Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penolong Pegawai Perubatan (PPP) 2025 Peringkat HCTM

10 Okt 2025 2025, Berita
Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penolong Pegawai Perubatan (PPP) 2025 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung pada 22 September 2025 (Isnin) di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Sambutan ini diadakan dengan tujuan memperkukuh kemahiran, memperluas pengetahuan, serta mengeratkan semangat kerjasama dalam kalangan warga Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di HCTM. Dalam majlis ini, turut diumumkan penubuhan Unit Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan (U4P) yang telah mula beroperasi secara rasmi sejak 1 Ogos 2025. Unit baharu tersebut diketuai oleh Encik Abdul Wahid Jusoh dan diharapkan dapat memegang peranan penting dalam memastikan standard perkhidmatan di HCTM sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Pengarah dalam ucapannya, menekankan kepentingan inovasi dan adaptasi dalam dunia perubatan yang sentiasa berkembang. Beliau menyeru semua warga PPP untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga aspek empati, keprihatinan dan nilai kemanusiaan.
Turut hadir sama memberikan sokongan, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Encik Abdul Wahid Jusoh, Ketua U4P merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Minggu PPP, HCTM 2025 dan Warga HCTM.

Majlis Perasmian Minggu Keselamatan Pesakit

Majlis Perasmian Minggu Keselamatan Pesakit Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung pada 18 September 2025 (Khamis) di Ruang Galeri Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.
Minggu Keselamatan Pesakit tahun ini bertemakan ‘Safe Care for Every Newborn and Every Child’, menekankan pentingnya peranan aktif dalam memastikan keselamatan dan kualiti rawatan untuk kanak-kanak. HCTM sentiasa komited terhadap kualiti dan keselamatan pesakit dengan mempertingkatkan sistem pelaporan insiden, menjalankan audit klinikal secara berkala serta melaksanakan latihan dan simulasi yang relevan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang optimum.
Acara ini bukan sekadar program tahunan, tetapi merupakan platform strategik bagi memperbaharui komitmen dalam meningkatkan sistem, mengukuhkan prosedur, serta memperbaiki komunikasi antara pasukan kesihatan dan pesakit demi mencapai kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan.
Turut hadir sama YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, YBrs. Dr. Sharifah Azura Salleh, Ketua Unit Kawalan Infeksi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.

HCTM Berjaya Meraih 6 Anugerah dalam Majlis Anugerah Bitara 2025 UKM ke-10

18 Sep 2025 2025, Berita
Majlis Anugerah Bitara 2025 UKM ke-10 telah berlangsung pada 9 September 2025 (Selasa) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Majlis ini merupakan tanda penghargaan universiti kepada kecemerlangan pusat tanggungjawab dan warga UKM dalam bidang akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, penjanaan dan pembangunan modal insan.
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM telah berjaya memenangi enam (6) kategori anugerah iaitu Anugerah Bitara Utama Kategori Pusat Perkhidmatan, Anugerah Bitara Media Massa Kategori Bukan Akademik dimenangi oleh Encik Shahrol Iza Suid Albana, Jabatan Multimedia & Penyiaran, Anugerah Bitara Keterlibatan Industri & Masyarakat Kategori Industri Bukan Akademik dimenangi oleh Puan Rohana Mukahar, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Anugerah Bitara Prakarsa Kategori Pengurusan & Profesional dimenangi oleh Dr. Afliza Abu Bakar, Jabatan Perubatan Kecemasan, Anugerah Bitara Prakarsa Kategori Pelaksana dimenangi oleh Puan Siti Hajar Mat Desa, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, dan Anugerah Bitara Pendanaan Kategori Kumpulan dimenangi oleh Jabatan Radiologi. Para pemenang telah menerima sijil, trofi, dan replika cek cura bernilai antara RM2,000 hingga RM5,000.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang!

Majlis Anugerah Perkhidmatan (MAP) 2025

25 Ogo 2025 2025, Berita

Majlis Anugerah Perkhidmatan (MAP) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun 2025 bertemakan Tradisional Asia Tenggara telah berlangsung dengan penuh gemilang pada 22 Ogos 2025 (Jumaat) jam 8.30 malam di Bangi Avenue Convention Centre (BACC). Majlis ini menyaksikan pengiktirafan kepada 444 penerima anugerah yang merangkumi Anugerah Perkhidmatan 20 dan 30 tahun serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2025.

Pengiktirafan ini bertujuan untuk memberikan penghargaan terhadap usaha gigih, dedikasi, dan komitmen tinggi warga HCTM dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM diikuti oleh ucapan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM. Seramai 304 orang kakitangan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, 139 orang kakitangan penerima Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun dan seorang (1) penerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun.

Majlis turut diadakan pelancaran dua (2) aplikasi digital baharu, iaitu Aplikasi myHCTM dan ePesakit@HCTM. Pelancaran yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak ini bertujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, mesra pengguna, dan berintegrasi. Aplikasi myHCTM terdiri daripada modul Kakitangan HCTM dan Pengurusan HCTM, manakala ePesakit@HCTM menyediakan kemudahan secara langsung kepada pesakit dan waris untuk urusan pra-pendaftaran, kemaskini maklumat, dan temujanji klinik.

Majlis diakhiri dengan Pengiktirafan Budi dan Bakti kepada mantan Pengarah HCTM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Razman Jarmin dan mantan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi Dan Sokongan), YBrs. Prof. Madya Dr. Hanita Othman sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan dedikasi sepanjang menjalan tugas.

Turut hadir YBhg. Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, YBhg. Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar UKM, YBrs. En. Hazmir Hj. Zainal, Ketua Pustakawan UKM, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, Ahli-ahli Pengurusan Utama HCTM, Ketua-Ketua Jabatan dan warga HCTM yang diraikan.

 

1 2 3 4 5 6 41

Search

+