HCTM Terima Sistem Terapi Oksigen Aliran Tinggi
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengorak langkah progresif dalam memperkasa perkhidmatan klinikal apabila menjadi Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama di Malaysia menerima sistem terapi oksigen aliran tinggi bagi menyokong pengurusan pesakit semasa prosedur endoskopi.
Sistem perubatan ini merupakan teknologi terapi oksigen aliran tinggi melalui kanula nasal yang membekalkan oksigen yang dipanaskan dan dilembapkan secara terkawal. Teknologi ini berpotensi mengekalkan pengoksigenan pesakit sepanjang prosedur, terutamanya bagi prosedur endoskopi yang memerlukan pemantauan rapi terhadap status pernafasan. Penggunaannya dilaksanakan berdasarkan penilaian klinikal, kesesuaian pesakit dan jenis prosedur yang dijalankan.
Penerimaan teknologi ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam memperkukuh infrastruktur perubatan moden, menyokong amalan klinikal berasaskan bukti serta meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan endoskopi untuk menghadapi keperluan penjagaan pesakit yang semakin kompleks.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan institusi hospital pengajar dalam meneroka dan mengadaptasi inovasi perubatan demi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan pesakit serta kecemerlangan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/18Uns6uLNX/
