HCTM Sambut Hari Radiologi Sedunia 2026, Lancar Buku Panduan Prosedur VFSS

19 Nov 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh perkhidmatan radiologi menerusi penganjuran Sambutan Hari Radiologi Sedunia 2026 yang turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Prosedur Videofluoroscopic Swallow Study (VFSS), pada 19 November 2026. Majlis berlangsung di Auditorium, Kompleks Pendidikan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM.

Program anjuran HCTM dengan kerjasama Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (Hospital TABTAR), Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan UKM itu telah dirasmikan oleh Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Razman Jarmin yang hadir mewakili Naib Canselor UKM.

Dalam ucapan perasmiannya, Profesor Dato’ Dr. Razman menegaskan bahawa Jabatan Perkhidmatan Radiologi merupakan antara tunjang penting dalam operasi sesebuah hospital. Peranan radiologi kini bukan sahaja tertumpu kepada pengesanan dan diagnosis penyakit, malah turut berkembang merangkumi pelbagai prosedur radiologi intervensi yang membantu dalam rawatan pesakit.

Seiring dengan kemajuan teknologi perubatan, Jabatan Perkhidmatan Radiologi HCTM dilengkapi pelbagai kemudahan pengimejan berteknologi tinggi termasuk Magnetic Resonance Imaging (MRI), Computed Tomography (CT Scan), Hybrid Angio, Cone Beam CT dan Radiografi Digital. Kemudahan ini menyokong pelaksanaan pemeriksaan serta prosedur perubatan yang lebih tepat bagi membantu doktor dalam menentukan diagnosis dan perancangan rawatan pesakit.

Pelancaran Buku Panduan Prosedur VFSS turut menjadi antara pengisian utama sambutan tersebut. Buku panduan ini merupakan dokumen rujukan khusus bagi pelaksanaan pemeriksaan terhadap pesakit yang mengalami masalah menelan atau dysphagia. Pemeriksaan VFSS menggunakan teknologi fluoroskopi bagi menilai proses menelan secara dinamik, sekali gus membantu mengenal pasti gangguan fungsi menelan serta risiko makanan atau cecair memasuki saluran pernafasan.

Usaha ini mencerminkan komitmen HCTM dan UKM dalam memperkasa kepakaran serta perkhidmatan radiologi melalui penggunaan teknologi moden dan inovasi berterusan demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1KxgcMbZNr/

Search

+