Program Bingkisan Kasih Aidilfitri Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) 2023

18 Apr 2023 2023, Berita

CHERAS, 18 April 2023 – Sebanyak 150 kotak Bingkisan Kasih telah diagihkan kepada pesakit-pesakit di wad HCTM pada pagi tadi melalui Program Bingkisan Kasih Aidilfitri Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) 2023. Program ini merupakan anjuran Pejabat Pengarah HCTM dan disokong oleh beberapa jabatan yang terlibat dalam pemberian sumbangan. Program ini merupakan salah satu program kemasyarakatan dengan tujuan menyantuni pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Wad HCTM.

Pengurusan HCTM dan kakitangan yang terlibat telah berkumpul seawal jam 8.15 pagi di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar untuk sesi pembahagian kumpulan dan fotografi. Di kesempatan itu, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur turut serta dan hadir mewakili pihak pengurusan UKM bagi menyempurnakan program Jelajah Jerayawara Ambang Raya dengan menyerahkan pek Hari Raya kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM sebagai simbolik jerayawara.

Program Bingkisan Kasih Aidilfitri HCTM dijalankan dalam beberapa kumpulan yang diketuai oleh ahli Pengurusan HCTM. Penyampaian Bingkisan Kasih diberikan terus di tepi katil pesakit. Program dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Hanita Othman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi & Sokongan), Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Ketua-ketua Jabatan dan kakitangan terlibat.

HCTM amat prihatin dan berharap pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di wad dapat segera sembuh dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.

Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri

11 Apr 2023 2023, Berita

CHERAS, 11 April 2023- Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri telah diadakan pada pukul 10.00 pagi di Lobi Utama HCTM selepas Solat Hari Raya Aidilfitri. Program ini diadakan dengan tujuan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama kakitangan bertugas yang tidak dapat pulang ke kampung atas tuntutan kerja.

Sebanyak 600 pek juadah dan hamper Hari Raya telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman kepada wakil-wakil kakitangan bertugas. Wakil-wakil kakitangan yang hadir adalah daripada Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Bahagian Keselamatan KKL,  Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Jabatan Radiologi, Jabatan Farmasi, Jabatan Maklumat Kesihatan, Jabatan Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Dietetik & Sajian Makanan, dan Unit Khidmat Pelanggan (Operator & Kaunter).

Program diadakan secara sederhana namun amat bermakna buat kakitangan yang bertugas pada 1 Syawal. HCTM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

 

Bola Sepak Piala Dunia jadi Tema Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.3/2022

23 Dis 2022 2022, Berita

CHERAS ,16 Disember 2022 – Tema Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022 telah dipilih secara spontan untuk Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.3/2022. Pendekatan ini memberikan kelainan berbanding sebelumnya apabila warga HCTM termasuk barisan pengurusan HCTM hadir memakai jersi bola. Perhimpunan dimulakan dengan tayangan aktiviti dan ucapan Pengarah HCTM. Prof. Dato’ Razman Jarmin, Pengarah HCTM dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada warga HCTM yang telah mengharumkan nama hospital dengan aktiviti-aktiviti peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga turut memaklumkan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 HCTM dan Pelancaran Logo Rasmi HCTM dan Buku Coffee Table 25 Tahun HCTM serta Perasmian Wad Tuanku Canselor yang berlangsung pada 19 Oktober 2022 yang lalu telah berjalan lancar hasil kerjasama dan semangat berpasukan warga HCTM.

Perhimpunan Kakitangan memberi kelainan dengan pengisian terbaharu diserikan dengan persembahan band kumpulan Examiners yang diketuai oleh Encik Yusri, pertunjukan menimbang bola (ball juggling) oleh pasukan bola sepak HCTM, dan sesi #TanyalahKami oleh barisan pengurusan HCTM. Sesi pelancaran dan penyampaian hadiah seperti Pelancaran Sistem eNsiden, Pelancaran Sistem Medical Certificate of Cause of Death, Pelancaran Sistem Pengurusan Aset Bersepadu (CMAS), Pelancaran Polisi Umum dan Jabatan-Jabatan HCTM, dan acara-acara penyampaian hadiah dan sijil seperti Acara penyampaian Sijil Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB HCTM), penyampaian hadiah pemenang Bulan Kemerdekaan, Pemenang Pertandingan Logo HCTM, penyampaian cenderamata Sempena Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan, simbolik Penyerahan Piala Kejohanan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat UKM, dan simbolik penyampaian sejadah untuk Program Infaq Sejadah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diaturkan pada akhir majlis perhimpunan ini. Turut hadir dalam majlis Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Timbalan-timbalan Pengarah, dan warga UKM.

Jasamu Dikenang 2022

15 Dis 2022 2022, Berita

CHERAS, 13 Disember 2022 – Seramai 32 orang pesara warga HCTM tahun 2021 diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang 2022 anjuran Jabatan Sumber Manusia HCTM pada tengahari tadi di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM. Bertemakan Retro 60-70an, acara ini diadakan setiap tahun untuk menghargai jasa, pengorbanan, dan bakti yang dicurahkan semasa pesara masih berkhidmat di HCTM.

Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM dalam ucapan aluannya memaklumkan seramai 20 orang warga HCTM yang bersara wajib, 10 orang telah memilih bersara pilihan, seorang bersara atas sebab kesihatan dan seorang telah menghadap Ilahi pada 1 September 2021 yang lalu iaitu Allahyarham Syahrul Zamri Sarkawi yang bertugas di Jabatan Perubatan Kecemasan. Ucapan wakil pesara HCTM telah disampaikan oleh Dato’ Harun Bintang, yang juga merupakan Penolong Setiausaha Persatuan Pesara Universiti Kebangsaan Malaysia. Turut hadir dalam majlis Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, Pengerusi Persatuan Pesara UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar yang juga merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Jasamu Dikenang Hospital Canselor Tuanku Muhriz Tahun 2022.

Sunathon HCTM 2022

12 Dis 2022 2022, Berita

CHERAS, 10 Disember 2022 – Seramai 86 orang anak-anak warga HCTM UKM dan Rumah Ronald McDonald telah menyertai Program Sunathon HCTM 2022′ yang diadakan pada hari ini. Program khatan beramai-ramai anjuran Hospital Canselor Tuanku Muhriz merupakan acara tahunan yang telah bermula sejak tahun 2003 dengan tujuan melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan bebanan warga kerja HCTM yang kurang berkemampuan. Program ini dilaksanakan pada setiap tahun kecuali tahun 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Acara perasmian Program Sunathon HCTM 2022 telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM di Auditorium HCTM. Turut hadir dalam program, En. Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, En. Mohd. Nasri Nordin, Pengarah Urusan Rumah Ronald McDonald, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi, Ketua Jabatan Surgeri, dan Lt. Kol. (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, Ketua Jawatankuasa Sunathon HCTM.

 

Sijil Punca Kematian (MCCOD)

9 Nov 2022 2022, Berita

Medical Certificate of Cause of Death (MCCOD) atau Sijil Punca Kematian adalah satu dokumen merekod punca kematian pesakit mengikut standard antarabangsa yang dicadangkan oleh World Health Organization (WHO). Penggunaannya penting bagi membolehkan underlying cause of death pesakit dapat dikenalpasti dengan lebih tepat dan langkah-langkah pencegahan dapat dirancang dan dilaksana dengan lebih baik. MCCOD ini juga dapat meningkatkan kualiti data kematian hospital.

Menyedari kepentingan ini, Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal (ITCC) dan Bahagian Teknologi Maklumat Kampus Kuala Lumpur (BTM KKL) menggembleng tenaga bagi mengintegrasikan MCCOD ini ke dalam Sistem CHEtS agar ia dapat diisi oleh pegawai perubatan terakhir yang merawat pesakit. Beberapa siri taklimat dan Latihan pengguna telah dijalankan serta projek pilot turut dilaksanakan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bermula 14 November sehingga 15 Disember 2022. Maklum balas serta keberkesanan penggunaan MCCOD akan diperhalusi dan sasaran agar ia dilaksanakan sepenuhnya di semua jabatan bermula Januari 2023.

Pertanyaan lanjut mengenai MCCOD, sila hubungi 03-9145 6988 atau layari laman web ITCC di https://hctm.ukm.my/ITCC/

Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM

9 Nov 2022 2022, Berita

CHERAS, 28 Oktober 2022 (Jumaat) – Unit Geriatrik HCTM telah menganjurkan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM di Lobi Utama HCTM. Program ini diadakan bagi meraikan warga emas dan mendidik golongan muda untuk membela nasib warga emas terutamanya yang uzur dan kurang berupaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil pengurusan HCTM, Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Beliau dalam ucapannya berkata pendedahan kepada semua yang terlibat dalam bidang perawatan warga emas adalah penting kerana Malaysia bakal menuju ke arah status negara tua. Menurut laporan perangkaan suku pertama tahun 2021, komposisi penduduk warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama. Dianggarkan lebih kurang 705 orang pesakit Geriatrik mendapat rawatan di HCTM bermula bulan Mei 2019 hingga September 2022 dan jumlah ini semakin meningkat setiap tahun.

Sempena sambutan Warga Emas, beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya pameran reruai daripada pelbagai unit sokongan dalam perawatan Geriatrik (warga emas), agihan 100 goodie bags kepada pelawat yang hadir, ceramah kesihatan, sesi regangan badan, dan cabutan bertuah. Program ini juga mendapat sokongan dan sumbangan daripada rakan strategi seperti Malaysian Society of Geriatric Medicine, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tena, Brego, dan M&B Medical Marketing.

1 18 19 20 21 22 43

Search

+