Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM

9 Nov 2022 2022, Berita

CHERAS, 28 Oktober 2022 (Jumaat) – Unit Geriatrik HCTM telah menganjurkan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HCTM di Lobi Utama HCTM. Program ini diadakan bagi meraikan warga emas dan mendidik golongan muda untuk membela nasib warga emas terutamanya yang uzur dan kurang berupaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil pengurusan HCTM, Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Beliau dalam ucapannya berkata pendedahan kepada semua yang terlibat dalam bidang perawatan warga emas adalah penting kerana Malaysia bakal menuju ke arah status negara tua. Menurut laporan perangkaan suku pertama tahun 2021, komposisi penduduk warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama. Dianggarkan lebih kurang 705 orang pesakit Geriatrik mendapat rawatan di HCTM bermula bulan Mei 2019 hingga September 2022 dan jumlah ini semakin meningkat setiap tahun.

Sempena sambutan Warga Emas, beberapa aktiviti telah dijalankan antaranya pameran reruai daripada pelbagai unit sokongan dalam perawatan Geriatrik (warga emas), agihan 100 goodie bags kepada pelawat yang hadir, ceramah kesihatan, sesi regangan badan, dan cabutan bertuah. Program ini juga mendapat sokongan dan sumbangan daripada rakan strategi seperti Malaysian Society of Geriatric Medicine, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tena, Brego, dan M&B Medical Marketing.

Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM

19 Okt 2022 2022, Berita

CHERAS, 19 Oktober – Hampir 180 orang tetamu jemputan telah hadir memenuhi undangan dan meraikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Wad Tuanku Canselor yang telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud pada pagi tadi. Ucapan menjunjung kasih telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Beliau dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memacu hospital ke arah pusat perubatan bertaraf antarabangsa. Semangat kebersamaan demi kecemerlangan organisasi tidak kira sama ada kakitangan klinikal atau bukan klinikal telah menaikkan nama hospital selama 25 tahun. Banyak kejayaan telah dikecapi antaranya ialah Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) menjadi pusat latihan kemahiran pembedahan pertama di luar United Kingdom (UK) menerima Akreditasi dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Jabatan Surgeri melalui kepakaran bariatrik telah merekodkan sebanyak 2,000 pembedahan telah berjaya dilakukan, dan penaiktarafan Pusat Reproduktif Termaju menjadi Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama Malaysia. HCTM juga aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan kerjasama dengan KPT melalui Program KPT-Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS). Melalui dana yang disalurkan oleh KPT, sebanyak 53 Projek melibatkan aktiviti pemeriksaan kesihatan (Klinik Bergerak) termasuk melibatkan pakar yang turun ke komuniti.

Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM turut diselitkan dengan pelancaran logo rasmi Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan juga pelancaran Buku Coffee Table Jubli Perak 25 Tahun. Turut hadir dalam majlis Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM,  YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman, Naib Canselor UKM, YBhg.  Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.

Kempen ‘BAYAR & MENANG’

19 Okt 2022 2022, Berita

Kempen ‘BAYAR & MENANG’ merupakan inisiatif Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd untuk menggalakkan penggunaan ATM myDebit atau DuitNow QR sebagai medium bayaran. Anda berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM2000 apabila menggunakan kad ATM myDebit dan DuitNow QR di kaunter bayaran.

Muat naik ‘Terma & Syarat’ untuk maklumat lanjut. Sebarang pertanyaan boleh berhubung Puan Tengku Norliza ditalian 03-9145 5321 atau Pn. Nazratul Shima di talian 03-9145 6396.

Kejohanan Golf Amal HCTM Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM

18 Okt 2022 2022, Berita

NILAI, 16 Oktober 2022 – Kejohanan Golf Amal HCTM Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM telah diadakan pada pagi tadi di Kota Seriemas Golf & Country Club Nilai Negeri Sembilan. Objektif kejohanan adalah untuk mengutip sumbangan untuk Tabung Kebajikan Pesakit HCTM disamping merapatkan ukhwah antara warga HCTM dan rakan strategik.

Seramai 124 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini bagi merebut Piala Pusingan Dato’ Dr. Mahmud Mohd Nor dan Piala Alumni Perubatan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak. Majlis Penyampaian Piala kepada pemenang telah diadakan pada sebelah petang. Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin dalam ucapannya berkata beliau amat bersyukur atas penganjuran kejohanan golf amal pada tahun ini kerana kali terakhir kejohanan golf amal diadakan adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19. Kejohanan pada tahun ini berjaya mengutip dana sebanyak RM 154,350 dan hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Pesakit HCTM.

Sejak tahun 2018 hingga 2021, sebanyak RM17 juta telah diluluskan bantuan kepada hampir 2,626 orang pesakit. Tabung Kebajikan Pesakit HCTM ditubuhkan untuk membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan, implant pembedahan serta ubat-ubatan yang tidak disubsidi oleh kerajaan. Antaranya peralatan perubatan yang amat diperlukan oleh pesakit seperti central line, suction machine, colostomy bag, chemo pot, cochlear implant, oxygen concentrator, kerusi roda dan sebagainya. Bagi memastikan pesakit benar-benar layak menerima bantuan tabung, Jabatan Kerja Sosial Perubatan telah dipertanggungjawabkan untuk membuat penilaian biopsikososial dan menyediakan laporan penuh kepada Jawatankuasa Tabung untuk kelulusan penggunaan tabung tersebut.

 

Jemputan Forum: Pasca Strok – Apa yang Perlu Anda Tahu?

7 Okt 2022 2022, Berita

Jawatankuasa Penambahbaikan Perkhidmatan Strok, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM akan menganjurkan Forum: Pasca Strok – Apa yang Perlu Anda Tahu? bersempena Hari Strok Sedunia pada 28 Oktober 2022. Forum diadakan secara hibrid iaitu siaran langsung di Youtube dan Facebook HCTM dan secara bersemuka di Dewan Serbaguna, Blok Tambahan HCTM.  Semua dijemput hadir.

 

null

Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM

30 Sep 2022 2022, Berita

CHERAS, 30 September 2022 – Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM 2022 telah diadakan pada pagi tadi di Lobi Utama HCTM. Bertemakan ‘USE HEART FOR EVERY HEART‘, jantung merupakan adalah organ yang boleh dirasai, didengari, dan tanda permulaan dan pengakhiran bagi setiap kehidupan.

Objektif sambutan hari jantung Sedunia adalah melahirkan kesedaran kepada cara hidup sihat, mendidik masyarakat tentang penjagaan jantung sihat melalui aktiviti dan diet yang sihat serta menjauhi rokok, memberi pendedahan berkenaan penyakit jantung dan kesan terhadap populasi di Malaysia. Pada tahun ini bagi memastikan ekuiti kesihatan jantung untuk semua, Unit Kardiologi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, dan disiplin perubatan lain termasuk Jabatan Farmasi, Jabatan Dietetik dan Sajian Pemakanan serta Unit Fisioterapi telah mengambil inisiatif untuk menjayakan dua (2) program iaitu Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia yang diadakan pada hari ini dan aktiviti kesedaran jantung akan dijalankan esok di Sunway Velocity Mall Cheras, KL.

Majlis ini juga turut diselitkan pelancaran logo Pusat Jantung dan Paru-paru dan aktiviti seperti pameran, ceramah, dan forum turut diadakan sempena sambutan ini. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM. Turut hadir memberikan sokongan YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, Dr. Hamat Hamdi Che Hassan, Ketua Unit Kardiologi, dan tetamu khas, YBhg. Dato’ Dr. Oteh Maskon, Pakar Kardiologi, An-Nur Specialist.

Exhibition Debate: This House Would Hold Cyberbullies Accountable For The Suicides Of Their Targets

21 Sep 2022 2022, Berita

Bersempena dengan Hari Cegah Bunuh Diri 2022, acara debat dengan usul “This House Would Hold Cyberbullies Accountable For The Suicides of Their Targets” akan diadakan pada 22 September 2022, jam 10.30 pagi. Orang awam dan warga HCTM boleh menonton debat ini secara langsung di HCTM TV. Tujuan utama acara debat ini diadakan adalah sebagai satu platform dan ruang untuk membincangkan isu berkaitan bunuh diri secara terbuka dan selamat. Penganjuran acara debat ini, melibatkan jemputan luar terdiri dari barisan panel hakim dan pembahas-pembahas berkaliber dengan tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang risiko buli siber termasuk peranan media sosial, masyarakat awam dan organisasi media dalam usaha cegah bunuh diri.

HCTM TV: https://www.youtube.com/channel/UCIWJj7W3_FoNZhvh-kN0vfg/featured

Program Jom Fabrik 2.0

15 Sep 2022 2022, Berita

Program Jom Fabrik 2.0 HCTM telah dirasmikan pada 9 Ogos 2022 yang lalu dengan tujuan untuk mendidik generasi muda khususnya mahasiswa dan mahasiswi, kakitangan serta pesakit HCTM mengenai kepentingan mengitar semula fabrik terpakai dan memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan kitar semula. Warga HCTM dijemput dan dialu-alukan untuk menyumbangkan fabrik terpakai seperti pakaian, sarung bantal, selimut, kasut, cadar, tuala, beg atau barangan yang berunsurkan fabrik. Barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam Tong Jom Fabrik yang telah disediakan di hadapan Blok Asrama Jururawat.

1 16 17 18 19 20 41

Search

+