Kakitangan Klinik Primer HCTM Berjaya Dalam Latihan Kebakaran
Klinik Primer HCTM telah melaksanakan latihan kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Cawangan Bandar Tun Razak, Prasarana HCTM serta Bahagian Pengurusan Plaza Dwitasik.
Latihan ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh aspek keselamatan, meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerja serta memastikan tindakan yang pantas dan teratur dapat diambil sekiranya berlaku kecemasan. Pelaksanaan latihan ini juga menyokong usaha Klinik Primer HCTM dalam memenuhi keperluan dan standard akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), khususnya berkaitan aspek keselamatan fasiliti dan pengurusan risiko.
Sepanjang latihan dijalankan, proses tindak balas selepas penggera kebakaran dibunyikan telah dilaksanakan dengan cepat, teratur dan lancar. Kerjasama yang baik antara semua pihak yang terlibat turut membantu memastikan latihan berjalan mengikut perancangan. Alhamdulillah, latihan ini berjaya disempurnakan tanpa sebarang kecederaan atau kejadian yang tidak diingini.
Diharapkan pelaksanaan latihan seumpama ini dapat terus meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi situasi kecemasan, sekali gus mewujudkan persekitaran klinik yang lebih selamat, terjamin dan kondusif untuk pesakit, petugas serta pengunjung.



