Majlis Perhimpunan Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 1/2024

30 Jan 2024 2024, Berita

CHERAS, 29 Januari 2024 –  Seramai 200 kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Kampus Kuala Lumpur telah menghadiri Majlis Perhimpunan Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 1/2024 yang diadakan di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Hiasan lampu ‘neon’ yang menjadi simbolik fesyen bandar moden,  perhimpunan pertama kakitangan HCTM hari ini membuka tirai dengan ucapan dan amanat daripada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.

Sepanjang tahun 2023, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan berjaya dilakar oleh warga HCTM sama ada diperingkat individu, Jabatan, Universiti mahupun Persada Antarabangsa. Mengimbau semula pencapaian tahun 2023, beberapa kejayaan telah diketengahkan seperti Kejohanan Sukan Staf antara Gugusan UKM, Anugerah Bitara Kelestarian (Pusat Perkhidmatan-HCTM) sempena Majlis Anugerah Bitara UKM, Penarafan 5 Bintang pelaksanaan myPortfolio HCTM sempena Inspektorat, dan Johan Perarakan (Kategori Pusat Tanggungjawab) Kontijen UKM Kampus KL sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023. Selain itu, sepanjang tahun 2023 sebanyak 58 program aktiviti khidmat bakti, 53 acara rasmi anjuran jabatan dan PTj, dan 37 aktiviti lawatan korporat dan akademik dalam dan luar negara telah dijalankan. Beberapa perkhidmatan baharu di HCTM telah diperkenalkan pada tahun lepas dan awal tahun ini  antaranya penubuhan 2 unit di bawah Pusat Jantung dan Paru-paru iaitu Unit Pembedahan Kardiothorasik Dan Unit Kardiologi, penubuhan Unit Penyeliaan Penolong Pegawai Perubatan, penubuhan Klinik Kesihatan Pekerjaan HCTM, dan penubuhan Unit Kesihatan Awam HCTM mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026 yang diketuai oleh YBhg. Mejar Bersekutu (PA) Prof. Dr. Mohd. Rohaizat Hassan.

Berkesempatan ini, beliau mengumumkan tahun 2024 merupakan Tahun Pengukuhan HCTM di mana penguatkuasaan meliputi aspek peraturan, arahan dan pekeliling digunakapakai bagi semua warga HCTM. Pengukuhan sistem pengurusan kualiti yang mempunyai ketahanan yang tinggi (resilience) dan pendekatan penguasaan responsif, dinamik dan inklusif melalui STRATEGI 6R iaitu Recovery (Pemulihan), Reform (Menyusun Semula), Restart (Memulakan Semula), Revitalise (Memperkasa), Resolve (Ketegasan), dan Resilience (Ketahanan).

Kakitangan yang hadir juga turut didedahkan dengan pengenalan kepada Sustain Development Goals (SDG) serta Kolaborasi dan Jaringan Strategik dengan pelbagai pihak dalam membantu peningkatan kemahiran tenaga kerja melalui perkongsian, sangkutan atau latihan. Dalam majlis yang sama, turut diadakan Penyerahan Sijil Malaysian Society Quality in Health (MSQH) dan Perasmian Ambulans Jabatan Perubatan Kecemasan. Majlis telah dihadiri oleh semua Timbalan-timbalan Pengarah, Timbalan Pendaftar, Ketua-ketua Jabatan, dan warga UKM.

Jemputan Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.1/2024

23 Jan 2024 2024, Berita

Sukacita dimaklumkan Majlis Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.1/2024 akan diadakan pada 29 Januari 2024 (Isnin) jam 10.00 pagi bertempat di Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM. Semua Warga HCTM dan Kampus Kuala Lumpur UKM (Zon Cheras) dijemput hadir.

Maklumat Kehadiran Kakitangan : https://forms.gle/tMpeXu6tDrXeM2Z5A

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Pengurusan Acara, Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, HCTM, talian 03-9145 5057 / 5058.

 

Iklan Jawatan Kosong Pelantikan Hospital Canselor Tuanku Muhriz 1/2024

Jabatan Sumber Manusia ingin mempelawa kakitangan atau warganegara Malaysia yang berkelayakan, komited serta berdedikasi untuk mengisi kekosongan jawatan pelantikan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz seperti di berikut:

  1. Jururawat U29

Muat turun Butiran Iklan Jururawat Bil. 1-2024


Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Jabatan Sumber Manusia
Hospital Canselor Tuanku Muhriz
Tingkat 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar
Jalan Ya’acob Latif, Bandar Tun Razak
56000 Cheras, Kuala Lumpur

Urusetia (Unit Perjawatan & Kenaikan Pangkat)
Tel : 03-9145 5150
Emel : ejawatan@ppukm.ukm.edu.my


Tarikh Buka Iklan : 16 Januari 2024
Tarikh Tutup Iklan : 30 Januari 2024

Klinik Kesihatan Pekerjaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz

15 Jan 2024 2024, Berita

CHERAS, 15 Januari 2024 – YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM telah hadir merasmikan Klinik Kesihatan Pekerjaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Ruang Lobi Advanced Surgical Skills Centre HCTM, awal pagi tadi.

Penubuhan Klinik Kesihatan Pekerjaan adalah hasil perbincangan pengurusan dan tinjauan MSQH yang dilakukan pada tahun 2021. Semasa penyemakan program-program MSQH, mendapati pertindihan tugas antara Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Unit Kawalan Infeksi (UKI) dan Klinik Warga. Sejajar dengan penambahan kakitangan di UKKP dan peningkatan kompetensi, Unit Keselamatan dan Kesihatan (UKKP) bersedia memberikan komitmen yang tinggi bagi merealisasikan Klinik Kesihatan Pekerjaan HCTM yang telah beroperasi pada 1 November 2023.

Klinik Kesihatan Pekerjaan HCTM menyediakan perkhidmatan seperti pengurusan kes-kes kecederaan tajam, ujian darah dan radiologi, pemberian vaksin, pemeriksaan kesihatan dan kes-kes penyakit pekerjaan atau keracunan pekerjaan yang dirujuk serta mengurus kes-kes “return to work”.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Pengajar Universiti Awam dan Warga HCTM.

 

 

Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi & Apresiasi Sempena Akreditasi Penuh Malaysian Society For Quality In Health (MSQH)

CHERAS, 15 Disember – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi & Apresiasi Sempena Akreditasi Penuh Malaysian Society For Quality In Health (MSQH) Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM. Dianggarkan seramai 200 orang warga HCTM telah memenuhi Auditorium untuk menyaksikan detik bersejarah ini.

Majlis yang dianjurkan bertujuan untuk berkongsi detik istimewa di mana HCTM merupakan hospital pengajar universiti pertama yang memperoleh Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH untuk tempoh empat (4) tahun bermula dari 9 Mei 2023 hingga 8 Mei 2027. Selain itu, sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga HCTM yang memberikan komitmen terbaik sebagai satu pasukan dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di hospital dalam memperoleh Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH.

Majlis turut menyaksikan Penyampaian Sijil Akreditasi yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Abdul Kadar Marikar, Perunding MSQH dan Wakil Ketua Pegawai Eksekutif MSQH kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.
Hadir sama, Pengarah-pengarah Hospital, Ahli-ahli Pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Fakulti Perubatan dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak dan warga HCTM.

Majlis Perasmian Sambutan Hari Radiografi Sedunia Peringkat UKM dan Pelancaran Sistem Pacs Synapse

5 Dis 2023 2023, Berita

CHERAS, 29 November 2023 – Majlis Perasmian Sambutan Hari Radiografi Sedunia Peringkat UKM dan Pelancaran Sistem Pacs Synapse telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Hanita Othman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan) mewakili Pengarah HCTM di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Hari Radiografi Sedunia disambut pada 8 November pada setiap tahun bagi memperingati penemuan x-ray oleh Professor Roentgen pada 8 November 1895.

Program ini merupakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Radiologi HCTM dengan  kerjasama 8 Pusat Tanggungjawab iaitu Bahagian Teknologi Maklumat KKL, Jabatan Radiologi HPKK, Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Jabatan Pengimejan Molekul & Perubatan Nuklear, Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, Unit Radiologi, Pusat Kesihatan Universiti, Unit Radiologi Jabatan Diagnostik Kraniofasial dan Biosains Fakulti Pergigian dan Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi Fakulti Sains Kesihatan. Bertemakan Celebrating Patient Safety, keselamatan pesakit menjadi keutamaan dalam mengurangkan tahap radiasi dalam setiap pemeriksaan dan prosedur Radiologi yang dijalankan.

Prof. Madya Dr. Hanita berkata pihak pengurusan sentiasa menyokong program seumpama ini dan percaya ianya akan memberikan peluang untuk pihak yang terlibat berinteraksi dan disajikan dengan pengetahuan baru yang lebih mendalam mengenai perkhidmatan dan peluang pembelajaran yang ditawarkan UKM.

Beliau berkata gabungan jabatan-jabatan dan unit-unit yangberkaitan dan sinonim dengan perkhidmatan dan pembelajaran dalam bidang radiologi secara keseluruhannya dari UKM ini, akan meningkatkan lagi peluang untuk masyarakat mengetahui dengan lebih dekat lagi jenis perkhidmatan dan peluang pembelajaran dalam bidang radiologi.

“Aktiviti  telah disusun oleh pihak penganjur sepanjang program ini berlangsung amat menarik dan salah satu  aktiviti yang dijalankan  ialah pemeriksaan payudara dan ultrasound percuma untuk komuniti masyarakat di sekitar yang hadir ke program pada hari ini.

“Kanser payudara, barah utama yang menjadi penyebab utama kematian wanita yang telah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 34.1 peratus berbanding kanser lain di kalangan wanita di Malaysia adalah satu penyakit yang perlu diberikan perhatian kerana kadar insiden kanser payudara di Malaysia ini adalah sebanyak 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita,” katanya.

Majlis Sambutan Hari Radiologi juga akan melancarkan Sistem PACS Synapse iaitu satu sistem penstoran dan pengurusan imej berteknologi canggih dan terkini berasaskan web. Sistem ini digunakan dalam bidang perubatan bagi memudahkan proses penyimpanan dan perkongsian imej perubatan secara pantas dan cekap. Teknologi yang ditawarkan ini meningkatkan tahap capaian imej yang pantas dengan menggunakan teknologi penstriman secara terus dalam masa nyata. Teknologi ini juga akan meningkatkan keselamatan siber bagi capaian imej kerana imej perubatan yang sensitif tidak di simpan di dalam penstoran setempat.

Capaian imej perubatan dapat diperolehi dengan lebih cepat dan teratur yang dapat membantu pakar dalam memberi diagnosis penyakit dengan lebih cekap, efisien dan tepat bersesuaian dengan moto HCTM ‘Better, Faster and Friendlier’. Kemudahan ini banyak memberikan manfaat kepada pesakit dan perawat dalam memastikan diagnosis yang paling tepat, sekaligus rawatan yang berkesan, terbaik dan kos efektif dapat diberikan.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Prof. Madya Datin Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Ketua Jabatan Radiologi, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.

 

Majlis Perasmian Sambutan “World Stroke Day” Peringkat HCTM 2023

22 Nov 2023 2023, Berita

CHERAS, 21 November 2023 – Majlis Perasmian Sambutan “World Stroke Day” Peringkat HCTM 2023 anjuran Unit Neurologi, Jabatan Perubatan telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) mewakili Pengarah HCTM  bertempat di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.

“Perkhidmatan strok adalah salah satu niche atau kekuatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Pada tahun ini sehingga bulan November, hampir 500 orang pesakit strok menerima rawatan di HCTM. Seramai 48 orang pesakit telah mendapat rawatan awal iaitu thrombolysis, di mana pesakit menerima rawatan di kecemasan dalam tempoh
empat (4) jam terawal dari masa kena strok,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian World Stroke Day.

Sejak hampir dua (2) dekad lalu, perkhidmatan strok kian melonjak menerusi perkhidmatan, penyelidikan dan penerbitan. Melihat dari perspektif negara, strok adalah antara penyebab ketiga (3) utama kematian di Malaysia dan penyebab ketidakupayaan atau disability di kalangan golongan dewasa. Strok boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tidak kira pada yang tua atau muda.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada semua pihak terutamanya Unit Neurologi dalam menjayakan program ini, seterusnya mencapai objektif yang disasarkan. Turut serta dalam majlis ini adalah YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, YBhg. Prof. Dr. Tan Hui Jan, Ketua Unit Neurologi, Jabatan Perubatan dan warga HCTM.

Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz Sesi 2023

20 Nov 2023 2023, Berita

CHERAS, 16 November 2023 – Seramai 23 orang anak-anak taska menerima sijil penghargaan dalam Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz Sesi 2023 bertempat di Dewan Kuliah Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), HCTM. Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM.

Majlis Graduasi merupakan acara tahunan anjuran  Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu.  Prof. Dato’ Dr  Razman, Pengarah HCTM dalam ucapanya berkata majlis ini merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh warga Taska dan juga satu bentuk penghormatan dan penghargaan kepada para pendidik taska atas segala usaha yang telah dicurahkan dalam mendidik anak-anak. Memetik ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, masyarakat pada hari ini semakin menyedari bahawa keperluan pendidikan yang baik dan berkualiti sangat berkait rapat dalam menentukan kualiti dan nasib masa hadapan generasi anak bangsa. Didikan yang baik pastinya akan membantu anak-anak untuk membesar dan menjadi insan yang berguna kelak serta melahirkan anak
bangsa yang penuh kemuliaan sifatnya, maka, segalanya bermula dari pendidikan.

Pengarah HCTM mengucapkan tahniah kepada semua tenaga pengajar dan berharap taska HCTM terus menjadi contoh bagi pendidikan dan pembangunan masyarakat modal insan yang unggul dan berkualiti demi mencapai matlamatnya pada masa hadapan. Turut hadir meraikan majlis tersebut, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Puan Zuraidah Konil, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, Ketua-ketua Jabatan, Puan Emilia Nurfarah ‘Ain Azmi, Penyelia Taska HCTM, Ibu Bapa dan warga HCTM.

 

1 11 12 13 14 15 37

Search

+