Program Sinar Pembelajaran : Saringan dan Intervensi Awal Masalah Pembelajaran
Pada 8 Ogos 2026 , Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama SK Dusun Nanding, Hulu Langat telah berjaya menganjurkan Program SINAR Pembelajaran. Inisiatif khidmat masyarakat ini dibina khas untuk mendekati komuniti sekolah dalam memberikan pendedahan, pengesanan awal, serta khidmat rujukan bagi murid yang menghadapi kesukaran pembelajaran dan perkembangan seperti disleksia, ADHD, serta autisme.
Sepanjang program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini, para ibu bapa dan guru telah disajikan dengan ceramah kesedaran yang dikendalikan oleh Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga UKM, iaitu Prof. Madya Dr. Ezura Md Monoto dan Dr. Hana Binti Azhari. Perkongsian ini mengupas secara terperinci mengenai aspek perkembangan kanak-kanak serta peranan penting keluarga dalam menyokong anak-anak berkeperluan khas. Pada masa yang sama, seramai 18 orang murid terpilih bersama ibu bapa mereka telah menjalani sesi saringan klinikal berstesen yang menguji kemahiran motor halus, tahap penglihatan, serta kebolehan asas membaca dan numerasi.
Suasana program diakhiri dengan sesi konsultasi mesra secara terus bersama Pakar Perubatan Keluarga bagi membincangkan hasil saringan, perancangan sokongan pembelajaran, serta laluan rujukan susulan ke klinik pakar. Semoga usaha murni ini memberikan impak positif yang berterusan buat murid, keluarga, dan pihak sekolah.




