Majlis Sambutan Hari Embriologis Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Memperkenalkan Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal UKM
CHERAS, 25 Julai 2023 – Majlis Sambutan Hari Embriologis Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Memperkenalkan Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal UKM telah diadakan pada 25 Julai 2023 bertempat di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis anjuran Pusat Reproduktif Termaju HCTM dengan kerjasama Malaysia Association of Clinical Embryologist (MACE) telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur.
Sambutan di peringkat kebangsaan yang julung-julung kali diadakan merupakan suatu penghormatan dan penghargaan besar kepada para Pegawai Embriologis yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kehamilan pesakit-pesakit kesuburan atau IVF. Kombinasi kemahiran dan kepakaran ahli perubatan reproduktif, embriologis, dan andrologis menjadi tunjang utama kepada kadar kejayaan seumpama ini yang boleh dikatakan setaraf dengan negara-negara lain. Program baharu yang ditawarkan oleh UKM iaitu Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal (PDEK) turut diperkenalkan dalam majlis sambutan ini.. Istimewanya PDEK ini adalah ia merupakan satu-satunya program di Malaysia yang melatih Pegawai Embriologis secara formal dan berstruktur. Program ini diasaskan atas keperluan untuk melahirkan ahli embriologis yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam bidang embriologi klinikal.
Pro Naib Canselor dalam ucapannya berharap dengan adanya program ini keperluan ahli embriologis yang mahir dapat dipenuhi dan boleh memberikan kesan signifikan kepada kadar keberjayaan rawatan kesuburan di negara ini. Majlis turut dihadiri oleh Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Prof. Madya Dr. Abdul Kadir Abdul Karim, Ketua Pusat Reproduktif Termaju, Ketua- ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Embriologis dan Warga UKM.
Karnival Madani: Sihat dan Prihatin Sebagai Pelangkap Penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM
CHERAS, 9 Julai – Majlis Perasmian Karnival Madani: Sihat dan Prihatin Sempena Penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada 9 Julai 2023 bertempat di Lobi Utama, Blok Klinikal HCTM. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Azman Hj Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, wakil YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Penganjuran karnival ini bertujuan memberi informasi kesihatan dan perubatan bagi meningkatkan kesedaran awam dan juga mendekatkan komuniti masyarakat setempat khususnya Parlimen Bandar Tun Razak dan sekitarnya mengenali fungsi dan kemudahan kepakaran di HCTM. Dianggarkan lebih 1000 orang pengunjung telah hadir dan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pemeriksaan percuma, melibatkan diri dalam aktiviti riadah, mendapatkan maklumat kesihatan, dan meluangkan masa bersama keluarga. Sepanjang karnival berlangsung, banyak aktiviti menarik telah diadakan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan, larian ceria HCTM, senamrobik, sukaneka, aktiviti interaktif dan lain-lain lagi.
YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Naib Canselor UKM dalam ucapannya berkata UKM berasa bertuah kerana dapat memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat termasuk penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak. Karnival ini diadakan bertujuan untuk menyalurkan informasi kesihatan, mempromosikan fungsi, kemudahan kepakaran, dan perubatan bagi meningkatkan kesedaran awam, di samping mendekati komuniti masyarakat setempat khususnya Parlimen Bandar Tun Razak dan sekitarnya. Majlis turut menyaksikan simbolik penyampaian baucar pemeriksaan kesihatan sebanyak 600 keping kepada wakil sub zon Bandar Tun Razak. Baucer pemeriksaan kesihatan ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), diberikan kepada para penduduk Parlimen Bandar Tun Razak yang tidak berkesempatan hadir. Baucar ini boleh digunakan oleh penerima untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma pada tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Selain daripada itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diteruskan dengan beberapa program yang akan berlangsung di Kawasan Bandar Tun Razak antaranya Program Berkhatan (Sunathon), Program Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Program Kesedaran Dietetik dan Sajian Makanan dan Program Kesihatan Mental.
Karnival Madani Sihat dan Prihatin menutup tirai tepat pada jam 4.00 petang.
Jemputan ke Karnival Madani: Sihat dan Prihatin
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Sukacitanya dimaklumkan bahawa Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM akan menganjurkan KARNIVAL MADANI : SIHAT DAN PRIHATIN SEMPENA PENUTUP SAMBUTAN JUBLI PERAK 25 TAHUN HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ, UKM. Majlis akan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Maklumat adalah seperti di bawah:-
Tarikh : 9 Julai 2023 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi hingga 4.00 petang
Tempat : Blok Klinikal Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM
Karnival ini bertujuan memberi informasi kesihatan & perubatan bagi meningkatkan kesedaran awam dan juga mendekatkan komuniti masyarakat setempat khususnya Parlimen Bandar Tun Razak dan sekitarnya mengenali fungsi /kemudahan kepakaran di HCTM. Pelbagai aktiviti menarik seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kesihatan, larian ceria , sukaneka, interaktif eSports, pameran kereta Proton, cabutan bertuah, hadiah kepada 300 pengunjung terawal, dan lain-lain lagi.
SEMUA DIJEMPUT HADIR.


Lawatan Rasmi Delegasi Republik Czech ke HCTM
CHERAS, 13 Jun 2023 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melalui Jabatan Anestesiologi Dan Rawatan Intensif telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Republik Czech bertempat di Sukmaria, Blok Klinikal, HCTM. Lawatan rasmi dihadiri oleh H.E. Mr. Jiří Kozák, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Republik Czech, H.E. Milan Hupcej, Duta Republik Czech bersama Ahli Persatuan Peranti Perubatan Republik Czech. Objektif lawatan adalah untuk objektif memupuk dan pengukuhkan kerjasama dalam pasaran penjagaan kesihatan, penyelidikan dan pendidikan antara Malaysia dan Republik Czech. Antara penyelesaian Penjagaan Kesihatan Czech yang digunakan di HCTM ialah katil ICU, dari LINET Multicare yang ditempatkan di Unit Terbakar, dan LINET Eleganza 4 dan 5 di ICU Am.
Ceramah Motivasi bertajuk “Erti Sebuah Pengorbanan”
“Our Nurses, Our Future” – Majlis Perasmian Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat HCTM 2023
Cheras, 25 Mei 2023 – Majlis Perasmian Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat HCTM 2023 anjuran Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan telah diadakan pada petang tadi bertempat di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM.
Hari Jururawat Sedunia yang jatuh pada 12 Mei 2023 yang lalu disambut setiap tahun sebagai penghargaan bagi mengenang jasa para jururawat yang telah banyak berkorban masa, tenaga serta bertungkus lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Bertemakan “Our Nurses, Our Future” adalah amat tepat dan seiring dengan senario semasa negara dan dunia global yang mana jururawat menjadi nadi dan tunjang kepada kemampanan dan kelangsungan peningkatan taraf perawatan dan kesihatan masyarakat. Prof. Dato’ Mohd Ekhwan dalam ucapannya berkata para jururawat mempunyai peranan yang amat penting sebagai salah satu penyumbang dalam usaha merealisasikan kejayaan HCTM sebagai hospital pengajar yang menjadi rujukan utama dalam bidang perubatan di peringkat negara dan antarabangsa. Beliau berharap berharap kecemerlangan ini juga dapat diteruskan oleh para jururawat di HPKK dan UKM Specialist Centre dalam meningkatkan kecemerlangan UKM keseluruhannya.
Pesakit masa kini adalah pesakit yang terdedah dengan pelbagai sumber informasi mengenai penyakit mereka. Justeru, para Jururawat perlu mendahului pesakit dari segi pengetahuan terutamanya berkaitan dengan kesihatan, penyakit, dan jagarawat agar kewibawaan diri Jururawat sentiasa di sanjung tinggi. Majlis perasmian turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah UKMSC, Timbalan- timbalan pengarah, Ketua-ketua Jabatan dan warga UKM.
Majlis Penghargaan Chemische Fabrik Dr.Weigert GmbH & Co. KG, Jerman kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)
CHERAS, 24 Mei 2023 – Majlis Penghargaan Chemische Fabrik Dr.Weigert GmbH & Co. KG, Jerman kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Serbaguna 1, Blok Tambahan, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar HCTM. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) mewakili Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menerima trofi penghargaan pertama di rantau Asia.
Prof. Madya Dr. Jamari dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran delegasi daripada Jerman terutamanya Encik Alenjendro Giletto dan Setia Medik selaku pengedar tempatan. Beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada delegasi dan Setia Medik kerana telah memilih HCTM sebagai penerima trofi penghargaan. HCTM melalui Unit Khidmat Steril (CSSD) dipilih sebagai penerima penghargaan ini kerana menggunakan produk pembasmi kuman untuk pencucian peralatan iaitu MediClean forte melebihi 15 tahun, bagi memastikan peralatan untuk pembedahan dan prosedur selamat digunakan kepada pesakit. Seramai 50 orang tetamu jemputan termasuk delegasi daripada Chemische Fabrik Dr.Weigert GmbH & Co. KG, Jerman telah hadir ke majlis penghargaan ini. Delegasi telah dibawa melawat ke Unit Khidmat Steril (CSSD) untuk melihat sendiri proses penerimaan, pencucian, pemeriksaan, pembungkusan, dan pensterilan peralatann yang dilakukan di unit berkenaan. Penerangan ringkas telah disampaikan oleh Puan Zurina Mohamad Saleh, selaku Ketua di Unit Khidmat Steril (CSSD dan TSSU).
Turut hadir dalam majlis dan lawatan, Mr. Raymond Tan, Pengarah Urusan Setia Medik Sdn Bhd bersama delegasi, Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, Prof. Madya Dr. Raha Abdul Rahman, Ketua Perkhidmatan Dewan Bedah dan Khidmat Steril serta warga HCTM.
Tahniah HCTM atas kecemerlangan memperoleh Persijilan Penuh Akreditasi MSQH
Tahniah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM atas kecemerlangan memperoleh Persijilan Penuh Akreditasi MSQH. Jutaan penghargaan dan terima kasih atas segala komitmen dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak khususnya warga HCTM yang telah menjayakan inisiatif besar dalam meningkatkan Citra UKM. HCTM UKM menjadi satu-satunya Hospital Pengajar Universiti Awam yang mendapat akreditasi ini.






























































