Jemputan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras)


CHERAS, 10 April 2024 – Majlis Penyampaian Juadah Sempena Hari Raya Pertama Aidilfitri, 1 Syawal 1445H/2024 telah diadakan di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz hari ini disambut secara sederhana bagi meraikan dan menghargai sumbangan kakitangan HCTM yang bertugas pada 1 Syawal demi berbakti kepada masyarakat setempat.
Sebanyak 626 pek juadah pelbagai menu dan 65 bakul raya telah disediakan dan diagihkan kepada kakitangan bertugas pada hari ini. Agihan pek juadah telah diedarkan kepada kakitangan bertugas di Jabatan Klinikal, Sokongan Klinikal, Pentadbiran dan sebahagian dari Kampus Kuala Lumpur.
Penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar mewakili Pengarah HCTM. Pada kesempatan ini, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya dan beramah mesra bersama kakitangan yang hadir. Turut hadir pada pagi Syawal ini, Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

CHERAS, 4 April 2024 – Program Bingkisan Kasih Aidilfitri 2024 anjuran Pejabat Pengarah dengan kerjasama jabatan-jabatan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) serta Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan telah berjalan lancar pada pagi tadi.
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM bersama-sama ahli mesyuarat pengurusan HCTM telah menyantuni beberapa pesakit di Wad Ortopedik, Wad Obstetrik & Ginekologi, Wad CCU, Wad Medikal, Wad Surgeri dan Wad Psikiatri dengan menyampaikan sumbangan bakul raya sempena kedatangan Syawal 1445 yang akan disambut tidak lama lagi.
Turut serta dalam program ini Ketua-ketua Jabatan, Encik Ahmad Zamri Noordin, wakil Pejabat Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur dan Warga HCTM.


CHERAS, 8 Mac 2024 – YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM telah menyempurnakan Majlis Perasmian Mesin MRI 3 TESLA Jabatan Radiologi di Bilik Mesyuarat Jabatan Perkhidmatan Radiologi, Blok Klinikal HTCM, hari ini.
Pengarah HCTM menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Radiologi kerana telah berjaya memperolehi mesin MRI 3 TESLA. Tambah beliau, mesin tersebut akan digunakan sepenuhnya mulai 11 Mac 2024.
“Pembelian mesin MRI ini berikutan permintaan kes yang semakin meningkat sekian hari yang memerlukan mesin berkapasiti tinggi bagi membolehkan lebih ramai pesakit menjalani pemeriksaan MRI di HCTM,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Majlis Perasmian Mesin MRI 3 TESLA.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkenalkan dengan lebih dekat penggunaan serta aplikasi baharu yang terdapat pada mesin MRI 3 TESLA ini kepada pihak pengurusan dan hospital. Mesin MRI 3T (Signa Hero) adalah pengimbas pengimejan resonans magnetik bersaiz 70cm yang dibina untuk menyelaraskan aliran kerja dengan lebih pantas di samping meningkatkan imej kualiti dan mengutamakan keselesaan pesakit. Mesin yang dipasang di Jabatan Radiologi HCTM adalah yang pertama digunakan di Malaysia bagi menggantikan mesin MRI lama yang telah digunakan sejak tahun 2011.
Turut hadir, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Prof. Madya Datin Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Ketua Jabatan Radiologi, Encik Mohd Fahmeey Hashim, Ketua Jabatan Pembangunan Prasarana KKL, Encik Mohamad Norman Mohd. Nordin, Ketua Juru X-Ray dan Pengurus Jabatan Radiologi dan warga HCTM.
CHERAS, 6 Mac 2024 – “Kesihatan buah pinggang untuk semua” merupakan tema Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada tahun ini. Unit Nefrologi Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan serta Persatuan Pakar Perubatan UKM mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat HCTM di Lobi Utama, Blok Klinikal HCTM.
Menurut Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, saban tahun rakyat Malaysia yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat. Pada tahun 2012, seramai 29,452 rakyat negara ini, menjalani rawatan dialisis dan jumlah kian meningkat kepada 51,256 pesakit pada tahun 2022.
“Jumlah pesakit meningkat lebih dua (2) kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun dan peningkatan ini dijangka akan berterusan, sekiranya langkah-langkah penjagaan kesihatan tidak diutamakan” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pagi ini.
Beliau juga berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan kepedulian tentang kesihatan buah pinggang dan jadikan program ini sebagai tonggak penting dalam usaha meningkatkan kesedaran tersebut.
Dianggarkan seramai 100 orang awam dan kakitangan telah hadir ke majlis perasmian ini. Majlis telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan dan wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

PUTRAJAYA, 22 Februari 2024 – Seramai 50 orang kanak-kanak menyertai Program Khatan Beramai-ramai (Sunathon) Kementerian Pendidikan Tinggi secara percuma, anjuran Biro Agama dan Kerohanian PUSPANITA Cawangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program yang berlangsung pada hari ini telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Azhan Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Za’aba, KPT. Program Sunathon ini adalah program berbentuk tanggungjawab sosial korporat HCTM kepada komuniti khususnya golongan rentan bandar dan B40 dalam memperkasa kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Seramai 80 petugas diketuai oleh Jabatan Sumber Manusia dan dibantu oleh Jabatan Ortopedik & Traumatologi, Jabatan Surgeri, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Unit Penyeliaan Penolong Pegawai Perubatan, Pejabat Pengarah serta beberapa jabatan lain terlibat dalam program tersebut. Turut hadir, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Jabatan Surgeri dan Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan.
Jabatan Sumber Manusia ingin mempelawa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas serta berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM seperti berikut:
Jawatan : Personel MyStep
Kelayakan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) / Sijil Vokasional Malaysia (SVM)
Gaji : RM 1,700.00 sebulan
CARA MEMOHON:
i. Calon boleh membuat permohonan dengan mengemukakan dokumen ke alamat e-mel ejawatan@ppukm.ukm.edu.my . Berikut adalah dokumen yang perlu dilampirkan untuk permohonan jawatan:
a. Curriculum Vitae (CV) yang lengkap
b. Salinan Kad Pengenalan
c. Salinan Sijil SPM/SVM
d. Salinan Sijil Berhenti Sekolah
ii. Hanya calon yang layak sahaja akan dihubungi untuk sesi temu bual. Permohonan dianggap tidak berjaya sekiranya tidak menerima sebarang pemakluman selepas 4 bulan daripada tarikh tutup permohonan.
TARIKH TUTUP IKLAN : 5 MAC 2024
PUTRAJAYA, 7 Februari 2024 – Majlis Perasmian Pertandingan Mission SlimPossible MOHE 2.0 telah diadakan pada 7 Februari 2024 bertempat di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Berucap dalam majlis, beliau memaklumkan hasil kajian Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2020 mendapati bahawa negeri paling ramai obesiti di Malaysia adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 43% daripada populasi adalah obese. Dalam laporan kajian ini juga mendapati seramai 40.3% daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia adalah dalam kategori obesiti.
“Penganjuran pertandingan Mission Slim-Possible MOHE 2.0 dan juga pelbagai program lain yang telah dilaksanakan oleh Kelab KPT adalah selari dengan hasrat Kementerian ini yang sentiasa menggalakkan warga KPT untuk menjalani gaya hidup sihat,” katanya.
Program pemeriksaan kesihatan ini diadakan sebanyak dua (2) kali iaitu pada hari ini dan seterusnya pada 6 Mei 2024 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program ini diketuai oleh Jabatan Perubatan Keluarga dengan dibantu Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan serta Jabatan Farmasi bertujuan mempromosi kepentingan penjagaan kesihatan kendiri serta penurunan berat badan kepada 250 kakitangan di bawah KPT. Pejabat Pengarah dan Jabatan Multimedia & Penyiaran turut hadir selaku urusetia.
Program ini menawarkan saringan pemeriksaan kesihatan percuma seperti pengukuran indeks jisim badan (BMI), ujian tekanan darah, pemeriksaan gula dalam darah dan konsultasi kesihatan. Selain itu, turut diadakan forum kesihatan berkaitan Gaya Hidup Sihat yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Sarah Anne Robert, Pegawai Farmasi HCTM dan Encik Muhammad Azif Azizi Bin Md Noh, Pegawai Dietetik HCTM dan Encik Mohd Amri Yahya, bekas pemain Bola Sepak Kebangsaan.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Prof. Madya Dr. Saharuddin Ahmad, Ketua Jabatan Perubatan Keluarga dan warga HCTM.
