Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Peringkat HCTM 2023
CHERAS, 21 Ogos 2023 – Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Peringkat HCTM 2023 dengan tema Persekitaran Kerja Yang Sihat dan Selamat adalah Hak Asasi Setiap Pekerja’ telah diadakan pada petang tadi telah disempurnakan oleh Ir. Haji Mohd Hatta Zakaria, Timbalan Pengarah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Persekitaran HCTM dalam ucapannya menyatakan objektif utama penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, memupuk budaya di mana semua warga HCTM komited untuk mencegah kemalangan, kecederaan dan penyakit pekerjaan. Tambahan beliau, Jawatankuasa Keselamatan dan Persekitaran memainkan peranan penting dalam memupuk budaya keselamatan. Dedikasi jawatankuasa untuk menyemak dan mengemaskini dasar dan prosedur keselamatan agar sentiasa seiring dengan amalan terbaik dalam standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ini dapat dibuktikan dengan pencapaian HCTM telah berjaya memperolehi Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH selama empat (4) tahun berkuatkuasa pada 7 Februari 2023. HCTM menjadi satu-satunya Hospital Pengajar Universiti Awam yang mendapat akreditasi ini. Hasilnya, peningkatan dalam pematuhan protokol dan amalan keselamatan tempat kerja.
Risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan wujud di semua tempat kerja tidak kira sektor mana, termasuk di sektor perkhidmatan, khususnya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz ini. Oleh itu, adalah penting untuk setiap tempat kerja mewujudkan sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang mampan. Ini diperkuatkan lagi dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals (SDG)) yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang menyasarkan semua negara memenuhi 17 matlamat bermula tahun 2016 hingga 2030. Matlamat ke-3 iaitu ‘Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik’ dan matlamat ke-8, iaitu ‘Persekitaran kerja yang baik serta pertumbuhan ekonomi’ adalah sangat berkait rapat dengan agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara ke arah membolehkan rakyat negara ini melangkah ke masa depan yang lebih makmur dan lestari inklusif. Perkara ini telah ditekankan oleh YBrs. Ir. Haji Mohd Hatta Zakaria, Timbalan Pengarah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam ucapan perasmian beliau.
Majlis turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) HCTM, Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar HCTM, Ketua-ketua Jabatan, Dr. Khamsiah Nawawi, Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pegawai-pegawai kanan Agensi-agensi Kerajaan dan Warga UKM.




































































