Memperkasa Peranan Fisioterapi Dalam Menangani Penyakit Kardiovaskular dan Strok

27 Sep 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan telah menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Fisioterapi Sedunia 2026 pada 26 September 2026 di Dewan Serbaguna, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM.

Dalam ucapan utamanya, Dato’ Dr. Azmi Baharudin menegaskan bahawa penyakit kardiovaskular dan strok kekal sebagai penyumbang utama kematian serta ketidakupayaan di seluruh dunia. Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kardiovaskular mencatatkan anggaran 17.9 juta kematian setiap tahun, dengan lebih 85 peratus daripadanya berpunca daripada serangan jantung dan strok.

Sementara itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan peningkatan faktor risiko seperti hipertensi, diabetes dan obesiti yang menjadi cabaran kesihatan kian serius dalam kalangan masyarakat. Strok yang dahulunya sering dikaitkan dengan warga emas kini semakin kerap menjejaskan golongan berusia produktif, sekali gus memberi impak besar kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.

Berdasarkan konteks ini, profesion fisioterapi memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan menyeluruh melalui aspek pencegahan dengan merancang senaman bagi mengawal tekanan darah dan risiko jantung, aspek pengurusan menerusi Program Rehabilitasi Kardiak untuk meningkatkan stamina serta mengelakkan kemasukan semula ke hospital dan aspek pemulihan dengan memanfaatkan prinsip neuroplastisiti bagi membantu pesakit strok membina semula pergerakan serta kembali berdikari. Secara keseluruhannya, profesion fisioterapi bukan sekadar memberikan rawatan selepas berlakunya kecederaan sebaliknya merupakan komponen kritikal yang merangkumi keseluruhan rantaian penjagaan kesihatan.

Bagi meraikan sambutan ini, aktiviti explorace telah dijalankan secara berkumpulan dengan menggabungkan cabaran fizikal, minda dan semangat kerjasama. Seramai 56 orang peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti ini untuk menguji stamina dan daya tahan, sekali gus meningkatkan kesihatan kardiovaskular, merangsang pergerakan aktif, mengasah kemahiran penyelesaian masalah serta memupuk semangat kerja berpasukan.

 


Galeri Gambar: https://www.facebook.com/share/p/18EqzupUPy/

Search

+