Majlis Perasmian Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM 2023

PUTRAJAYA, 11 Oktober 2023 – Majlis Perasmian Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM 2023 anjuran Unit Kardiologi dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah diadakan pada hari ini di Perkarangan Engine Bay, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya. Majlis telah disempurnakan oleh Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) mewakili Pengarah HCTM. Bertemakan ‘Kenali Jantung Hargai Jantung’ objektif sambutan ini adalah melahirkan kesedaran kepada gaya hidup sihat, mendidik kakitangan tentang penjagaan jantung sihat melalui aktiviti dan diet yang sihat serta menjauhi rokok, memberi pendedahan berkenaan penyakit jantung dan kesan terhadap populasi di Malaysia.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Unit Kebajikan Pekerja JBPM dalam tempoh enam tahun sejak 2016 hingga 2022, dianggarkan seramai 10 orang kakitangan meninggal dunia akibat penyakit jantung iaitu 33 peratus daripada purata jumlah kematian yang berlaku. Kerjasama HCTM dengan JBPM merupakan julung kali diadakan bagi memberi pendedahan dan perkhidmatan saringan kesihatan jantung kepada pegawai dan anggota bomba. Aktiviti seperti ceramah kesihatan, pameran, demonstrasi CPR, dan ujian saringan kesihatan akan diadakan secara percuma untuk kakitangan bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sekitar Putrajaya. Dianggarkan seramai 400 anggota akan membuat saringan kesihatan dalam program ini.

Antara yang hadir pada majlis tersebut adalah YS TPjB Tuan Hj. Nordin Pauzi, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan YS PPjB Tuan Azmi Sadon, Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Turut hadir, Dr. Hamat Hamdi Che Hassan, Ketua Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Oteh Maskon, Pakar Kardiologi, An-Nur Specialist Centre, Ketua-Ketua Bahagian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pegawai –Pegawai Kanan UKM dan Para Tetamu Jemputan.

Search

+