Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024/1445H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM

26 Apr 2024 2024, Berita
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024/1445H Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM disambut meriah pada 23 April 2023 di Perkarangan Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dengan kehadiran lebih 3,000 warga Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras) UKM. Penganjuran majlis ini adalah hasil kerjasama Kampus Kuala Lumpur (Zon Cheras), Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) dan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI).
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin, Pengarah HCTM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 mewakili Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur berkata, tujuan utama majlis ini diadakan adalah bagi memupuk ukhuwah, meningkatkan rasa syukur dan memperkasakan hubungan silaturrahim antara warga Kampus Kuala Lumpur. Majlis yang bermula pada jam 2:30 petang dimeriahkan dengan persembahan daripada Kumpulan Kugiran Karyara, Kanak- kanak TASKA HCTM dan warga kerja KKL. Pelbagai juadah menarik yang sinonim dengan sambutan syawal disajikan seperti lemang dan rendang, nasi impit dan kuah kacang, sate, set nasi beriani, roti Arab dan gulai kawah kambing, ayam golek, pelbagai kuih muih dan mi.
Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada Kanak-kanak TASKA HCTM dan hadiah bagi pemenang Program Lebaran Aidilfitri iaitu Pertandingan Video Pendek Raya, Pertandingan Mencipta Kad Raya Kreatif dan Program Terjah Raya 2024 (Hiasan Pejabat).
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM dan YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor bersama Pengurusan Tertinggi UKM. Hadir sama, Dekan-dekan dan Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Dekan dan Pengarah, Rakan-rakan Strategik, Pengamal Media, Tetamu -tetamu Jemputan, Ketua-ketua Jabatan dan Warga UKM.

Search

+