HCTM Lancar Projek SURI, Tingkat Akses Rawatan Kanser Payudara Sempena “Pink October” 2026

14 Okt 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Projek Perintis Program Navigasi Pesakit Barah Payudara (SURI) bersempena Program Kesedaran Kanser Payudara “Pink October” 2026 di Auditorium HCTM hari ini.

Inisiatif terbaharu ini direka khas untuk membantu pesakit melangkah sepanjang fasa rawatan dengan lebih tersusun. Langkah ini sekaligus mengatasi isu kelewatan rawatan, kekeliruan maklumat mahupun ketidaklancaran peralihan penjagaan.

Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin berkata, kanser payudara kekal sebagai barah utama yang paling kerap dihidapi wanita di Malaysia. Menurut beliau, pengesanan pada peringkat awal penting untuk meningkatkan kadar kesembuhan serta menawarkan pilihan rawatan yang lebih ringan.

“Masih ramai individu lewat mendapatkan pemeriksaan akibat rasa takut, stigma, kurang kesedaran atau kesukaran memahami sistem kesihatan. Oleh itu, usaha menyebarkan maklumat mengenai Pemeriksaan Payudara Sendiri (PTS), pemeriksaan klinikal dan mamografi perlu terus dipergiat,” kata beliau ketika merasmikan program berkenaan.

Beliau menambah, rawatan kanser payudara memerlukan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran seperti pembedahan, onkologi, radiologi, patologi, pemulihan dan sokongan psikososial. Justeru, Projek SURI terhasil daripada komitmen Jabatan Surgeri bersama unit-unit klinikal dan sokongan bagi memastikan setiap pesakit menerima penjagaan berpusatkan pesakit, selamat dan beretika.
Sebagai sebuah hospital pengajar, HCTM berhasrat menjadi peneraju amalan terbaik dalam penjagaan pesakit menerusi penerapan budaya pembelajaran berterusan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin dan Ketua Jabatan Surgeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Prof. Madya Dr. Shahrun Niza Abdullah Suhaimi.

Program “Pink October” tahun ini memfokuskan usaha menghimpunkan pakar kesihatan, pesakit, penyintas dan masyarakat untuk memperkukuh sokongan serta memberikan harapan baharu kepada mereka yang terkesan.


 

Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1DnKsAeDGH/

Search

+