayu berwarna Biru Tua.
Turut bersama dalam majlis tersebut, Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan. Program diadakan secara sederhana namun amat bermakna buat kakitangan yang bertugas pada 1 Syawal.
































