Program Bingkisan Kasih Aidilfitri 2024

5 Apr 2024 2024, Berita

CHERAS, 4 April 2024 – Program Bingkisan Kasih Aidilfitri 2024 anjuran Pejabat Pengarah dengan kerjasama jabatan-jabatan di bawah portfolio Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) serta Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan telah berjalan lancar pada pagi tadi.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM bersama-sama ahli mesyuarat pengurusan HCTM telah  menyantuni beberapa pesakit di Wad Ortopedik, Wad Obstetrik & Ginekologi, Wad CCU, Wad Medikal, Wad Surgeri dan Wad Psikiatri dengan menyampaikan sumbangan bakul raya sempena kedatangan Syawal 1445 yang akan disambut tidak lama lagi.

Turut serta dalam program ini Ketua-ketua Jabatan, Encik Ahmad Zamri Noordin, wakil Pejabat Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur dan Warga HCTM.

Majlis Perasmian Mesin MRI 3 TESLA

12 Mac 2024 2024, Berita

CHERAS, 8 Mac 2024 – YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM telah menyempurnakan Majlis Perasmian Mesin MRI 3 TESLA Jabatan Radiologi di Bilik Mesyuarat Jabatan Perkhidmatan Radiologi, Blok Klinikal HTCM, hari ini.

Pengarah HCTM menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Radiologi kerana telah berjaya memperolehi mesin MRI 3 TESLA. Tambah beliau, mesin tersebut akan digunakan sepenuhnya mulai 11 Mac 2024.

“Pembelian mesin MRI ini berikutan permintaan kes yang semakin meningkat sekian hari yang memerlukan mesin berkapasiti tinggi bagi membolehkan lebih ramai pesakit menjalani pemeriksaan MRI di HCTM,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Majlis Perasmian Mesin MRI 3 TESLA.

Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkenalkan dengan lebih dekat penggunaan serta aplikasi baharu yang terdapat pada mesin MRI 3 TESLA ini kepada pihak pengurusan dan hospital. Mesin MRI 3T (Signa Hero) adalah pengimbas pengimejan resonans magnetik bersaiz 70cm yang dibina untuk menyelaraskan aliran kerja dengan lebih pantas di samping meningkatkan imej kualiti dan mengutamakan keselesaan pesakit. Mesin yang dipasang di Jabatan Radiologi HCTM adalah yang pertama digunakan di Malaysia bagi menggantikan mesin MRI lama yang telah digunakan sejak tahun 2011.

Turut hadir, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Prof. Madya Datin Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Ketua Jabatan Radiologi, Encik Mohd Fahmeey Hashim, Ketua Jabatan Pembangunan Prasarana KKL, Encik Mohamad Norman Mohd. Nordin, Ketua Juru X-Ray dan Pengurus Jabatan Radiologi dan warga HCTM.

 

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat HCTM

CHERAS, 6 Mac 2024 – “Kesihatan buah pinggang untuk semua” merupakan tema Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada tahun ini. Unit Nefrologi Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan serta Persatuan Pakar Perubatan UKM mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat HCTM di Lobi Utama, Blok Klinikal HCTM.

Menurut Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan, saban tahun rakyat Malaysia yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat. Pada tahun 2012, seramai 29,452 rakyat negara ini, menjalani rawatan dialisis dan jumlah kian meningkat kepada 51,256 pesakit pada tahun 2022.

“Jumlah pesakit meningkat lebih dua (2) kali ganda dalam tempoh hanya 10 tahun dan peningkatan ini dijangka akan berterusan, sekiranya langkah-langkah penjagaan kesihatan tidak diutamakan” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pagi ini.

Beliau juga berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran dan kepedulian tentang kesihatan buah pinggang dan jadikan program ini sebagai tonggak penting dalam usaha meningkatkan kesedaran tersebut.

Dianggarkan seramai 100 orang awam dan kakitangan telah hadir ke majlis perasmian ini. Majlis telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nur Nafisah Wan Yahya, Ketua Jabatan Perubatan dan wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Program Khatan Beramai-ramai (Sunathon) KPT dengan kerjasama HCTM

22 Feb 2024 2024, Berita

PUTRAJAYA, 22 Februari 2024 – Seramai 50 orang kanak-kanak menyertai Program Khatan Beramai-ramai (Sunathon) Kementerian Pendidikan Tinggi secara percuma, anjuran Biro Agama dan Kerohanian PUSPANITA Cawangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Program yang berlangsung pada hari ini telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Azhan Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Za’aba, KPT.  Program Sunathon  ini adalah program berbentuk tanggungjawab sosial korporat HCTM kepada komuniti khususnya golongan rentan bandar dan B40 dalam memperkasa kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Seramai 80 petugas diketuai oleh Jabatan Sumber Manusia dan dibantu oleh Jabatan Ortopedik & Traumatologi, Jabatan Surgeri, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Unit Penyeliaan Penolong Pegawai Perubatan, Pejabat Pengarah serta beberapa jabatan lain terlibat dalam  program tersebut. Turut hadir, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Jabatan Surgeri dan Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan.

 

 

Audit Pensijilan Semula Program MS ISO 9001:2015 SPK HCTM

22 Feb 2024 2024, Berita
CHERAS, 21 Februari 2024 – Pasukan Audit SIRIM QAS International Sdn. Bhd yang diketuai oleh Puan Kho Yeck Lan bersama tiga (3) orang penilai telah membuat lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk menjalankan Audit Pensijilan Semula Program MS ISO 9001:2015 SPK HCTM selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Februari 2024. Pengauditan ini adalah untuk memperbaharui Sijil ISO 9001:2015 yang merangkumi 26 skop penilaian iaitu 24 skop Proses Perawatan Pesakit Luar dan Dalam, Sokongan Klinikal dan Bukan Klinikal, 1 skop Pengurusan Sumber Manusia, dan 1 skop Pengurusan Kewangan.  Taklimat pembukaan audit telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM  di Bilik Mesyuarat Lembaga, HCTM. Hadir pada sesi pembukaan audit adalah Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri) menjalankan tugas Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pendaftar, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan dan warga HCTM.

Iklan Jawatan Kosong Personel Short-Term Employment Program (MySTEP)

Jabatan Sumber Manusia ingin mempelawa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas serta berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM seperti berikut:

Jawatan : Personel MyStep
Kelayakan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) / Sijil Vokasional Malaysia (SVM)
Gaji : RM 1,700.00 sebulan


CARA MEMOHON:

i. Calon boleh membuat permohonan dengan mengemukakan dokumen ke alamat e-mel ejawatan@ppukm.ukm.edu.my . Berikut adalah dokumen yang perlu dilampirkan untuk permohonan jawatan:

a. Curriculum Vitae (CV) yang lengkap
b. Salinan Kad Pengenalan
c. Salinan Sijil SPM/SVM
d. Salinan Sijil Berhenti Sekolah

ii. Hanya calon yang layak sahaja akan dihubungi untuk sesi temu bual. Permohonan dianggap tidak berjaya sekiranya tidak menerima sebarang pemakluman selepas 4 bulan daripada tarikh tutup permohonan.


TARIKH TUTUP IKLAN : 5 MAC 2024

1 11 12 13 14 15 41

Search

+