Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM

16 Mac 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat telah mengadakan Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM pada 16 Mac 2026 bertempat di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Seawal jam 9.00 pagi, para sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja hospital mula berkumpul bagi menyediakan hidangan istimewa sempena menyambut kedatangan Syawal. Pelbagai aktiviti penyediaan rendang dijalankan secara bersama seperti memotong daging, meracik bawang, memasak rendang secara bergilir-gilir serta membungkus makanan. Suasana yang santai namun penuh kerjasama jelas memperlihatkan semangat gotong-royong dalam kalangan warga kerja HCTM, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan dan warga hospital. Sebanyak 700 pek rendang daging berjaya disediakan untuk diagihkan kepada warga kerja hospital. Seawal jam 3.00 petang, lokasi agihan mula dikunjungi warga kerja yang hadir untuk mendapatkan pek rendang sambil berkongsi kemeriahan menjelang sambutan Aidilfitri. Pengurusan HCTM yang hadir menjayakan program ini, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Suraya Abdul Hamid, Ketua Jabatan Kewangan dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.




Program Bingkisan Kasih Aidilfitri HCTM 2026

16 Mac 2026 2026, Berita
Program Bingkisan Kasih Aidilfitri HCTM 2026 anjuran Pejabat Pengarah HCTM telah diadakan pada 16 Mac 2026, yang bertujuan menyantuni pesakit di wad sebagai tanda keprihatinan pihak HCTM sempena kedatangan Syawal 1447H yang bakal disambut tidak lama lagi. Sebanyak 120 pek hamper bingkisan kasih telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dan barisan ahli Pengurusan HCTM kepada pesakit-pesakit di wad yang sedang mendapatkan rawatan. Antara wad-wad yang terpilih menerima hamper sumbangan ialah Wad Ortopedik, Wad Obstetrik & Ginekologi, Wad Perubatan, Wad Surgeri dan Wad Onkologi. Sumbangan ini diharap dapat menceriakan pesakit yang sedang menjalani rawatan di hospital menjelang sambutan Aidilfitri. Turut hadir bersama-sama program ini Prof. Emeritus Dr. Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pelawat, Ahli-ahli Lembaga Pelawat, Ketua-ketua Jabatan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), dan urusetia program.

Majlis Menandatangani Persetujuan Bersama Jadual Pelupusan Rekod Perubatan antara HCTM dan Arkib Negara Malaysia

12 Mac 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Jabatan Maklumat Kesihatan telah mengadakan Majlis Menandatangani Persetujuan Bersama Jadual Pelupusan Rekod Perubatan antara HCTM dan Arkib Negara Malaysia di Sukmaria, Blok Klinikal HCTM pada 12 Mac 2026.
Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, majlis berkenaan merupakan detik penting apabila HCTM secara rasminya memiliki Jadual Pelupusan Rekod Perubatan yang diperakukan oleh Arkib Negara Malaysia. Menurut beliau, pengiktirafan tersebut sekali gus memperkukuh tadbir urus pengurusan rekod di institusi berkenaan.
“Rekod perubatan merupakan dokumen penting yang merekodkan sejarah rawatan pesakit dan menjadi sumber rujukan utama bagi memastikan kesinambungan rawatan.
“Selain itu, rekod ini juga penting bagi memenuhi keperluan perundangan, menyokong aktiviti penyelidikan serta pelaporan statistik kesihatan,” katanya dalam ucapan pada majlis tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan kitar hayat rekod perubatan, bermula daripada pewujudan sehingga pelupusan, perlu dilaksanakan secara terancang dan mematuhi akta, polisi, peraturan serta prosedur yang berkuat kuasa.
Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan serta kerahsiaan maklumat pesakit sentiasa terpelihara selaras dengan keperluan pihak berkepentingan. Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor, para pengarah bahagian Arkib Negara Malaysia; timbalan-timbalan pengarah HCTM; Ketua Jabatan Maklumat Kesihatan HCTM, Puan Hanuzah Omar, serta pegawai kanan daripada HCTM dan Arkib Negara Malaysia.

 


Program Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)

3 Mac 2026 2026, Berita
Program Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) 2026 telah diadakan pada 3 Mac 2026 bertempat di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Penganjuran program ini bertujuan menghargai warga kerja HCTM berbangsa Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan pada bulan Februari yang lepas. Seramai 44 orang kakitangan telah diraikan melalui penyampaian cenderamata sebagai simbol penghargaan atas dedikasi, kesetiaan dan sumbangan mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan di HCTM terus cemerlang. Majlis yang berlangsung secara sederhana tetapi bermakna ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dan barisan Ahli Pengurusan HCTM yang lain, sekaligus nenunjukkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga hospital.

Pembukaan Audit Pengawasan MS ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) HCTM

25 Feb 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima kehadiran Pasukan Audit daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Audit Pengawasan MS ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) HCTM yang berlangsung selama tiga (3) hari, bermula 25 hingga 27 Februari 2026. Audit ini merupakan komitmen berterusan HCTM dalam memastikan setiap perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan, selaras dengan aspirasi kecemerlangan organisasi dan kepuasan pelanggan.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan) yang mewakili Pengurusan HCTM di Bilik Mesyuarat Lembaga. Seterusnya, taklimat pelaksanaan audit telah disampaikan oleh Ketua Pasukan Audit SIRIM, YBrs. Encik Muhamad Faizudin bin Md. Lazim. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta warga HCTM.

Program Agihan Buah Kurma Bersama Pengurusan HCTM

11 Feb 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat telah menganjurkan Program Agihan Buah Kurma Bersama Pengurusan HCTM yang berlangsung pada 11 Februari 2026 (Rabu), pukul 12.45 tengah hari bertempat di Lobi Utama, Blok Klinikal, HCTM. Sebanyak 1,000 pek buah kurma telah diagihkan kepada warga kerja dan pesakit HCTM. Program ini diadakan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak Pengurusan HCTM bersama warga HCTM dan orang awam. Ahli Pengurusan HCTM yang hadir menjayakan program ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi, dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan serta YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

 

BICARA PENGARAH: 4 FOKUS UTAMA HCTM 2026

6 Feb 2026 2026, Berita
Melangkah ke tahun 2026, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin telah menggariskan empat fokus utama sebagai teras hala tuju hospital ke arah kecemerlangan berterusan pada Bicara Pengarah sempena Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.1/2026, 4 Februari 2026. Fokus tersebut merangkumi pemerkasaan penggunaan teknologi digital, pengukuhan amalan kelestarian selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pemantapan nilai integriti, serta keterlibatan aktif dalam khidmat masyarakat.


Berdasarkan amanatnya yang telah disampaikan, beliau berharap seluruh warga HCTM terus mara ke hadapan dengan tujuan yang jelas dan berfokus. Pemanfaatan teknologi digital seperti myHCTM dan ePesakit@HCTM perlu diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, seiring dengan pengamalan prinsip kelestarian dan pengukuhan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan. Keempat-empat fokus ini menjadi pemacu kepada usaha bersepadu HCTM dalam merealisasikan visi dan misi hospital, demi perkhidmatan kesihatan yang mampan, berintegriti dan berimpak tinggi kepada masyarakat.


Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja atas dedikasi dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang perjalanan ini. Majlis ini juga telah berlangsung pelancaran Podcast ‘Bila ST Bersuara Musim ke-2’, Simbolik Penyerahan Kunci Bilik Berduka, Penyerahan Sijil Anugerah Bitara Utama UKM, penyerahan Sijil Penghargaan Jabatan, Pelancaran Buku Mortaliti dan Morbiditi serta penyerahan Hadiah Pemenang Pertandingan Mencipta Slogan HCTM. Sokongan dan kerjasama padu semua pihak, HCTM diyakini akan terus maju ke hadapan dan kekal sebagai institusi kesihatan yang menjadi kebanggaan bersama.



Majlis Perasmian Seminar Pemerkasaan Profesion Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Siri 2 Tahun 2026

9 Jan 2026 Berita

Majlis Perasmian Seminar Pemerkasaan Profesion Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Siri 2 Tahun 2026 telah diadakan pada 8 Januari 2026, bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Seminar bertemakan “Memartabatkan Profesion Penolong Pegawai Perubatan di Era Digital dan Globalisasi” ini dianjurkan oleh Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan HCTM (U4P). Ia bertujuan menjadi platform untuk membincangkan hala tuju kerjaya PPP, selain menjadi wadah bagi penyampaian peranan Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya serta Persatuan Pembantu Perubatan, Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.

Majlis ini dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) yang mewakili Pengarah HCTM. Dalam ucapan perasmian, Prof. Madya Dr. Jamari berkata bahawa Penolong Pegawai Perubatan (PPP) merupakan aset penting dalam sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara. Beliau berkata, PPP memainkan peranan besar dalam memastikan kesinambungan rawatan, keselamatan pesakit serta keberkesanan perkhidmatan klinikal.
Beliau juga turut menekankan, pemerkasaan profesion PPP harus dilihat secara menyeluruh, bukan hanya dari segi tugas klinikal, tetapi turut melibatkan pembangunan kompetensi profesional, kepimpinan, integriti, literasi digital serta laluan kerjaya yang jelas dan progresif.

Turut hadir dalam majlis, YBrs. Tuan Haji Wan Muhammad Azman Wan Abdullah, Pengerusi Persatuan Pembantu Perubatan Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, YBrs. Encik Shafrizam Abdul Wahab, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, YBrs. Encik Abdul Wahid Jusoh, Ketua Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan HCTM (U4P), YBrs. Encik Fazuddin Zakaria, Ketua Program Seminar Pemerkasaan Profesional Penolong Pegawai Perubatan Siri 2 Tahun 2026, dan peserta seminar.


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/1AJ7uUmVbd/

1 2 3 41

Search

+