Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Plutonet Sdn Bhd

23 Sep 2020 Berita, Jaringan

CHERAS, 23 Julai – Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Plutonet Sdn Bhd telah diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM. UKM melalui Pusat Terapi Sel bersepakat untuk membuat perjanjian penyelidikan ini bersama Plutonet setelah beberapa siri perbincangan penyelidikan terapi berasaskan sel atau lebih spesifik CAR-T.

Menurut Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, wakil Dekan Fakulti Perubatan UKM, kolaborasi antara UKM-Plutonet ini akan memfokuskan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi rawatan bagi pesakit kanser darah. Kajian-kajian ini bakal ditumpukan dalam penyelidikan CAR-T bagi mengoptimakan fungsinya dalam terapi perubatan secara menyeluruh. Melalui hubungan kerjasama ini, lebih banyak program akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan akan dilaksanakan bagi manfaat ke dua-dua institusi.

Turut hadir dalam majlis ialah Encik James Then Khong Lek, Pengarah Plutonet Sdn. Bhd, Encik Vincent Chang, Pengurus Besar Plutonet Sdn. Bhd, Prof. Dr. S Fadilah Abdul Wahid, Ketua Pusat Terapi Sel, Puan Nur Yasmin Nan Rahimi, wakil Pengarah HCTM, pengurus-pengurus kanan, ketua jabatan, kakitangan UKM dan Plutonet Sdn. Bhd.

Sumbangan 15 Unit Kerusi Roda kepada HCTM

23 Sep 2020 Berita, Jaringan

CHERAS, 16 Julai –Sumbangan 15 unit kerusi roda bagi kegunaan pesakit dan pelanggan HCTM telah disampaikan oleh Tuan Haji Sirol Aflah Hassan Basri, Pengerusi Rumpun Teh Bulan, Tuan Haji Mohd. Yusoff Yahya, Pengarah Cahaya Mekar Resouces dan Tuan Haji Abd. Rahman Musa, Pengerusi Empayar Anak Cucu Musa kepada Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz dalam satu majlis ringkas pada pagi ini.

Inisiatif ini disambut baik oleh Pengarah HCTM dan beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada wakil-wakil penyumbang kerana memilih HCTM untuk program CSR mereka. Setiap tahun hampir 4 juta ringgit dibelanjakan untuk membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dan pada tahun lepas HCTM telah membantu lebih kurang 700 orang pesakit yang kurang berkemampuan. Selain kerusi roda, bantuan keperluan seperti susu dan makanan khas, tiub khas dan lain-lain amat dialu-alukan.

Sumbangan ini diharapkan dapat memberi manfaat dan membantu ramai pesakit yang mendapatkan rawatan di HCTM. Selain itu, HCTM juga berharap ada kerjasama strategik dimasa akan datang yang dapat membantu pesakit terutamanya golongan B40 atau golongan yang kurang berkemampuan.

Lawatan Kerja Hospital Salak Bogor Indonesia ke HCTM

17 Feb 2020 Berita, Jaringan

CHERAS, 10 Februari – Seramai 6 orang delegasi Hospital Salak Bogor Indonesia telah mengadakan lawatan kerja di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Ketibaan delegasi yang diketuai oleh Dr.Heriyanto Manihuruk, Pengarah Hospital Salak Bogor telah disambut mesra oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM.

Lawatan ini diadakan bertujuan untuk berkongsi idea dan membincangkan dasar strategik pemasaran, dasar perakaunan / tarif strategik, melihat dengan lebih dekat Integrated Hospital Information System serta membincangkan strategi-strategi kecekapan dan keberkesanan pengoperasian hospital. Turut hadir dalam perbincangan ini Puan Kamariah Md Nasir, Timbalan Pengarah (Teknologi Maklumat) KKL, Prof. Madya Dr. Aniza Ismail, Ketua Jabatan Kualiti, Encik Mohd Marzuki Abdul Rashid Ketua Jabatan Maklumat Kesihatan, Puan Yasmin Rahimi, Pengurus Pembangunan Korporat, dan Puan Nor Liza Abd Halim, wakil Timbalan Pengarah (Kewangan) KKL UKM.

Delegasi dibawa melawat ke Jabatan Perubatan Kecemasan dan Klinik Ortopedik & Traumatologi HCTM dan diberikan penerangan ringkas mengenai pengoperasian di jabatan dan pengurusan pesakit di klinik. Lawatan diakhiri dengan melihat kemudahan-kemudahan di hospital seperti Kafeteria Azalea dan lot-lot kedai di Lobi Pelawat.

MAJLIS PENYERAHAN MOCK CHEQUE OLEH SG CENTRAL SDN BHD KEPADA TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HCTM

10 Feb 2020 Berita, Jaringan

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Mock Cheque oleh SG Central Sdn Bhd kepada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 5 Februari 2020 (Rabu) jam 3.00 petang bertempat di SUKMARIA, Aras 3, Blok Klinikal, Jalan Ya’acob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.

Penyerahan Mock Cheque berjumlah RM 50,992.00 telah disampaikan oleh Encik Eng See Hua, Pengarah Urusan SG Central Sdn Bhd kepada Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Sumbangan yang diperolehi adalah hasil kutipan yang berjaya diperolehi daripada program larian amal yang dijalankan sebelum ini. Inisiatif yang dilakukan adalah untuk membantu membiayai kos alat implan pesakit-pesakit Cochlear Implant di HCTM yang kurang berkemampuan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Prof. Dr. Goh Bee See, Pakar perunding ORL_HNS. Jabatan Otorinolaringologi, HCTM dan Puan Suraiyah Harun, Ketua Jabatan Kebajikan Sosial Perubatan, HCTM.

Search

+
Font Resize
Contrast