Program Bicara Spontan HCTM Siri 6

20 Dis 2021 2021, Berita

Adalah dimaklumkan Program Bicara Spontan HCTM Siri 6 anjuran Unit Pengurusan Acara, Jabatan Komunikasi Korporat & Khidmat Pelanggan akan diadakan seperti berikut :-

Tarikh: 21 Disember 2021 (Selasa)
Masa: 2.30 Petang
Tempat: Zoom Online

Tajuk: Rekod Perubatan Fizikal & Rekod Perubatan Elektronik

Ahli Panel:

1)      Jabatan Maklumat Kesihatan
2)      Bahagian Teknologi Maklumat
3)      Unit Khidmat Pelanggan

 

Program ini terbuka kepada warga HCTM dan UKM sahaja. Kakitangan yang berminat boleh membuat pendaftaran dengan scan QR code pada poster yang disertakan.

Sekian, Terima kasih.

 

Sambutan Program Berkhatan Beramai-ramai (SUNATHON) HCTM 2021

13 Dis 2021 2021, Berita

Cheras, 11 Disember 2021, – Seramai 81 orang kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak warga UKM, HCTM dan HPKK, anak-anak yatim dari Rumah Tengku Budriah dan Rumah Ronald McDonald serta anak-anak penduduk sekitar Hulu Langat menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai (SUNATHON) HCTM 2021.

Program yang dilaksanakan sejak tahun 2003 ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM.  Tujuan program ini diadakan adalah atas rasa tanggungjawab sosial pihak HCTM bagi membantu warga kerja dan memudahkan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam program ini YBhg. Prof. Dato Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, YBhg. Prof. Dr Raja Affendi, Dekan Fakulti Perubatan, YBsh. En. Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities Malaysia dan pengurusan tertinggi hospital.

 

Perhimpunan Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM Bil 4/2021

13 Dis 2021 2021, Berita
Majlis Perhimpunan Kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Bil. 4/2021 akan diadakan pada 23 Disember 2021 (Khamis) jam 9.00 pagi secara langsung melalui Youtube HCTM TV dan pautan akan di kongsikan dalam Facebook HCTM. Semua kakitangan UKM khususnya warga HCTM dijemput untuk menonton siaran ini secara langsung di Youtube HCTM TV. Kehadiran kakitangan boleh direkodkan dalam myUKM atau googleform yang akan dikongsikan selepas majlis.

 

Program Forum Persada Kampus Kuala Lumpur

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sukacita dimaklumkan Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) akan mengadakan Forum Persada Kampus Kuala Lumpur seperti berikut :

Tarikh : 04/12/2021 (Sabtu)
Masa : 10:00 pagi – 11:30 pagi
Tajuk : Menjangkau Masyarakat Melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV)

Ahli Panel:
1. YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan

2. YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Presiden MERCY Malaysia

3. YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur)

Moderator:
Encik Luqman Hariz, Astro Awani

Forum ini akan disiarkan secara live-streaming di laman Youtube HCTM dan Facebook HCTM seperti berikut:

https://www.facebook.com/HCTM.UKM
https://www.youtube.com/channel/UCIWJj7W3_FoNZhvh-kN0vfg

Sekian, terima kasih.

 

Pelawaan Mengikuti Program Pos Basik di HCTM UKM Sesi 2022

2 Dis 2021 2021, Berita

Pelawaan Mengikuti Program Pos Basik Di HCTM UKM SESI 2022

Unit Pos Basik, Bhg. Perkembangan Kejururawatan HCTM mempelawa warga dan orang luar untuk mengikuti Program Pos Basik sepenuh masa bagi pengambilan sesi 2022. Program akan dijalankan selama 6 bulan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Nama Program: Pos Basik Perawatan Diabetes (MQA/PA 13718)
Tempoh: 1 Mac 2022 – 31 Ogos 2022
Yuran Pengajian: RM 7000.00

Nama Program: Pos Basik Perawatan Intensif (MQA/PA 13719)
Tempoh: 1 Mac 2022 – 31 Ogos 2022
Yuran Pengajian: RM 7000.00

Maklumat lanjut sila layari: https://hctm.ukm.my/kejururawatan/bahagian-perkembangan-kejururawatan/unit-pos-basik/

Borang Permohonan Pos Basik

Sakit Kepala

1 Dis 2021 Artikel

“Ada masa tertentu, terutama jika saya terlalu penat dengan urusan harian, pada waktu malam saya akan dikejutkan dengan sakit kepala yang sangat teruk. Ia terlalu menyakitkan, sampai ada kalanya saya menangis. Apa yang saya perasan, sakit kepala ini tidak hilang hanya dengan memakan paracetamol,” kata Puan Alizawati Nasrul, 34 kepada Utusan Malaysia.

Simptom sakit kepala dialami Puan Alizawati itu, menurut laporan Sekolah Perubatan Harvard berjudul “Headache: When To Worry, What To Do”, adalah satu daripada pelbagai jenis sakit kepala berbeza yang sering melanda ramai orang. Kata laporan itu lagi, sehingga kini, para doktor masih belum benar-benar faham punca sebenar sakit kepala yang berbeza jenisnya itu. Dianggarkan terdapat lebih 300 jenis sakit kepala, namun hanya 10 peratus daripada keseluruhan sakit itu yang berjaya dikenal pasti puncanya oleh pakar perubatan seluruh dunia.

 

SIMPTOM DAN JENIS SAKIT KEPALA

Pakar Perunding Neurologi, Prof. Madya Dr. Rabani Bt Remli dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, secara umumnya, sakit kepala – termasuk yang dialami Puan Alizawati – dikesan apabila apabila seseorang mengalami simptom sakit yang berdenyut secara berterusan atau sekejap-sekejap di bahagian kepala. Lokasi serangan sakit itu mungkin di satu bahagian muka atau tengkorak, atau boleh juga melibatkan seluruh bahagian kepala.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Dr. Rabani berkata, ada dua jenis sakit kepala yang sering dilaporkan iaitu primer dan sekunder. Sakit kepala jenis primer merujuk kepada kesakitan yang berpunca dari ketidakseimbangan atau masalah ransangan saraf yang mengesan rasa sakit di kepala. Jenis kedua pula ialah sakit kepala sekunder, iaitu sakit kepala yang diakibatkan oleh sakit di bahagian lain, yang kemudian melarat sehingga meninggalkan rasa sakit di bahagian kepala.

“Sebagai contoh, sakit kepala sinus – iaitu rongga dalam tulang tengkorak yang bersambung dengan hidung – dianggap sebagai sakit kepala sekunder kerana peningkatan tekanan atau jangkitan pada sinus,” katanya.

 

MIGRAIN

Dalam konteks sakit kepala jenis primer, tiga sub kategori penyakit jenis ini yang sering dilaporkan ialah migrain, tekanan dan sakit kepala jenis kelompok. Sakit kepala jenis migrain, kata Dr. Rabani adalah jenis yang paling kerap dihidapi oleh masyarakat di seluruh dunia, menjangkiti satu daripada tujuh orang iaitu kira-kira 14.7 peratus. Di peringkat global juga, migrain adalah penyebab utama punca kehilangan upaya pada kumpulan usia di bawah 50 tahun, diikuti dengan sakit belakang dan diabetes.

“Migrain berasal dari perkataan Latin iaitu “hemicrania” yang bermaksud “separuh” (hemi) “tengkorak” (crania). Sakit kepala jenis ini seringkali dikaitkan dengan sakit kepala yang kronik dan paling kerap dihidapi oleh masyarakat seluruh dunia. Migrain adalah sakit kepala yang kuat dan kebiasaannya pesakit akan mengalaminya pada sebelah bahagian kepala, sama ada kiri atau kanan. Pesakit migrain sering merasa mual, muntah, dan sensitif terhadap cahaya dan bunyi. Pesakit juga cenderung mengasingkan diri dalam bilik yang gelap dan sunyi bagi mengurangkan rasa tidak selesa ketika mengalami serangan,” katanya.

Boleh berlanjutan sehingga berhari-hari, kebiasaanya sakit jenis ini akan menyerang dalam tempoh sekitar empat sehingga 72 jam. Dalam kes tertentu, pesakit migrain mempunyai petanda bahawa sakit ini akan menyerang, dan ini dikenali sebagai “aura”. Sekolah Perubatan Harvard merujuk “aura” ini sebagai petanda, dan antara petanda yang menyusul sebelum migrain termasuklah mengalami perubahan mood dan kabur penglihatan. Sejurus itu mereka akan mula merasakan sakit di sebelah kawasan kepala, ada yang bermula di belakang kepala, tepi dahi atau mata,” katanya. Setiap pesakit migrain mempunyai pencetus “trigger” yang berbeza. Antara pencetus “trigger” migrain adalah perubahan cuaca, keletihan melampau, emosi yang tertekan, tidak cukup tidur serta perubahan diet harian (tidak mengambil makanan mengikut jadual, pengambilan coklat dsb.)

Mengulas lanjut mengenai migrain, Dr. Rabani berkata bahawa sakit kepala jenis ini adalah serius kerana berupaya mengganggu dan mengurangkan kualiti hidup penghidapnya, malah berpotensi mewujudkan persepsi dalam kalangan masyarakat lantaran kesakitan yang tidak boleh dikesan.

“Serangan migrain boleh berlarutan sehingga 72 jam dan ini pastinya akan menggangu aktiviti seharian dan mengurangkan kualiti hidup setiap pengidap migrain. Ianya adalah penyakit yang tidak kelihatan, dan hanya individu yang mengalami migrain Sahaja tahu bahawa betapa migrain mengubah kehidupan normal mereka. Pesakit migrain mengalami beberapa peringkat berbeza. Pada permulaan, pesakit boleh mengalami perubahan mood dan kabur penglihatan. Sejurus itu mereka akan mula merasakan sakit di sebelah kawasan kepala, ada yang bermula di belakang kepala, tepi dahi atau mata,” katanya.

 

SAKIT KEPALA JENIS TEKANAN (TENSION HEADACHE)

Sakit kepala dalam kategori tekanan pula (tensiopn headache) merujuk kepada kesakitan yang dialami di kawasan dahi dan keliling kepala. Dalam banyak kes, penghidap menggambarkan seperti ada getah atau tali melilit kawasan keliling kepala. Pesakit biasanya merasakan tekanan yang kuat di kawasan kepala, yang berlangsung dari 30 minit hingga tujuh hari. Kata Dr. Rabani, kesakitan jenis ini secara umumnya bersifat ringan hingga sederhana, dengan skala kesakitan yang tidak terlalu teruk. Biasanya, penghidap sakit kepala jenis tekanan masih boleh meneruskan aktiviti harian mereka yang normal

“Sakit kepala jenis tekanan ini tidak disertai dengan loya atau muntah seperti penghidap migrain, sebaliknya mungkin disusuli dengan peningkatan rasa peka terhadap cahaya atau suara. Hal ini biasanya dikaitkan dengan kelembutan otot perikranial (kepala dan leher),” katanya.

 

SAKIT KEPALA KELOMPOK

Sementara itu, sakit kepala lain yang turut menyerang ialah jenis kelompok (cluster headache). American Migraine Foundation dalam laporan berjudul “Understanding Cluster Headache” menyifatkan sakit jenis ini sebagai yang paling menyakitkan, malah menjelaskan bahawa kebanyakan pesakit jenis ini menyifatkannya sebagai “sakit kepala paling sakit antara yang lain, seperti terbakar di bahagian kepala dan ada kalanya seperti ingin mati”.

Seorang doktor dari Universiti Dartmouth di Amerika Syarikat, Dr. Deborah E. Tepper dalam satu kenyataan dipetik berkata bahawa “tahap kesakitan dialami pesakit kepala jenis kelompok adalah sepuluh per sepuluh. Jika penghidap migrain mengurangkan rasa sakit dengan menyendiri dalam bilik yang gelap dan tenang, penghidap sakit kepala kelompok pula ada kalanya terpaksa menghempas kepala ke dinding untuk mengurangkan rasa sakit. Mereka tidak berpeluang untuk baring dan bertenang”.

Kenyataan itu turut disokong oleh Dr. Rabani dari UKM, malah beliau berkata bahawa individu yang diserang sakit jenis ini kebiasaanya akan mengalami gejala mata berair dan merah, hidung tersumbat, anak mata mengecil dan kelopak mata menjadi kuyu.

“Perbezaan individu yang menderita migrain cenderung berbaring di ruangan yang gelap dan sunyi, sementara mereka yang sakit kepala kelompok akan kelihatan gelisah dan bergerak-gerak bahkan ada yang memukul kepala untuk mengalihkan perhatian mereka dari kesakitan,” katanya.

 

RAWATAN DAN PENCEGAHAN

Secara umumnya semua jenis sakit kepala boleh dirawat dengan menggunakan ubatan dan pengubahsuaian cara hidup. Dalam konteks penghidap migrain, Dr. Rabani menyarankan agar pesakit mendapatkan nasihat perubatan dari pakar neurologi (sistem saraf) terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil sebarang ubatan. Katanya, walaupun kini terdapat ubatan terkini yang boleh digunakan untuk mengurangkan dan mencegah serangan, namun penting untuk pesakit mendapatkan nasihat perubatan dari pakar terlebih dahulu.

“Kerap kali pakar neurologi mendapati pesakit membeli ubat serangan migrain dengan sendiri dan mengambilnya hampir setiap hari. Ini meningkatkan risiko mengalami sakit kepala kerana pergantungan kepada ubatan, kerana sakit kepala biasanya tidak akan pulih hanya dengan mengambil ubat tahan sakit tanpa menerima rawatan pencegahan pada masa yang sama,” katanya.

Selain itu, khusus bagi pesakit migrain, pengubahsuaian cara hidup juga amat penting bagi mengurangkan serangan sakit kepala. Ini termasuk mengurangkan pengambilan kafein yang berlebihan, coklat,keju dan makanan yang mengadungi kandungan Monosodium glutamate yang tinggi. Mereka juga disarankan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, tidur yang cukup dan pengurusan tekanan yang baik.

Mengakhiri perbualan, Dr. Rabani meninggalkan tips kepada pesakit untuk mengurangkan kesakitan secara sementara. Ini termasuklah minum air yang mencukupi, menggunakan aromaterapi serta menyenaraikan makanan yang menjadi pencetus serangan, seterusnya mengelakkan pengambilannya ketika dan selepas serangan sakit kepala.

Sakit Sendi Lutut

1 Dis 2021 Artikel

Dr. Rizal bin Abdul Rani

Pensyarah dan Pakar Perunding Arthroplasti
Jabatan Ortopedik dan Traumatologi
Fakulti Perubatan

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit sendi lutut ini, termasuk dari sudut sejarah perubatan (bila sakit ini mula dikesan ke atas manusia)?

Seseorang yang mengadu sakit sendi lutut terutamanya mereka yang telah berumur, berkemungkinan besar adalah disebabkan osteoarthritis. Osteoarthritis jika diterjemahkan secara terus adalah radang sendi tulang, ia perlu dibezakan dengan radang sendi atau arthritis yang lain seperti rheumatoid arthritis, gouty arthritis dan psoriatic arthritis kerana peyakit penyakit ini adalah sistemik iaitu ia boleh menyebabkan banyak masalah perubatan lain pada badan. Penyakit arthritis yang lain ini juga ada ubat ubat khusus untuk mencegahnya dari melarat.

Osteoarthritis boleh berlaku pada mana mana sendi tetapi kebanyakan pesakit akan mengadu sakit lutut. Sendi lain yang sering dikaitkan dengan osteoarthritis termasuklah jari, pinggul, bahu dan tulang belakang.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Penyakit ini bermula apabila tulang rawan (cartilage) menipis atau “haus” akibat pengunaan sendi lutut yang berlebihan. Ini termasuk tekanan atau stres pada lutut akibat penggunaan harian. Tulang rawan mempunyai fungsi penting untuk melicin dan memudahkan pergerakan antara tulang.

Pada mulanya pesakit tidak akan mengadu sakit lutut tetapi dengan jangka masa yang panjang yang mungkin mengambil masa bertahun ataupun berdekad, kerosakan tulang rawan dan lutut bertambah dan kesakitan menjadi ketara. Disebabkan ini, osteoarthritis sering dikenali sebagai penyakit orang tua.

Walaubagaimanapun ia boleh berlaku pada umur yang lebih muda (kurang daripada 50 tahun) terutamanya mereka yang pernah mengalami kecederaan lutut sama ada patah, cedera urat atau jangkitan pada sendi lutut kerana sebarang kecederaan pada sendi akan mengganggu sendi untuk pulih, mempercepatkan kerosakan lutut atau meletakan tekanan berlebihan pada sendi.
Mereka yang aktif bersukan, gemuk atau beberapa pekerjaan tertentu seperti buruh dan petani juga berisiko tinggi untuk mendapat osteoarthritis pada usia muda kerana penggunaan sendi lutut yang berlebihan. Menurut satu kajian lebih 80% pemain bola sepak profesional ada masalah osteoarthritis lutut selepas bersara, jauh lebih tinggi berbanding populasi biasa.

Osteoarthritis juga ada komponen genetik, jadi ia boleh diwarisi. Mereka kebiasaannya mendapat osteoarthritis pada usia yang lebih muda dan melibatkan banyak sendi.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Secara amnya, kebanyakkan pesakit osteoarthritis adalah perempuan berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Menurut satu kajian dianggarkan 9.3% warga Malaysia dewasa mempunyai sakit lutut dan lebih daripada separuh yang diperiksa mempunyai simptom osteoarthritis. Satu kajian lain melibatkan 1200 warga Kuala Lumpur berumur 55 tahun ke atas menunjukkan lebih 30% mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis. Lebih 43% Melayu yang ditanya mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Simptom utama osteoarthritis adalah kesakitan pada sendi yang terjejas. Pada awalnya kesakitan yang dialami tidak teruk dan pesakit boleh berfungsi seperti biasa. Sakit lutut osteoarthritis sering digambarkan sebagai kesakitan lutut yang sengal dan menjadi lebih teruk apabila banyak melakukan aktiviti yang meletak beban kepada lutut seperti berjalan dan naik tangga. Ada juga yang mengadu sakit lutut pada waktu malam terutamanya setelah banyak berjalan pada waktu siang. Biasanya sakit akan hilang dengan merehatkan lutut selama beberapa minit.

Seseorang juga mungkin sedar kaki mereka semakin membengkok dan pergerakan lutut terbatas dan keras.

Apabila keadaan lutut semakin teruk, pesakit bukan sahaja tidak boleh melakukan aktiviti harian seperti solat seperti biasa. Malah mereka mungkin tidak keluar dari rumah kerana berjalan beberapa langkah akan menyebabkan kesakitan yang amat teruk. Pengambilan ubat tahan sakit setiap hari pula akan mendedahkan pesakit kepada masalah lain seperti gastritis (sakit perut) dan kerosakan buah pinggang akibat kesan sampingan ubat ubat tersebut jika diambil untuk jangka masa panjang.

 

5. Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit vertigo ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Penyakit osteoarthritis tidak merbahayakan nyawa tetapi boleh menjejaskan aktiviti harian sehingga pesakit tidak boleh bekerja atau melakukan apa apa aktiviti. Ini juga secara tidak langsung boleh menyebabkan kemurungan. Kesan jangka masa panjang menyebabkan pesakit tidak boleh bersenam seterusnya menyebabkan masalah masalah kesihatan yang lain pula.

 

6.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Pesakit patut berjumpa doktor apabila mula mengalami sakit lutut, terdapat pelbagai rawatan untuk memperlahankan dan mecegah penyakit ini sebelum ia menjadi lebih teruk. Bisanya saranan awal adalah dengan mengurangkan berat badan supaya tekanan pada lutut berkurangan dan fisioterapi khusus pada otot otot kaki.
Pesakit juga mungkin perlu mengubah cara gaya hidup dengan mengelak perkara yang boleh menyebabkan sendi lutut lebih cepat rosak.

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit sendi lutut ini?

Rawatan perubatan adalah untuk mengurangkan simptom. Perubahan pada cara hidup dan mengambilan ubat, suntikan dan suplemen dpat membantu mengurangkan kesakitan dan simptom lain osteoarthritis.

Apabila penyakit ini menjadi lebih teruk iaitu jika kesakitan yang dialami mengganggu aktiviti harian sehingga pesakit tidak boleh berfungsi dengan baik atau jika penghidap terpaksa makan ubat tahan sakit setiap hari maka mereka perlulah berbincang dengan pakar bedah ortopedik untuk rawatan seterusnya.

Rawatan yang mungkin dicadangkan adalah pembedahan tukar sendi lutut (total knee replacement). Pembedahan tukar sendi lutut adalah antara pembedahan yang sangat berkesan dan berjaya. Usia bukan penghalang kepada pembedahan kerana setiap pesakit mempunyai tahap kesihatan yang berbeza beza walaupun umur yang lanjut. Setiap pesakit perlu disaring untuk memastikan mereka cukup sihat untuk melalui pembedahan. Perlu ditekankan pembedahan sendi lutut juga ada had dan risikonya yang tersendiri. Kebanyakan pesakit yang melalui pembedahan ini perlu mempunyai motivasi tinggi dan rajin melakukan senaman fisioterapi selepas pembedahan. Ini kerana jika tidak melakukan fisioterapi, hasil daripada pembedahan sahaja tidak memuaskan. Perlu juga ditekankan, tujuan utama pembedahan sendi lutut adalah untuk mengurangkan sakit dan meluruskan kaki yang bengkok.

Buat masa kini, tidak ada rawatan yang boleh memulihkan sendi yang telah rosak tetapi kajian sedang giat dijalankan menggunakan terapi sel stem yang mungkin boleh membantu memulihkan sendi rawan yang telah rosak. Unit arthroplasti UKM sedang mengkaji penggunaan sel stem untuk tujuan ini dan bakal melaksanakan ujian klinikal ke atas pesakit dalam masa terdekat.

 

8.  Apakah kaedah rawatan alternatif yang boleh mencegah atau memulihkan penyakit sendi lutut ini?

Kebanyakan rawatan tradisional atau alternatif seperti mengurut, akupuntur dan sengat lebah hanya merawat simptom osteoarthritis sahaja dan berkesan untuk jangka masa pendek.

 

9.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Untuk mengurang dan memperlahankan proses penyakit ini adalah dengan mengurangkan beban kepada lutut. Aktiviti seperti berlari akan meletakkan beban yang tinggi kepada lutut. Walaubagaimanapun senaman tetap penting untuk kesihatan badan jadi keseimbangan perlu diambil. Aktiviti seperti berenang atau mengayuh basikal lebih mesra kepada lutut dan pada masa yang sama boleh membantu mengurangkan berat badan dan bagus untuk kesihatan jantung.

1 2 3 4 5 6

Search

+