Pusat Pemberian Vaksin HCTM (PPV HCTM) telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1 pada 1 Mac 2021 bertempat di Aras 1, Bilik Siswazah, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif. Penerima vaksin Fasa 1 terdiri daripada petugas barisan hadapan yang merangkumi petugas kesihatan kerajaan dan swasta, kakitangan yang bertugas di perkhidmatan penting (essential) dan kaikitangan pertahanan. Pusat ini kemudiannya berpindah ke ruang yang lebih selesa di Galeri Blok Pendidikan pada 22 Mac 2021.
PPV HCTM mempunyai lima stesen yang perlu dilalui oleh setiap penerima vaksin. Stesen tersebut ialah stesen saringan gejala dan semakan suhu badan, stesen pendaftaran, stesen konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen suntikan vaksin Covid-19, dan stesen Myvas/stesen pemerhatian. Bakal penerima vaksin yang hadir ke PPV HCTM diwajibkan membawa kad pengenalan, aplikasi mySejahera, dan pen persendirian pada tarikh dan masa yang ditetapkan di aplikasi mySejahtera. Tetapan tarikh janji temu di mySejahtera membolehkan pengoperasian dan pengurusan PPV HCTM berjalan dengan lancar.
Pada 18 Mei 2021, PPV HCTM telah memulakan Fasa 2 dan sekali lagi berpindah lokasi baru di Aras G, Blok Klinikal. Golongan penerima vaksin Fasa 2 merupakan warga emas berumur 60 tahun ke atas, pesakit berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU). Program imunisasi ini berjalan lancar berikutan lokasi yang strategik berdekatan dengan Lobi Utama HCTM.
Setelah hampir sebulan beroperasi di Blok Klinikal HCTM, CITF Kebangsaan telah meluluskan PPV HCTM untuk beroperasi secara pandu-lalu mulai 14 Jun 2021. PPV HCTM merupakan PPV yang kedua menyediakan khidmat pemberian vaksin secara pandu lalu selepas projek perintis di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, menunjukkan kejayaan. Terdapat 3 PPV yang menyediakan perkhidmatan secara pandu lalu iaitu PPV HUSM, PPV HCTM, dan PPV HUiTM Puncak Alam. Dengan kapasiti maksimum harian dalam lingkungan 300-800 orang setiap hari, sebanyak 20,086 dos telah diberikan sejak pengoperasian PPV Pandu-Lalu HCTM dibuka.
Keunikan khidmat pemberian vaksin secara pandu lalu HCTM yang beroperasi di bangunan letak kereta dan Lobi Hotel Hospital Pakar Kanak-kanak UKM ini telah menarik minat YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia untuk membuat lawatan ke Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) pada 11 Jun 2021 yang lepas untuk melihat sendiri fasiliti dan kemudahan pusat pemberian vaksin (PPV) HCTM secara pandu lalu dan pengendalian kes pesakit COVID-19 oleh HPKK UKM. Lawatan YAB Perdana Menteri telah diiringi oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan YB Dato Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia.
Walaupun, peralihan PPV HCTM kepada khidmat bergerak ini memberikan cabaran besar buat HCTM berikutan pengoperasi secara pandu lalu ini melibatkan lalu lintas, logistik, sumber manusia dan ruang yang sesuai, namun cabaran ini berjaya ditangani dan manfaat kewujudan PPV Pandu Lalu banyak diterima oleh golongan penerima vaksin Fasa 2. Pemberian vaksin pandu lalu dilakukan tanpa penerima perlu keluar daripada kenderaan, mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, menjimatkan masa, dan kos parkir kenderaan. Sejak pengoperasian PPV pandu lalu, banyak maklum balas positif diterima dan pengoperasian ini akan diteruskan sehingga mendapat arahan selanjutnya.
Jumlah dos pemberian vaksin sejak PPV HCTM dibuka pada sehingga kini adalah sebanyak 36,767. Jawatankuasa Taksforce Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Pusat Pemberian Vaksin HCTM yang menggerakkan PPV HCTM dipengerusikan oleh Pengarah HCTM dan Dr. Syarifah Azura Salleh sebagai Penyelaras Unit Vaksin. Keahlian jawatankuasa terdiri daripada wakil-wakil daripada Pejabat Pengarah, Jabatan Kewangan, Jabatan Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Bahagian Keselamatan, Jabatan Multimedia Penyiaran, Poliklinik Warga, Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan serta pasukan sukarelawan daripada pelbagai jabatan lain.



