Kejohanan Golf Amal HCTM Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM

18 Okt 2022 2022, Berita

NILAI, 16 Oktober 2022 – Kejohanan Golf Amal HCTM Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM telah diadakan pada pagi tadi di Kota Seriemas Golf & Country Club Nilai Negeri Sembilan. Objektif kejohanan adalah untuk mengutip sumbangan untuk Tabung Kebajikan Pesakit HCTM disamping merapatkan ukhwah antara warga HCTM dan rakan strategik.

Seramai 124 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini bagi merebut Piala Pusingan Dato’ Dr. Mahmud Mohd Nor dan Piala Alumni Perubatan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak. Majlis Penyampaian Piala kepada pemenang telah diadakan pada sebelah petang. Pengarah HCTM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin dalam ucapannya berkata beliau amat bersyukur atas penganjuran kejohanan golf amal pada tahun ini kerana kali terakhir kejohanan golf amal diadakan adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19. Kejohanan pada tahun ini berjaya mengutip dana sebanyak RM 154,350 dan hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Pesakit HCTM.

Sejak tahun 2018 hingga 2021, sebanyak RM17 juta telah diluluskan bantuan kepada hampir 2,626 orang pesakit. Tabung Kebajikan Pesakit HCTM ditubuhkan untuk membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan, implant pembedahan serta ubat-ubatan yang tidak disubsidi oleh kerajaan. Antaranya peralatan perubatan yang amat diperlukan oleh pesakit seperti central line, suction machine, colostomy bag, chemo pot, cochlear implant, oxygen concentrator, kerusi roda dan sebagainya. Bagi memastikan pesakit benar-benar layak menerima bantuan tabung, Jabatan Kerja Sosial Perubatan telah dipertanggungjawabkan untuk membuat penilaian biopsikososial dan menyediakan laporan penuh kepada Jawatankuasa Tabung untuk kelulusan penggunaan tabung tersebut.

 

Search

+