Hari Sukan TASKA HCTM 2026 Meriahkan Aktiviti Anak-anak

27 Ogo 2026 2026, Berita

Hari Sukan TASKA Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tahun 2026 telah berlangsung pada 22 Ogos 2026 dalam suasana ceria dan penuh kemeriahan dengan penglibatan seramai 66 orang anak-anak TASKA. Aktiviti sukan ini juga melibatkan para pendidik serta ibu bapa untuk menyertai pelbagai aktiviti sukan dan riadah.

Majlis perasmian yang berlangsung di Foyer Lobi Utama, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan itu dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Program ini diadakan secara tahunan sebagai platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong perkembangan fizikal, mental dan sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Dr. Azmi merakamkan penghargaan kepada pihak TASKA HCTM, jawatankuasa penganjur, para pendidik serta ibu bapa atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan. Menurut beliau, penganjuran Hari Sukan TASKA bukan sahaja dapat memeriahkan aktiviti kanak-kanak, malah mengeratkan hubungan antara pihak TASKA dengan ibu bapa.

Beliau berkata, penglibatan ibu bapa secara aktif turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang membina keyakinan anak-anak untuk mencuba perkara baharu. Hari Sukan TASKA turut dilihat sebagai satu wadah pembelajaran yang penting bagi perkembangan awal kanak-kanak melalui aktiviti pergerakan dan permainan berpasukan, serta meningkatkan koordinasi motor, membina keyakinan diri serta memupuk semangat kesukanan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah padanan stokin dan memakai baju anak, aktiviti tambal bentuk, aktiviti bola dalam bakul, cari jongkong emas, pindah bola guna pinggan dan lain-lain.
Hari Sukan TASKA HCTM 2026 bukan sekadar medan untuk bermain dan bersukan, sebaliknya menjadi pengalaman bermakna dalam membentuk anak-anak yang aktif, yakin, berani mencuba serta menghargai nilai persahabatan dan kerjasama.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19Uv5gJTRL/

 

Search

+