Lawatan Ramah Mesra Pengarah HCTM Bersama Warga

16 Dis 2024 2024, Berita

Lawatan Ramah Mesra Pengarah HCTM Bersama Warga telah diadakan pada 3 Disember 2024 dan 12 Disember 2024 bermula jam 9.00 pagi. Lawatan dua hari ini meliputi semua Jabatan/Unit/Pusat di bawah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Tujuan utama program ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan antara pengurusan HCTM dan warga HCTM. Pengarah HCTM turut melahirkan rasa terima kasih atas kerjasama yang telah dicurahkan oleh seluruh warga HCTM. Beliau juga berharap agar warga HCTM terus mengekalkan momentum terbaik dalam setiap tugas yang dilaksanakan untuk menjadikan HCTM sebagai hospital pengajar terbaik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Sebagai simbol penghargaan, bersempena lawatan ini, Pengarah HCTM berkesempatan menyerahkan Aspirasi HCTM yang telah dibingkaikan kepada jabatan/unit/pusat. Pengarah HCTM juga berkesempatan menyerahkan Aspirasi HCTM yang sama kepada Bahagian Keselamatan, Kampus Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan dalam menjayakan semua sesi lawatan Ramah Mesra Pengarah HCTM.

Lawatan ini turut disertai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), HCTM, YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), HCTM, YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), HCTM, YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), HCTM, YBrs. Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM serta diiringi oleh Puan Sherda Rusland, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Kapten (B) Hamon Rafiz Abd Hamed, Ketua Bahagian Keselamatan Kampus Kuala Lumpur UKM.

Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM

13 Dis 2024 2024, Berita
Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat HCTM anjuran Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan HCTM telah diadakan pada 12 Disember 2024 bertempat di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) mewakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
Sambutan Hari Jantung Sedunia ini adalah bertujuan melahirkan kesedaran kepada cara hidup sihat, mendidik kakitangan tentang penjagaan jantung sihat melalui aktiviti dan diet yang sihat serta menjauhi rokok, memberi pendedahan berkenaan penyakit jantung dan kesan terhadap populasi di Malaysia. Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Farmasi, Jabatan Perubatan Kecemasan, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan serta Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan telah mengambil inisiatif untuk menjayakan Program Sambutan Hari Jantung Sedunia 2024 peringkat HCTM dengan tema ‘Use Heart For Action’ dan lebih istimewa lagi pada tahun ini julung kalinya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), dalam ucapannya memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (2022), 80% pesakit darah tinggi terdedah kepada komplikasi parah penyakit jantung dan penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian di kalangan rakyat Malaysia selama 13 tahun dari 2005 hingga 2017. Penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, obesiti, dan diet dan gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada peningkatan. Berdasarkan Malaysia “National Cardiovascular Disease (NCVD) ACS/PCI registry” data, umur pesakit yang mendapat serangan jantung jauh lebih muda berbanding dengan negara-negara lain (lebih kurang 10 tahun lebih muda, purata usia 58 tahun). Sebanyak 25% daripada pesakit terdiri daripada golongan berumur di bawah 50 tahun.
Beberapa aktiviti dijalankan antaranya perkongsian ilmu dan memberi kesedaran terhadap masalah kesihatan jantung. Satu forum berkaitan penyakit jantung yang bertajuk ‘Heart Attacks Know No Age’ akan diadakan sempena sambutan ini, selain itu aktiviti seperti saringan kesihatan, Ujian kesihatan Jantung (ECG dan Echo), pameran kesihatan, demonstrasi ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) dan konsultasi kesihatan dari pakar jantung turut diadakan. Intipati forum dan perbincangkan berkenaan kepentingan kritikal kesihatan jantung akan menyentuh dari aspek dan kaitan dengan profesion kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam majlis, YBrs. Dr. Nor Halizam binti Ismail, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Persekitaran, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, YBrs. Dr. Mohd Shawal Faizal Mohamad, Ketua Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan HCTM, YBrs. Dr. Beh Boon Cong, Pengerusi Jawatankuasa Hari Jantung HCTM, pakar-pakar kardiologi, ketua-ketua Bahagian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan tetamu jemputan.

Majlis Pelancaran Kemudahan Terkini Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)

2 Dis 2024 2024, Berita

Majlis Pelancaran Kemudahan Terkini Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang berlangsung pada 2 Disember 2024 (Isnin) di Lobi Utama HCTM bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai kemudahan baharu yang disediakan oleh hospital ini. Pelancaran ini dirasmikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan HCTM untuk meningkatkan keselesaan pesakit dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat. Antara kemudahan terkini yang dilancarkan ialah Lobi Kemasukan dan Discaj dan Klinik Virtual.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Encik Mursidi Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah Pentadbiran, Puan Wan Omi Wan Yussop, Ketua Jabatan Kewangan, dan Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.

Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Sesi 2024

Seramai 19 orang anak-anak taska menerima sijil penghargaan dalam Majlis Graduasi Taska Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Sesi 2024 yang diadakan pada 26 November 2024 (Selasa) bertempat di Auditorium Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), HCTM. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Pengarah HCTM dalam ucapannya memetik ucapan Menteri Pendidikan Malaysia yang menyatakan bahawa pendidikan adalah tentang pembentukan ‘otak dan watak’ yang merujuk kepada keterpujian sahsiah yang merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak dalam melahirkan anak bangsa yang berbudi bahasa. Beliau juga menekankan asas pendidikan awal yang diberikan oleh pendidik kepada kanak-kanak taska, seperti nilai murni dan sahsiah dalam membentuk diri bagi membantu anak-anak untuk membesar menjadi insan yang berguna. Turut hadir dalam majlis, YBrs. Prof. Madya. Dr. Jamari Sapuan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Zuraidah Konil, Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis, ketua-ketua jabatan, ibu bapa dan warga HCTM.

 

Majlis Perasmian Hari Kesedaran Penyakit Jarang Jumpa 2024

14 Nov 2024 2024, Berita

Majlis Hari Kesedaran Penyakit Jarang Jumpa 2024 anjuran Fakulti Perubatan UKM dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah dirasmikan oleh YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia pada 14 November 2024 bertempat di Auditorium Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi oleh pesakit penyakit jarang jumpa. Bertemakan “Together We Rise: Let’s Unite for Rare Diseases in Malaysia”,secara tidak langsung menyeru kepada solidariti dalam memberikan sokongan menyeluruh bagi pesakit dan keluarga mereka.

Penyakit Jarang Jumpa merupakan penyakit yang jarang atau unik dan biasanya dialami oleh segelintir golongan pesakit dengan anggaran prevalens iaitu satu pesakit bagi setiap 4,000-100,000 orang. Dianggarkan hampir 5,000 hingga 9,000 pesakit mengalami satu penyakit jarang jumpa di Malaysia, dan dianggarkan seramai 600 pesakit mendapatkan rawatan bagi penyakit jarang jumpa di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak di UKM.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, dalam ucapannya menekankan cabaran yang dihadapi oleh pesakit, termasuk kos rawatan yang tinggi, kekurangan pakar, dan stigma sosial. Beliau juga menggesa semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama membangunkan garis panduan khusus bagi memastikan pesakit menerima penjagaan yang holistik dan inklusif.

Menurut Prof. Datin Norlinah dalam ceramah umum beliau terdapat lebih kurang 7000 jenis penyakit jarang jumpa diketahui di seluruh dunia namun di Malaysia hanya 502 sahaja penyakit jarang jumpa yang disenaraikan oleh KKM. Tambah beliau, sebanyak 80% penyakit jarang jumpa ini berkaitan dengan penyakit genetik dan kebanyakkan pesakit tidak mendapat diagnosis yang tepat atau lewat mendapatkan diagnosis.

Turut hadir dalam majlis ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, YBhg. Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim, Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Perubatan UKM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, ahli-ahli pengurusan Fakulti Perubatan UKM, Pegawai-pegawai Kanan UKM, para peserta dan warga UKM.

Post-Stroke Care & Rehabilitation Workshop: Updates, Challenges & Opportunities

6 Nov 2024 2024, Berita
YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah hadir merasmikan ‘Post-Stroke Care & Rehabilitation Workshop: Updates, Challenges & Opportunities’ pada 6 November 2024 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Bengkel yang diadakan ini bertujuan untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kerjasama dalam penjagaan serta rehabilitasi pesakit strok, melibatkan kepakaran pelbagai disiplin. Pengarah HCTM, dalam ucapannya menekankan kepentingan kerja berpasukan dan komunikasi antara profesional kesihatan bagi perkhidmatan yang komprehensif. HCTM juga diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan anugerah ‘Advanced Stroke Centre’ dalam konteks pengurusan pesakit strok, kemahiran dan kerjasama yang cemerlang terhadap penyampaian perkhidmatan strok yang berkualiti oleh Pertubuhan Strok Sedunia (WSO). Turut hadir dalam majlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Syahrul Sazliyana Shaharir, Penolong Dekan (Perkhidmatan Klinikal), wakil Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBrs. Dr. Rosyidah Arafat, Pengarah Keperawatan & Penunjang Non Medik, Rumah Sakit Universitas Hasanuddin, YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan Klinikal) HCTM, YBrs. Dr. Nor Shahrina Mohd Zawawi, wakil Ketua Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, HCTM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bengkel, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, Para Peserta dan warga UKM.

Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM)

21 Okt 2024 2024, Artikel, Berita

CHERAS, 21 Oktober 2024 – Majlis Perasmian Minggu Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MRKKP) UKM 2024 anjuran Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) telah diadakan di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar HCTM, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Majahar Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menaruh harapan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia agar dapat memberikan komitmen penuh untuk menjadikan KKP sebagai agenda utama dalam pelan strategik di UKM dan merealisasikan pembentukan “budaya kerja selamat dan sihat” terutama dalam konteks Universiti.

MRKKP yang berlangsung pada 21 hingga 25 Oktober 2024 merupakan kerjasama Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI). Bertemakan ‘Persekitaran Kerja Yang Sihat dan Selamat Adalah Hak Asasi Setiap Pekerja’ dan slogan ‘Selamat Bekerja dan Bekerja Dengan Selamat’, amat bertepatan dengan kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Bengkel Kelengkapan dan Perlindungan PPE, Program Gaya Hidup Sihat: Senamrobik Watan, Strategi Diet Gaya Hidup Sihat dan Seimbang serta pelbagai lagi aktiviti lain dibuka kepada seluruh warga UKM. Majlis Perasmian MRKKP UKM 2024 juga turut melancarkan Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM serta Daftar dan Inventori Bahan Kimia UKM.

Hadir sama, YBhg. Prof. Ts. Dr. Kadir Arifin, Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Dan Pengerusi Minggu Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan UKM 2024, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, wakil Dekan Fakulti Perubatan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak, Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah Institut Biologi Molekul Perubatan, Timbalan-timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan dan warga HCTM.

Majlis Perasmian Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’

21 Okt 2024 2024, Berita
Majlis Perasmian Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ telah diadakan bersempena dengan Bulan Kesedaran Vaskular pada 18 hingga 19 Oktober 2024, di Dewan Komuniti Bestari, Mukim Lekir Batu 10, Sitiawan, Perak. Majlis telah dihadiri oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Program yang diadakan selama dua hari ini merupakan anjuran Unit Vaskular, Jabatan Surgeri HCTM dan Advanced Surgical Skill Centre (ASSC) HCTM dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Universiti Putra Malaysia. Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran, pendedahan dan mendidik masyarakat khususnya terhadap penyakit vaskular agar lebih cakna dalam mengenali gejala-gejala, faktor risiko, cara pengesanan dan pencegahan penyakit, penjagaan serta rawatan. Kesihatan vaskular merujuk kepada kesihatan dan fungsi saluran darah dalam badan, termasuk arteri dan vena. Salur darah yang sihat adalah penting untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan fungsi badan.
Beberapa pengisian aktiviti dalam program ini ialah ceramah, saringan dan pemeriksaan kesihatan berkaitan penyakit salur darah dan buah pinggang secara percuma, pameran, aktiviti senamrobik serta aktiviti untuk kanak-kanak. Program ini juga menampilkan Tokoh Akademik UKM iaitu Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Timbalan Dekan, Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam UKM dengan pengisian program Sembang Santai ‘Kesihatan Untuk Beribadah’.
Turut hadir adalah YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain@Zakaria, Ahli Lembaga Pengurusan UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr. Lenny Suryani Safri, Pengerusi Jawatankuasa Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’, pegawai-pegawai kanan, dan komuniti setempat.
1 5 6 7 8 9 35

Search

+