CHERAS, 30 September 2022 – Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM 2022 telah diadakan pada pagi tadi di Lobi Utama HCTM. Bertemakan ‘USE HEART FOR EVERY HEART‘, jantung merupakan adalah organ yang boleh dirasai, didengari, dan tanda permulaan dan pengakhiran bagi setiap kehidupan.
Objektif sambutan hari jantung Sedunia adalah melahirkan kesedaran kepada cara hidup sihat, mendidik masyarakat tentang penjagaan jantung sihat melalui aktiviti dan diet yang sihat serta menjauhi rokok, memberi pendedahan berkenaan penyakit jantung dan kesan terhadap populasi di Malaysia. Pada tahun ini bagi memastikan ekuiti kesihatan jantung untuk semua, Unit Kardiologi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, dan disiplin perubatan lain termasuk Jabatan Farmasi, Jabatan Dietetik dan Sajian Pemakanan serta Unit Fisioterapi telah mengambil inisiatif untuk menjayakan dua (2) program iaitu Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia yang diadakan pada hari ini dan aktiviti kesedaran jantung akan dijalankan esok di Sunway Velocity Mall Cheras, KL.
Majlis ini juga turut diselitkan pelancaran logo Pusat Jantung dan Paru-paru dan aktiviti seperti pameran, ceramah, dan forum turut diadakan sempena sambutan ini. Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM. Turut hadir memberikan sokongan YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, Dr. Hamat Hamdi Che Hassan, Ketua Unit Kardiologi, dan tetamu khas, YBhg. Dato’ Dr. Oteh Maskon, Pakar Kardiologi, An-Nur Specialist.