HCTM Perkasa Komunikasi Inklusif Melalui Kursus Bahasa Isyarat
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh komitmennya menerusi penganjuran Kursus Bahasa Isyarat HCTM: Memperkasa Komunikasi Inklusif dalam Perkhidmatan Kesihatan hari ini.
Kursus berkenaan yang memberi penekanan kepada penguasaan asas bahasa isyarat dalam kalangan warga hospital itu diadakan sebagai usaha meningkatkan keupayaan petugas berkomunikasi dengan pesakit daripada komuniti orang kurang upaya pendengaran.
Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, komunikasi yang jelas, berkesan dan penuh empati amat penting dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kerana setiap maklumat berkaitan gejala, prosedur rawatan, pengambilan ubat dan tindakan susulan boleh memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan serta kesejahteraan pesakit.
Menurut beliau, penguasaan asas bahasa isyarat bukan sekadar kemahiran tambahan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha HCTM menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra, inklusif dan menghormati keperluan setiap pesakit.
“Walaupun hanya melalui beberapa isyarat asas seperti memberi salam, bertanya khabar, menunjukkan arah atau menerangkan sesuatu tindakan mudah, usaha tersebut mampu memberikan keyakinan kepada pesakit serta membuatkan mereka berasa lebih dihargai, selamat dan difahami,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Bahasa Isyarat HCTM di Dewan Serbaguna 2, Bangunan Tambahan HCTM, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut turut selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 10 yang menekankan usaha mengurangkan ketidaksamaan.
Peserta kursus bukan sahaja didedahkan kepada asas bahasa isyarat dan teknik komunikasi, malah perlu memahami perspektif, emosi serta keperluan komuniti orang kurang pendengaran bagi membentuk interaksi yang lebih berempati.
Kursus tersebut merupakan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kualiti, Jawatankuasa SDG HCTM, dan Unit Latihan dan Perkembangan Kerjaya, Jabatan Sumber Manusia.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1JLRJUS3co/