Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM)

21 Okt 2024 2024, Artikel, Berita

CHERAS, 21 Oktober 2024 – Majlis Perasmian Minggu Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MRKKP) UKM 2024 anjuran Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) telah diadakan di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar HCTM, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Majahar Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menaruh harapan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia agar dapat memberikan komitmen penuh untuk menjadikan KKP sebagai agenda utama dalam pelan strategik di UKM dan merealisasikan pembentukan “budaya kerja selamat dan sihat” terutama dalam konteks Universiti.

MRKKP yang berlangsung pada 21 hingga 25 Oktober 2024 merupakan kerjasama Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI). Bertemakan ‘Persekitaran Kerja Yang Sihat dan Selamat Adalah Hak Asasi Setiap Pekerja’ dan slogan ‘Selamat Bekerja dan Bekerja Dengan Selamat’, amat bertepatan dengan kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Bengkel Kelengkapan dan Perlindungan PPE, Program Gaya Hidup Sihat: Senamrobik Watan, Strategi Diet Gaya Hidup Sihat dan Seimbang serta pelbagai lagi aktiviti lain dibuka kepada seluruh warga UKM. Majlis Perasmian MRKKP UKM 2024 juga turut melancarkan Buku Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM serta Daftar dan Inventori Bahan Kimia UKM.

Hadir sama, YBhg. Prof. Ts. Dr. Kadir Arifin, Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Dan Pengerusi Minggu Risiko, Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan UKM 2024, Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah, wakil Dekan Fakulti Perubatan, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap, Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak, Prof. Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah Institut Biologi Molekul Perubatan, Timbalan-timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM, Timbalan-timbalan Pengarah HCTM, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan dan warga HCTM.

Sakit Kepala

1 Dis 2021 Artikel

“Ada masa tertentu, terutama jika saya terlalu penat dengan urusan harian, pada waktu malam saya akan dikejutkan dengan sakit kepala yang sangat teruk. Ia terlalu menyakitkan, sampai ada kalanya saya menangis. Apa yang saya perasan, sakit kepala ini tidak hilang hanya dengan memakan paracetamol,” kata Puan Alizawati Nasrul, 34 kepada Utusan Malaysia.

Simptom sakit kepala dialami Puan Alizawati itu, menurut laporan Sekolah Perubatan Harvard berjudul “Headache: When To Worry, What To Do”, adalah satu daripada pelbagai jenis sakit kepala berbeza yang sering melanda ramai orang. Kata laporan itu lagi, sehingga kini, para doktor masih belum benar-benar faham punca sebenar sakit kepala yang berbeza jenisnya itu. Dianggarkan terdapat lebih 300 jenis sakit kepala, namun hanya 10 peratus daripada keseluruhan sakit itu yang berjaya dikenal pasti puncanya oleh pakar perubatan seluruh dunia.

 

SIMPTOM DAN JENIS SAKIT KEPALA

Pakar Perunding Neurologi, Prof. Madya Dr. Rabani Bt Remli dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, secara umumnya, sakit kepala – termasuk yang dialami Puan Alizawati – dikesan apabila apabila seseorang mengalami simptom sakit yang berdenyut secara berterusan atau sekejap-sekejap di bahagian kepala. Lokasi serangan sakit itu mungkin di satu bahagian muka atau tengkorak, atau boleh juga melibatkan seluruh bahagian kepala.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Dr. Rabani berkata, ada dua jenis sakit kepala yang sering dilaporkan iaitu primer dan sekunder. Sakit kepala jenis primer merujuk kepada kesakitan yang berpunca dari ketidakseimbangan atau masalah ransangan saraf yang mengesan rasa sakit di kepala. Jenis kedua pula ialah sakit kepala sekunder, iaitu sakit kepala yang diakibatkan oleh sakit di bahagian lain, yang kemudian melarat sehingga meninggalkan rasa sakit di bahagian kepala.

“Sebagai contoh, sakit kepala sinus – iaitu rongga dalam tulang tengkorak yang bersambung dengan hidung – dianggap sebagai sakit kepala sekunder kerana peningkatan tekanan atau jangkitan pada sinus,” katanya.

 

MIGRAIN

Dalam konteks sakit kepala jenis primer, tiga sub kategori penyakit jenis ini yang sering dilaporkan ialah migrain, tekanan dan sakit kepala jenis kelompok. Sakit kepala jenis migrain, kata Dr. Rabani adalah jenis yang paling kerap dihidapi oleh masyarakat di seluruh dunia, menjangkiti satu daripada tujuh orang iaitu kira-kira 14.7 peratus. Di peringkat global juga, migrain adalah penyebab utama punca kehilangan upaya pada kumpulan usia di bawah 50 tahun, diikuti dengan sakit belakang dan diabetes.

“Migrain berasal dari perkataan Latin iaitu “hemicrania” yang bermaksud “separuh” (hemi) “tengkorak” (crania). Sakit kepala jenis ini seringkali dikaitkan dengan sakit kepala yang kronik dan paling kerap dihidapi oleh masyarakat seluruh dunia. Migrain adalah sakit kepala yang kuat dan kebiasaannya pesakit akan mengalaminya pada sebelah bahagian kepala, sama ada kiri atau kanan. Pesakit migrain sering merasa mual, muntah, dan sensitif terhadap cahaya dan bunyi. Pesakit juga cenderung mengasingkan diri dalam bilik yang gelap dan sunyi bagi mengurangkan rasa tidak selesa ketika mengalami serangan,” katanya.

Boleh berlanjutan sehingga berhari-hari, kebiasaanya sakit jenis ini akan menyerang dalam tempoh sekitar empat sehingga 72 jam. Dalam kes tertentu, pesakit migrain mempunyai petanda bahawa sakit ini akan menyerang, dan ini dikenali sebagai “aura”. Sekolah Perubatan Harvard merujuk “aura” ini sebagai petanda, dan antara petanda yang menyusul sebelum migrain termasuklah mengalami perubahan mood dan kabur penglihatan. Sejurus itu mereka akan mula merasakan sakit di sebelah kawasan kepala, ada yang bermula di belakang kepala, tepi dahi atau mata,” katanya. Setiap pesakit migrain mempunyai pencetus “trigger” yang berbeza. Antara pencetus “trigger” migrain adalah perubahan cuaca, keletihan melampau, emosi yang tertekan, tidak cukup tidur serta perubahan diet harian (tidak mengambil makanan mengikut jadual, pengambilan coklat dsb.)

Mengulas lanjut mengenai migrain, Dr. Rabani berkata bahawa sakit kepala jenis ini adalah serius kerana berupaya mengganggu dan mengurangkan kualiti hidup penghidapnya, malah berpotensi mewujudkan persepsi dalam kalangan masyarakat lantaran kesakitan yang tidak boleh dikesan.

“Serangan migrain boleh berlarutan sehingga 72 jam dan ini pastinya akan menggangu aktiviti seharian dan mengurangkan kualiti hidup setiap pengidap migrain. Ianya adalah penyakit yang tidak kelihatan, dan hanya individu yang mengalami migrain Sahaja tahu bahawa betapa migrain mengubah kehidupan normal mereka. Pesakit migrain mengalami beberapa peringkat berbeza. Pada permulaan, pesakit boleh mengalami perubahan mood dan kabur penglihatan. Sejurus itu mereka akan mula merasakan sakit di sebelah kawasan kepala, ada yang bermula di belakang kepala, tepi dahi atau mata,” katanya.

 

SAKIT KEPALA JENIS TEKANAN (TENSION HEADACHE)

Sakit kepala dalam kategori tekanan pula (tensiopn headache) merujuk kepada kesakitan yang dialami di kawasan dahi dan keliling kepala. Dalam banyak kes, penghidap menggambarkan seperti ada getah atau tali melilit kawasan keliling kepala. Pesakit biasanya merasakan tekanan yang kuat di kawasan kepala, yang berlangsung dari 30 minit hingga tujuh hari. Kata Dr. Rabani, kesakitan jenis ini secara umumnya bersifat ringan hingga sederhana, dengan skala kesakitan yang tidak terlalu teruk. Biasanya, penghidap sakit kepala jenis tekanan masih boleh meneruskan aktiviti harian mereka yang normal

“Sakit kepala jenis tekanan ini tidak disertai dengan loya atau muntah seperti penghidap migrain, sebaliknya mungkin disusuli dengan peningkatan rasa peka terhadap cahaya atau suara. Hal ini biasanya dikaitkan dengan kelembutan otot perikranial (kepala dan leher),” katanya.

 

SAKIT KEPALA KELOMPOK

Sementara itu, sakit kepala lain yang turut menyerang ialah jenis kelompok (cluster headache). American Migraine Foundation dalam laporan berjudul “Understanding Cluster Headache” menyifatkan sakit jenis ini sebagai yang paling menyakitkan, malah menjelaskan bahawa kebanyakan pesakit jenis ini menyifatkannya sebagai “sakit kepala paling sakit antara yang lain, seperti terbakar di bahagian kepala dan ada kalanya seperti ingin mati”.

Seorang doktor dari Universiti Dartmouth di Amerika Syarikat, Dr. Deborah E. Tepper dalam satu kenyataan dipetik berkata bahawa “tahap kesakitan dialami pesakit kepala jenis kelompok adalah sepuluh per sepuluh. Jika penghidap migrain mengurangkan rasa sakit dengan menyendiri dalam bilik yang gelap dan tenang, penghidap sakit kepala kelompok pula ada kalanya terpaksa menghempas kepala ke dinding untuk mengurangkan rasa sakit. Mereka tidak berpeluang untuk baring dan bertenang”.

Kenyataan itu turut disokong oleh Dr. Rabani dari UKM, malah beliau berkata bahawa individu yang diserang sakit jenis ini kebiasaanya akan mengalami gejala mata berair dan merah, hidung tersumbat, anak mata mengecil dan kelopak mata menjadi kuyu.

“Perbezaan individu yang menderita migrain cenderung berbaring di ruangan yang gelap dan sunyi, sementara mereka yang sakit kepala kelompok akan kelihatan gelisah dan bergerak-gerak bahkan ada yang memukul kepala untuk mengalihkan perhatian mereka dari kesakitan,” katanya.

 

RAWATAN DAN PENCEGAHAN

Secara umumnya semua jenis sakit kepala boleh dirawat dengan menggunakan ubatan dan pengubahsuaian cara hidup. Dalam konteks penghidap migrain, Dr. Rabani menyarankan agar pesakit mendapatkan nasihat perubatan dari pakar neurologi (sistem saraf) terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil sebarang ubatan. Katanya, walaupun kini terdapat ubatan terkini yang boleh digunakan untuk mengurangkan dan mencegah serangan, namun penting untuk pesakit mendapatkan nasihat perubatan dari pakar terlebih dahulu.

“Kerap kali pakar neurologi mendapati pesakit membeli ubat serangan migrain dengan sendiri dan mengambilnya hampir setiap hari. Ini meningkatkan risiko mengalami sakit kepala kerana pergantungan kepada ubatan, kerana sakit kepala biasanya tidak akan pulih hanya dengan mengambil ubat tahan sakit tanpa menerima rawatan pencegahan pada masa yang sama,” katanya.

Selain itu, khusus bagi pesakit migrain, pengubahsuaian cara hidup juga amat penting bagi mengurangkan serangan sakit kepala. Ini termasuk mengurangkan pengambilan kafein yang berlebihan, coklat,keju dan makanan yang mengadungi kandungan Monosodium glutamate yang tinggi. Mereka juga disarankan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, tidur yang cukup dan pengurusan tekanan yang baik.

Mengakhiri perbualan, Dr. Rabani meninggalkan tips kepada pesakit untuk mengurangkan kesakitan secara sementara. Ini termasuklah minum air yang mencukupi, menggunakan aromaterapi serta menyenaraikan makanan yang menjadi pencetus serangan, seterusnya mengelakkan pengambilannya ketika dan selepas serangan sakit kepala.

Sakit Sendi Lutut

1 Dis 2021 Artikel

Dr. Rizal bin Abdul Rani

Pensyarah dan Pakar Perunding Arthroplasti
Jabatan Ortopedik dan Traumatologi
Fakulti Perubatan

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit sendi lutut ini, termasuk dari sudut sejarah perubatan (bila sakit ini mula dikesan ke atas manusia)?

Seseorang yang mengadu sakit sendi lutut terutamanya mereka yang telah berumur, berkemungkinan besar adalah disebabkan osteoarthritis. Osteoarthritis jika diterjemahkan secara terus adalah radang sendi tulang, ia perlu dibezakan dengan radang sendi atau arthritis yang lain seperti rheumatoid arthritis, gouty arthritis dan psoriatic arthritis kerana peyakit penyakit ini adalah sistemik iaitu ia boleh menyebabkan banyak masalah perubatan lain pada badan. Penyakit arthritis yang lain ini juga ada ubat ubat khusus untuk mencegahnya dari melarat.

Osteoarthritis boleh berlaku pada mana mana sendi tetapi kebanyakan pesakit akan mengadu sakit lutut. Sendi lain yang sering dikaitkan dengan osteoarthritis termasuklah jari, pinggul, bahu dan tulang belakang.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Penyakit ini bermula apabila tulang rawan (cartilage) menipis atau “haus” akibat pengunaan sendi lutut yang berlebihan. Ini termasuk tekanan atau stres pada lutut akibat penggunaan harian. Tulang rawan mempunyai fungsi penting untuk melicin dan memudahkan pergerakan antara tulang.

Pada mulanya pesakit tidak akan mengadu sakit lutut tetapi dengan jangka masa yang panjang yang mungkin mengambil masa bertahun ataupun berdekad, kerosakan tulang rawan dan lutut bertambah dan kesakitan menjadi ketara. Disebabkan ini, osteoarthritis sering dikenali sebagai penyakit orang tua.

Walaubagaimanapun ia boleh berlaku pada umur yang lebih muda (kurang daripada 50 tahun) terutamanya mereka yang pernah mengalami kecederaan lutut sama ada patah, cedera urat atau jangkitan pada sendi lutut kerana sebarang kecederaan pada sendi akan mengganggu sendi untuk pulih, mempercepatkan kerosakan lutut atau meletakan tekanan berlebihan pada sendi.
Mereka yang aktif bersukan, gemuk atau beberapa pekerjaan tertentu seperti buruh dan petani juga berisiko tinggi untuk mendapat osteoarthritis pada usia muda kerana penggunaan sendi lutut yang berlebihan. Menurut satu kajian lebih 80% pemain bola sepak profesional ada masalah osteoarthritis lutut selepas bersara, jauh lebih tinggi berbanding populasi biasa.

Osteoarthritis juga ada komponen genetik, jadi ia boleh diwarisi. Mereka kebiasaannya mendapat osteoarthritis pada usia yang lebih muda dan melibatkan banyak sendi.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Secara amnya, kebanyakkan pesakit osteoarthritis adalah perempuan berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Menurut satu kajian dianggarkan 9.3% warga Malaysia dewasa mempunyai sakit lutut dan lebih daripada separuh yang diperiksa mempunyai simptom osteoarthritis. Satu kajian lain melibatkan 1200 warga Kuala Lumpur berumur 55 tahun ke atas menunjukkan lebih 30% mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis. Lebih 43% Melayu yang ditanya mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Simptom utama osteoarthritis adalah kesakitan pada sendi yang terjejas. Pada awalnya kesakitan yang dialami tidak teruk dan pesakit boleh berfungsi seperti biasa. Sakit lutut osteoarthritis sering digambarkan sebagai kesakitan lutut yang sengal dan menjadi lebih teruk apabila banyak melakukan aktiviti yang meletak beban kepada lutut seperti berjalan dan naik tangga. Ada juga yang mengadu sakit lutut pada waktu malam terutamanya setelah banyak berjalan pada waktu siang. Biasanya sakit akan hilang dengan merehatkan lutut selama beberapa minit.

Seseorang juga mungkin sedar kaki mereka semakin membengkok dan pergerakan lutut terbatas dan keras.

Apabila keadaan lutut semakin teruk, pesakit bukan sahaja tidak boleh melakukan aktiviti harian seperti solat seperti biasa. Malah mereka mungkin tidak keluar dari rumah kerana berjalan beberapa langkah akan menyebabkan kesakitan yang amat teruk. Pengambilan ubat tahan sakit setiap hari pula akan mendedahkan pesakit kepada masalah lain seperti gastritis (sakit perut) dan kerosakan buah pinggang akibat kesan sampingan ubat ubat tersebut jika diambil untuk jangka masa panjang.

 

5. Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit vertigo ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Penyakit osteoarthritis tidak merbahayakan nyawa tetapi boleh menjejaskan aktiviti harian sehingga pesakit tidak boleh bekerja atau melakukan apa apa aktiviti. Ini juga secara tidak langsung boleh menyebabkan kemurungan. Kesan jangka masa panjang menyebabkan pesakit tidak boleh bersenam seterusnya menyebabkan masalah masalah kesihatan yang lain pula.

 

6.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Pesakit patut berjumpa doktor apabila mula mengalami sakit lutut, terdapat pelbagai rawatan untuk memperlahankan dan mecegah penyakit ini sebelum ia menjadi lebih teruk. Bisanya saranan awal adalah dengan mengurangkan berat badan supaya tekanan pada lutut berkurangan dan fisioterapi khusus pada otot otot kaki.
Pesakit juga mungkin perlu mengubah cara gaya hidup dengan mengelak perkara yang boleh menyebabkan sendi lutut lebih cepat rosak.

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit sendi lutut ini?

Rawatan perubatan adalah untuk mengurangkan simptom. Perubahan pada cara hidup dan mengambilan ubat, suntikan dan suplemen dpat membantu mengurangkan kesakitan dan simptom lain osteoarthritis.

Apabila penyakit ini menjadi lebih teruk iaitu jika kesakitan yang dialami mengganggu aktiviti harian sehingga pesakit tidak boleh berfungsi dengan baik atau jika penghidap terpaksa makan ubat tahan sakit setiap hari maka mereka perlulah berbincang dengan pakar bedah ortopedik untuk rawatan seterusnya.

Rawatan yang mungkin dicadangkan adalah pembedahan tukar sendi lutut (total knee replacement). Pembedahan tukar sendi lutut adalah antara pembedahan yang sangat berkesan dan berjaya. Usia bukan penghalang kepada pembedahan kerana setiap pesakit mempunyai tahap kesihatan yang berbeza beza walaupun umur yang lanjut. Setiap pesakit perlu disaring untuk memastikan mereka cukup sihat untuk melalui pembedahan. Perlu ditekankan pembedahan sendi lutut juga ada had dan risikonya yang tersendiri. Kebanyakan pesakit yang melalui pembedahan ini perlu mempunyai motivasi tinggi dan rajin melakukan senaman fisioterapi selepas pembedahan. Ini kerana jika tidak melakukan fisioterapi, hasil daripada pembedahan sahaja tidak memuaskan. Perlu juga ditekankan, tujuan utama pembedahan sendi lutut adalah untuk mengurangkan sakit dan meluruskan kaki yang bengkok.

Buat masa kini, tidak ada rawatan yang boleh memulihkan sendi yang telah rosak tetapi kajian sedang giat dijalankan menggunakan terapi sel stem yang mungkin boleh membantu memulihkan sendi rawan yang telah rosak. Unit arthroplasti UKM sedang mengkaji penggunaan sel stem untuk tujuan ini dan bakal melaksanakan ujian klinikal ke atas pesakit dalam masa terdekat.

 

8.  Apakah kaedah rawatan alternatif yang boleh mencegah atau memulihkan penyakit sendi lutut ini?

Kebanyakan rawatan tradisional atau alternatif seperti mengurut, akupuntur dan sengat lebah hanya merawat simptom osteoarthritis sahaja dan berkesan untuk jangka masa pendek.

 

9.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Untuk mengurang dan memperlahankan proses penyakit ini adalah dengan mengurangkan beban kepada lutut. Aktiviti seperti berlari akan meletakkan beban yang tinggi kepada lutut. Walaubagaimanapun senaman tetap penting untuk kesihatan badan jadi keseimbangan perlu diambil. Aktiviti seperti berenang atau mengayuh basikal lebih mesra kepada lutut dan pada masa yang sama boleh membantu mengurangkan berat badan dan bagus untuk kesihatan jantung.

Batu Dalam Hempedu

1 Dis 2021 Artikel

Prof. Madya Dr. Zamri bin Zuhdi

Ketua Unit
Jabatan Surgeri

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit batu dalam hempedu?

Batu di dalam pundi hempedu atau’gallstone’ adalah disebabkan oleh penghasilan batu di dalam pundi hempedu. Pundi hempedu adalah satu organ, berbentuk seperti buah pear, yang bertindak sebagai stor simpanan kepada cecair hempedu. Cecair hempedu ini dihasilkan di hati.

Antara kandungan cecair hempedu adalah air, garam hempedu”bile salt”, lemak (kolestrol).dan bilirubin.

Terdapat 2 jenis batu yang menyebabkan penyakit batu pundi hempedu. Yang utama sekali adalah batu kolestrol (80%) dan selebihnya adalah batu pigmen.

Saiz batu di dalam pundi hempedu adalah berbagai, daripada sebesar pasir sehinggalah kepada saiz bola golf.

 

Hampir 80% daripada populasi yang ada batu hempedu adalah asimptomatik (tak bergejala). Cuma 20% sahaja yang bergejala.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Faktor risiko untuk diserang penyakit batu hempedu:

  • Umur lebih 40 tahun

  • Jantina:Perempuan berisiko dua kali ganda mendapat penyakit ini berbanding lelaki. Ini disebabkan faktor hormone estrogen yang berlebihan di kalangan wanita.

  • Ada sejarah penyakit ini di dalam keluarga.

  • Berat badan yang berlebihan(tak ideal) ‘overweight’.

  • Seseorang yang dimana berat badan menurun secara mendadak.

  • Pemakanan diet yang berlebihan lemak dan juga kolestrol

  • Mengidap penyakit kencing manis(diabetes mellitus)

  • Seseorang yang ada penyakit ‘blood disorder’ seperti Thalaseamia,

Antara punca diserang  penyakit batu hempedu adalah: 

  • Paras kolestrol yang tinggi atau pekat di dalam cecair hempedu

  • Pengaliran cecair hempedu yang perlahan di dalam pundi hempedu dan saluran hempedu.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Kita tidak mempunyai statistik yang teperinci tentang peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia kerana penyakit ini terlalu common dan ia  boleh dirawat di hospital swasta dan kerajaan. Walaubagaimanapun ia masih dalam lingkungan faktor-faktor risiko yang saya sebutkan tadi.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Macam yang saya katakan tadi, hanya  lebih kurang  20% sahaja yang bergejala.

Symptom awal:

Sakit dibahagian bawah rusuk kanan dan ulu hati selama beberapa minit dan sakit tersebut akan beransur-ansur hilang. Dan pesakit akan mengalami sakit yang sama secara berulang-ulang. Ini dipanggil ‘gallstone colic’. Gejala ini biasanya disertai dengan rasa loya dan muntah.

5. Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Jika pesakit hanya mengalami ‘gallstone colic’ skala bahaya lebih kurang antara 2 ke 4 bergantung kepada berapa kali ulangan untuk sakit tersebut. Walaubagaimanapun sekiranya pesakit masih lagi tidak mendapat rawatan  dikhuatiri  pesakit akan mendapat radang pundi hempedu. Kebiasaannya pada peringkat ini pesakit akan mengalami sakit yang lebih teruk disertai dengan demam. Saya boleh letak skala pada peringkat ini daripada 5 ke 10 kerana jika masih tidak dirawat pundi hempedu tersebut akan bernanah dan boleh bocor. Ini boleh membawa maut.

 

6.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Jika sekiranya pesakit mengalami ‘gallstone colic’, ini adalah masa pesakit kena bertemu doktor atau pengamal perubatan untuk mendapat rawatan. Kebiasaannya pada peringkat ini, pemeriksaan darah akan dilakukan beserta dengan pemeriksaan ultrasound  untuk melihat batu di dalam pundi hempedu.

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

Rawatan yang standard adalah surgeri iaitu pembuangan pundi hempedu yang dipanggil laparoskopik atau pembedahan lubang kunci.

Rawatan menggunakan kaedah tanpa pembedahan juga boleh digunakan iaitu penggunaan ubat atau terapi oral, walaubagaimanapun peranannya adalah terhad kerana kurang berkesan dan kejadian berulang yang tinggi. Ia hanya digunakan dalam situasi apabila pesakit mempunyai risiko yang tinggi untuk menjalani pembedahan atau anestetik.

 

8.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Masyarakat boleh mengurangkan faktor risiko untuk penyakit ini melalui pengamalan   cara hidup yang sihat terutama dari segi diet atau pemakanan dengan mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak dan berkolestrol , serta memastikan berat badan yang ideal.

Batu Karang

1 Dis 2021 Artikel

Dr. Dr Fam Xeng Inn

Pakar Perunding Urologi
Jabatan Surgeri

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit batu karang?

Batu karang terbentuk melalui proses pemendakan dan penghabluran mineral dan konstituen kencing. Mineral dan konstituen dalam air kencing terkumpul bersama dan menjadi titik pemendakan apabila air kencing dalam kepekatan yang tinggi. Titik pemendakan ini merupakan tumpuan mineral dan konstituen untuk memendak and menghablur berterusan, and akhirnya batu karang yerjadi. Secara saintifik, batu karang dinamakan mengikut garam mineral yang terkandung dalam batu karang. Contoh-contoh batu karang ialah batu kalsium oxalate, batu kalsium fosfat,  batu asid urik, batu magnasium amonium fosfak, batu cystein dan sebagainya. Batu yang paling biasa terjadi ialah batu kalsium oxalate.



2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Batu karang berlainan terjadi dengan sebab berlainan.

Sebab yang paling biasa batu karang terjadi ialah kekurangan minum air and terlebih makanan masin yang mengandungi sodium tinggi. Apabila seseorang kurang minum air, air kencing akan menjadi pekat dan membolehkan proses pemendakan dan penghabluran mineral dan konstituen kencing bermula, justeru membentuk batu karang. 

Makan makanan masin yang berlebihan kandungan sodium akan menyebabkan peningkatan kandungan sodium dalam darah. Kandungan tinggi sodium dalam darah akan menyebabkan pengeluaran kalsium berlebihan dalam air kencing dimana kalsium merupakan garam mineral yang penting dalam pembentukan batu karang.

Makanan yang meningkatkan beban asik pinggang (potential renal acid load) akan menyebabkan penyakit batu karang juga. 

Selain itu. batu karang magnesium ammonium fosfat  terbentuk melalui jangkitan kuman kencing. Batu karang asid urik terbentuk dalam pesakit yang menghidapi penyakit gout.



3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Prevalen penyakit batu karang di Malaysia adalah 10-15%, dengan nisbah lelaki: perempuan 2:1. Penyakit batu karang boleh terjadi pada golongan semua peringkat umur, manakala golongan umur 35 hingga 45 tahun menghadapi risiko yang paling tinggi diserang penyakit batu karang.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Biasanya batu karang kecil dalam buah pinggang tidak memberi apa-apa symptom. Kita memanggil batu karang ini ‘ silent stone’. Batu karang ini biasanya ditemui semasa pemeriksaan ultrasound. Apabila batu karang semakin membesar, pesakit akan rasa sakit belakang di sebelah kiri atau kanan. Sesetengah pesakit megalami kencing darah. Jika batu karang beralih dan tersekat di salur kencing (ureter), pesakit akan mengalami kesakitan yang sangat kuat. Kesakitan yang kuat disebabkan penguncupan salur kencing untuk mengeluarkan batu karang tersebut.



5.  Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Apabila batu karang tersekat di salur kencing, tahap kesakitan yang dialami adalah 10. Tahap kesakitan yang dialami oleh pesakit untuk batu karang berada di buah pinggang adalah 3-5 

Batu karang yang tersekat di salur kencing akan menjadi berbahaya jika pesakit tidak atau terlewat mendapatkan rawatan. Batu karang salur kencing akan menyebabkan kesumbatan aliran kencing, air kencing terkumpul di buah pinggang biasanya akan dijangkit kuman dan boleh menjadi nanah. Kuman dari kencing akan memasuki darah dan menyebabkan sepsis. Jangkitan kuman yang tenat boleh menyebabkan maut kepada pesakit. 

Sesetengah batu karang di buah pinggang juga boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada pesakit jika dibiarkan. Batu karang besar di buah pinggang boleh menghakis daging buah pinggang dan mengakibatkan buah pinggang tersebut tidak berfungsi pada jangka masa panjang.



6. Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Pesakit perlu berjumpa dengan doktor apabila mereka mengalami simptom batu karang, seperti kesakitan belakang di bahagian kanan atau kiri, atau kencing berdarah. 

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

Batu karang yang lebih kecil daripada 5mm, mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalir keluar dari badan bersama kencing. Pesakit hanya perlu minum air yang lebih untuk menghasilkan air kencing bagi mengeluarkan batu karang yang kecil. Kebarangkalian untuk batu karang dikeluarkan bersama kencing akan berkurangan dengan saiz batu yang semakin besar. Batu karang melebihi 1cm biasanya tidak dapat mengalir keluar bersama kencing. 

Batu karang asid urik boleh diairkan dengan meninggi pH kencing. 

Selain ini, tidak ada rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit batu karang.



8. Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Minum air yang mencukupi setiap hari, 2L air setiap hari

Kurangkan makanan masin 

Kurangkan makan daging , keju dan telur kuning yag boleh meningkatkan beban asik pinggang (potential renal acid load).

Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran

Kurangkan makanan yang mengandungi oxalat yang tinggi seperti spinach, hati, kacang, strawberry,chocolate.

Sakit Sawan

1 Dis 2021 Artikel

Prof. Madya Dr. Shahrul Azmin bin Md. Rani

Jabatan Perubatan
Fakulti Perubatan

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit sawan?

Sakit sawan merujuk kepada fenomena dimana terdapat cetusan elektrik yang melanda sel-sel otak dan meyebabkan gangguan kepada fungsi otak. Cetusan elektrik ini boleh menyebabkan gangguan kepada deria rasa, pergerakan, malah boleh meyebabkan pesakit tidak sedarkan diri. Sakit sawan yang berulang dipanggil epilepsi.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Terdapat beberapa sebab mengapa seseorang boleh diserang sakit sawan. Untuk anak-anak kecil, demam yang berpanjangan dengan suhu badan yang amat tinggi boleh menyebabkan sawan demam (febrile fits). Sakit sawan juga boleh berpunca daripada jangkitan kuman didalam otak. Terdapat juga sakit sawan yang berpunca dari faktor genetik. Secara amnya, pesakit yang mengalami sakit sawan lebih cenderung untuk mendapat serangan jika kurang sihat, mangambil minuman yang mangandungi alkohol secara berlebihan atau mengalami masalah kurang tidur.  Bagi pesakit epilepsi yang mengambil ubat epilepsi, adalah penting bagi pesakit untuk mengambil ubat pada dos dan masa yang disarankan oleh pihak doktor kerana ini akan mengurangkan kecendurangan untuk mendapat serangan sakit sawan.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)? 

(Tiada data)

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Simptom awal yang sering dialami oleh seseorang yang terdedah kepada sakit ini ialah mudah keliru, mengalami kekejangan otot dan tidak sedarkan diri.

 

5.  Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini? Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

Tahap bahaya serangan sakit sawan ini bergantung kepada beberapa faktor. Faktor yang paling penting adalah jangkamasa serangan sawan tersebut. Lebih lama serangan sawan berlaku, lebih merbahaya. Ini kerana semasa serangan sawan, kadang-kala sistem pernafasan juga akan terganggu disebabakan kekejangan otot-otot yang membantu sistem pernafasan. Secara amnya, serangan sawan yang berlarutan lebih dari 30 minit memerlukan rawatan di Wad Rawatan Rapi (ICU). Selain daripada itu, bahaya serangan sawan bergantung kepada situasi pesakit semasa serangan berlaku.  Sebagai contoh, sekiranya serangan sawan berlaku semasa berenang, ini akan mendatangkan bahaya yang amat besar kerana risiko lemas. Sekiranya serangan sawan berlaku ketika memandu, ini boleh menyebabkan kemalangan yang boleh membawa maut, bukan sahaja kepada pesakit sawan itu sendiri, malah kepada semua individu ynag terlibat didalam kemalangan.

 

6. Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Jikalau individu mengalami gejala yang disyaki berpunca dari sawan, adalah digalakkan untuk mendapat nasihat doktor secepat mungkin. Ini untuk membolehkan siasatan lanjut dan rawatan yang sepatutnya dapat dijalankan.

 

7. Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

Kaedah rawatan secara amnya bergantung kepada punca seseorang itu mengalami sakit sawan. Seperti contoh diatas, jikalau sakit sawan adalah disebabkan demam panas, rawatan adalah dengan menurunkan suhu pesakit tersebut. Jika peskait mengalami sawan disebabkan jangkitan kuman didalam otak, rawatan untuk pesakit tersebut adalah mengambil ubat yang boleh menghapuskan jangkitan tersebut. Untuk epilepsi (sawan yang berulang), ubat epilepsi adalah kaedah rawatan ynag digunakan untuk mengurangkan risiko mendapat serangan epilepsi.

 

8.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?  

Pada pesakit pesakit epilepsi, tips yang paling penting adalah untuk memastikan pengambilan ubat ubatan mengikut nasihat doktor. Selain dari itu, pesakit perlu mengelak dari melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan serangan epilepsi berlaku denagn lebih senang seperti memastikan tidur yang cukup dan mengelak dari mengambil minuman alkohol secara berlebihan.

Terseliuh dan patah tulang

30 Nov 2021 Artikel

Dr. Mohamed Hafizudin bin Abdullah Sani

Pakar Ortopedik dan Traumatologi
Jabatan Ortopedik
Fakulti Perubatan

 

TERSELIUH

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit akibat terseliuh?

Penyakit terseliuh atau tergeliat adalah terma yang digunakan jika seseorang mengalami kecederaan kepada sendi,ligamen atau tendon.Ligamen adalah struktur yang menyambungkan suatu tulang kepada tulang yang lain,manakala tendon pula menyambungkan otot pada tulang. Kedua dua struktur ini mempunyai had renggangan yang terhad untuk memastikan pergerakan badan dan sendi dalam keadaan yang stabil dan dinamik. Kecederaan ini biasanya disebabkan dari kecederaan bersukan apabila pergerakkan sendi atau otot bergerak lebih dari tahap keupyaan sesuatu sendi itu berkerja. Terseliuh juga boleh disebabkan oleh kemalangan. Kecederaan ini boleh menyebabkan sakit dan bengkak pada sendi dan ligamen disebabkan oleh perenggangan atau lebih ekstrim lagi koyak pada bahagian ligamen dan tendon.kecederaan terseliuh ini bole berlaku pada mana mana bahgian sendi tetapi majoriti pada sendi buku lali dan lutut. Pergelangan tangan dan bahu juga antara sendi yang bole terseliuh terutama akibat jatuh atau kemalangan.30% dari kecederaan sukan melibatkan terseliuh buku lali dari sukan yang banyak melibatkan larian atau lompatan seperti bola sepak, bola keranjang, dan bola tampar.

 

2.  Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini?

Penyakit terseliuh ini tidak boleh membawa maut, akan tetapi kecederaan terseliuh ini akan menghadkan pergerakkan seseorang dan menyebabkan aktiviti harian menjadi terhad dan terjejas.Jika berlaku pada warga tua,mereka akan mengalami kesusahan untuk menguruskan diri seperti ke bilik air dan makan minum juka melibatkan sendi tangan.Pada golongan atlit pula, terseliuh boleh menyebabkan penagguhan dalam acara sukan sekaligus boleh menjejaskan karier mereka. Tahap kesakitan pula bergantung kepada bilangan tendon atau ligamen yang terlibat dan tahap kerenggangan atau jenis koyak.

Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

 

3.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Jika berlaku kecederaan terseliuh pada seseorang, pesakit perlu mengenalpasti tanda tanda awal penyakit ini seperti bengkak, sakit pada sendi, lebam. Pesakit digalakkan berjumpa dengan doktor sekiranya terdapat symptom seperti berikut :

  • sakit pada pergelangan buku lali jika ditekan
  • pesakit tidak boleh berjalan atau berdiri atau menampung diri sendiri sejurus selepas mengalami kecedraan terseliuh (inability to weight bearing)
  • kedengaran bunyi “pop” pada bahagian sendi boleh disebabkan ligament/tendon koyak atau kepatahan tulang

 

4.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

  • Kaedah RICE (rest, ice, Compression, elevate)
    Rehat (rest) : kurangkan pergerakkan terutama pada sendi yang cedera

  • AIS (ice) : bole mengurangkan rasa sakit dan juga menyebabkan salur darah mengecut sekaligus mengurangkan bengkak dan radangan. Bole dilakukakn selama 10-15 minit per sesi sebanyak 4-6 sesi sehari.

  • Tekanan (compression) : tekanan (bandaging) bole mengurangkan bengkak dan radangan dan mengelakkan sendi menjadi sembab.

  • Menaikkan sendi (elevate) : meninggikan atau menaikkan sendi dari bahagain badan yang lain boleh mengurangkan bengkak dan sakit. Baik dilakukakn pada 24 jam pertama selepas kecederaan.



5.  Apakah tips kepada masyarakat yang mengalami situasi terseliuh anggota tubuhnya?

  • Mulakan aktiviti dengan senaman ringan atau warm up sebelum memulakan aktivit yang lebih ekstrim

  • Melakukan kaedaan pemanasan otot (stretching) sebelum aktiviti sukan

  • Berhenti dari beraktiviti jika mula mengalami sengal sengal badan atau otot bagi megelakkan kecederaan yang lebih Sirius

  • Guna alat atau pakaian sukan yang bersesuaian

  • Elakkan berjalan pada tempat yang licin dan tidak rata

  • Memakai alat sokongan pada sendi seperti “brace” atau “guard”

  • Menjaga berat badan mengikut BMI yang sesuai

 

6.  Komen doktor jika masyarakat bertemu tukang urut bagi kes-kes terseliuh?

Seeloknya mendapat pemerhatian doktor sebelum bertemu tukang urut untuk memastikan tiada kecedraan yang lebih Sirius seperti kepatahan tulang atau ligament/tendon putus.sekiranya kecederaan hanya melibatkan renggangan pada sendi/ligament sahaja,pesakit digalakkan berehat dahulu sebelom mendaptakan rawatan berurut sekurangnya 24-72 jam untuk megelakkan radangan yang melampau dan lebih teruk.

 

7.  Ada mendakwa, terseliuh ini beri kesan kepada urat. Komen doktor?

Jika dipandang dari segi saintifik, terseliuh sendiri adalah kecederaan pada bahagian sendi/ligament/tendon dan urat. Jika kesan pada urat yang dimaksudkan adalah saraf(nerve),maka terseliuh ini bole menyebabkan penyakit ini menjadi kronik dan jika tidak dirawat, bole menyebabkan ketidakstabilan pada sendi dan sekaligus menyebabkan jangkitan radangan awal sendi (early osteoarthritis).

 


PATAH TANGAN/KAKI

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit akibat berlaku patah pada anggota tubuh seperti tangan dan kaki?

Definisi patah tulang adalah keadaan dimana berlaku renggangan atau keretakkan pada struktur sesuatu tulang yang menjejaskan fungsi, bentuk/posisi, dan pergerakkan sesuatu tulang. Kepatahan tulang biasanya berlaku apabila terdapat tekanan atau daya renggangan yang melampau melebihi keupayaan tulang itu sendiri. Kepatahan biasanya melibatkan kemalangan,kecederaan semasa bersukan,jatuh dari tempat yang tinggi. Kepatahan tulang juga boleh berlaku pada tulang yang tidak normal dan tulang rapuh seperti “osteoporosis” dimana struktur dalam tulang telah menjadi rapuh dan kekurangan zat seperti kalsium sekaligus menyebabkan tulang menjadi lembut dan senang patah. Kepatahan tulang disebabkan tulang rapuh boleh mencecah 30% bagi wanita berumur 50 tahun ke atas dan dilaporkan lebih kurang 1.5 juta kepatahan setiap tahun disebabkan oleh tulang rapuh di seluruh dunia.

 

2.  Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini?

Pada pendapat saya, kepatahan tulang jika tidak di rawat dengan betul boleh membawa maut secara tidak langsung. Topik patah tulang ini adalah luas, jika hendak dibincangkan. Seperti contoh, kepatahan tulang pinggul dan pelvis boleh menyebabkan pendarahan yang melampau dah boleh menyebabkan kematian. Patah tulang sendi juga boleh menyebabkan sum sum tulang tersebar dalam salur darah (fat embolism syndrome) dan menggangu system penafasan sekaligus boleh menyebakan kematian. Kepatahan tulang pada warga tua seperti tulang pinggul juga boleh menyebabkn pesakit terlantar di hospital atau dirumah sekaligus mendapat risiko dan komplikasi untuk penyakit yang lain seperti jangkitan paru paru (pneumonia) atau tekanan ulser/kudis tekanan (pressure ulcer).

Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

 

3.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Pesakit digalakkan berjumpa doctor secepat mungkin jika mengalami symptom kepatahan seperti bengkak,lebam, sakit yang melampau, sendi goyang atau bengkok, kecacatan pada fizkal tulang/tubuh.

 

4.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

Jika berlaku kepatahan , pesakit digalakkan berjumpa doctor untuk mendapat rawatan susulan. Jika kepatahan tidak berapa Sirius, pesakit bole dirawat memggunakan balutan simen (POP : plaster of paris). Akan tetapi jika kepatahan yang lebih parah, pesakit mungkin memerlukan pembedahan dan gantian sokongan besi padas tulang yang patah.

 

5.  Apakah tips kepada masyarakat yang patah anggota tubuhnya?

  • Mendapat rawatan susulan dengan doktor 
  • Mematuhi nasihat doctor dalam proses pemulihan dan peyembuhan
  • Mengambil makanan yang kaya dengan zat kalsium dan protein dan makanan yang kurang kolestrol
  • Menjaga berat badan dan BMI yang sesuai
  • Mengikuti program fisioterapi yang telah dirancang 
  • Mendapatkan rawatan susulan untuk tulang rapuh dan teknik 
  • Elakkan dari membuat aktiviti yang berisiko tinggi untuk patah (sukan ekstrim,angkat berat, sukan berkontak) semasa proses pemulihan

 

6.  Komen doktor jika masyarakat bertemu tukang urut bagi kes-kes patah tangan/kaki?

Jika berlaku kepatahan, tidak digalakkan berurut untuk meggelakkan kecedraan yang lebih teruk pada tulang dan tisu yang cedera. Jika berurut, terdapat risiko tulang tidak boleh sembuh atau tulang boleh menjadi lebih bengkok dan gagal berfungsi seperti normal.jika tidak dirawat dengan betul, ia bole menjadi kecacatan kekal dan kronik.


Sakit Tekak

30 Nov 2021 Artikel
Dr. Farah Dayana binti Zahedi
Pensyarah / Pakar Otorinolaringologi
Jabatan Otorinolaringologi
Hospital Canselor Tuanku Muhriz

 

1.  Boleh doktor terangkan latar belakang sakit tekak? 

Sakit tekak merupakan gejala yang selalu di alami oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Sakit tekak yang kerap di kalangan kanak-kanak dan dewasa menyebabkan penurunan kualiti hidup dan menyebabkan kerapnya seseorang berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Sakit tekak juga menyebabkan ketidakhadiran seseorang ke kerja atau sekolah.

Sakit tekak disebabkan keradangan dibahagian tonsil (tosillitis) , farinks (pharyngitis), larinks (laryngitis), epilotis (epigolotitis)  atau sekitar tonsil (contohnya seperti peritonsillitis, peritonsillar abscess). Keradangan di bahagian tekak ini boleh disebabkan jangkitan kuman, kecederaan disebabkan intubasi dan bendasing, iritasi asid, bahan kimia,  habuk dan lendir daripada hidung.  Sakit tekak juga boleh disebabkan oleh ketumbuhan pada bahagian tekak.

Sakit tekak yang teruk terutama di kalangan kanak-kanak menyebabkan kesakitan dalam menelan dan seterusnya kurang pengambilan makanan dan air yang boleh membawa kepada dehidrasi. Oleh itu, sakit tekak perlu diketahui punca dan dirawat dengan betul.

 

2.  Bagaimana seseorang boleh diserang penyakit ini? Apakah punca seseorang boleh diserang?

Kebiasaannya sakit tekak adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang menyebabkan keradangan pada tonsil, farinks atau larinks. Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan gejala sakit tekak.

Selain dari jangkitan ynag disebut di atas, sakit tekak boleh disebabkan oleh alahan. Alahan hidung (rhinitis) merupakan salah satu faktor risiko berlakunya sakit tekak. Sesetengah pesakit yang mempunyai alahan hidung akan ada gejala ‘post nasal drip’ yang mana lendir hidung turun ke tekak melalui belakang hidung. Ini akan menyebabkan keradangan pada tekak seseorang yang mempunyai alahan hidung. Selain alahan hidung, alahan juga boleh terjadi secara terus di bahagian tekak contohnya seperti alahan pada makanan. Pesakit akan merasa gatal di bahagian lelangit dan tekak dan seterusnya menyebabkan batuk yang seterusnya menyebabkan keradangan ditekak.

Penyakit refluks asid atau dikenali sebagai ‘laryngopharyngeal reflux’ merupakan keadaan di mana asid daripada perut naik melalui esofagus ke tekak. Ini akan menyebabkan keradangan di bahagian tekak disebabkan iritasi dari asid tersebut. Pesakit akan merasa gatal tekak, panas dan  ketidakselesaan di tekak. Keradangan boleh berlaku dibahagian farinks, larinks dan tonsils. Sekiranya keradangan berlaku dibahagian larinks, pesakit akan mengalami perubahan suara.

Kerengsaan di sebabkan oleh pencemaran udara, habuk (seperti habuk kayu) atau bahan kimia merupakan salah satu faktor penyebab sakit tekak. Udara yang tercemar atau bahan kimia yang tertentu boleh menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan termasuk tekak. Oleh itu pemakaian alat penutup/ penapis mulut dan hidung adalah penting dikalangan individu yang terdedah kepada bahan-bahan ini.

Kecederaan di bahagian tekak akibat intubasi atau bendasing seperti tulang ikan tersangkut di tonsils atau farinks merupakan penyebab sakit tekak.

Salah satu penyebab sakit tekak yang merbahaya adalah ketumbuhan di bahagian tekak. Tumor seperti kanser perlu diberi rawatan segara mengikut tahap dan bahagian tumor tersebut. Ketumbuhan boleh terjadi di tonsils, farinks dan larinks. Sekiranya sakit tekak disertai dengan air liur berdarah, ia perlu diberi perhatian segera dan mendapatkan rawatan daripada doktor, terutamanya pakar ENT.

 

3.  Secara statistik, bagaimanakah peratusan penghidap penyakit ini di Malaysia mengikut umur, jantina, latar etnik serta profesion (jika ada)?

Tiada statistik yang terperinci. Tetapi ramai pesakit yang mengalami sakit tekak disebabkan oleh jangkitan kuman atau masalah tonsil akan berjumpa dengan doktor di klinik untuk mendapatkan rawatan. Peratusan penghidap sakit tekak adalah bergantung kepada diagnosis sakit tekak itu sendiri.

Secara umumnya sakit tekak dan radang tonsil adalah kerap di kalangan kanak-kanak berbanding dewasa.

 

4.  Apakah simptom awal bahawa seseorang itu terdedah kepada sakit ini?

Bergantung kepada punca dan penyebab sakit tekak, pesakit boleh mendapat simptom atau gejala yang berbeza antara satu sama lain. Kadang kala pesakit juga mendapat simptom yang ringan dan tidak ketara seperti ketidakselesaan pada bahagian tekak.

Pesakit yang mengalami sakit tekak ini akan berasa kurang selesa tau sakit semasa menelan . Sekiranya punca sakit tekak ini adalah disebabkan oleh virus, pesakit akan merasa sakit-sakit badan, kurang selera makan, sakit kepala dan demam. Sakit tekak biasanya diiringi atau didahului dengan gejala selsema seperti hidung berair, hidung tersumbat dan kerap bersin. Selain itu, nafas akan berbau. Sekiranya jangkitan adalah disebabkan oleh bakteria, pesakit akan mengalami gejala yang lebih teruk seperti kesukaran dan kesakitan semasa menelan yang teruk, akan tetapi kurang gejala sistemik seperti sakit badan dan sendi. Kesakitan pada tekak ini boleh menyebabkan pesakit kurang makan dan minum seterusnya membawa kepada dehidrasi. Pesakit juga boleh mendapat bengkak pada kelenjar dibahagian leher selain sakit telinga (referred pain).

Sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan atau keradangan pada epiglotis menyebabkan pesakit mendapat kesukaran menelan walaupun untuk menelan air liur kerana sakit. Sekiranya jangkitan ini berlaku pada kanak-kanak, air liur akan mengalir keluar dari mulut. Pesakit akan mendapat demam yang tinggi selain kesukaran bernafas. Akan terdapat bunyi pada pernafasan pesakit (stridor) yang menandakan terdapat sekatan pada saluran pernafasan atas akibat kebengkakan epiglotis.

Sekiranya sakit tekak adalah disebabkan oleh ketumbuhan kanser, pesakit boleh mengalami pendarahan di bahagian ketumbuhan tersebut, air liur bercampur darah, kurang selera makan dan penurunan berat badan.

 

5.  Jika diukur melalui skala 1 sehingga 10 (di mana 10 paling bahaya), pada skala berapakah bahayanya sakit ini? 

Skala ini sangat subjektif dan bergantung kepada diagnosis sakit tekak tersebut, tahap sakit tekak, kekerapan sakit tekak, komplikasi yang dihadapi akibat sakit tekan dan kualiti hidup akibat sakit tekak.

Jenis sakit tekak yang kurang bahaya adalah sakit tekak akibat jangkitan virus dan yang tidak membawa apa-apa komplikasi.

Masalah keradangan tonsil pada kanak-kanak boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut kurang makan dan minum seterusnya menyebabkan dehidrasi. Kanak-kanak tersebut perlu dimasukkan ke hospital untuk pantauan dan rawatan terutamanya pemberian air melalui saluran darah (drip).

Untuk skala jangkitan / keradangan pula, ia bergantung sama ada sakit tekak tersebut membawa kepada komplikasi atau tidak. Contohnya sakit tekak yang kerap menyebabkan tonsil membengkak dan seterusnya menyebabkan tidur berdengkur dan nafas terhenti semasa tidur, maka ia adalah merbahaya. Ini kerana ‘obstructive sleep apnea’ ini akan menyebabkan komplikasi lain seperti darah tinggi, kencing manis dan kemalangan jalan raya akibat tertidur semasa memandu.  Sakit tekak disebabkan oleh jangkitan pada epiglotis juga adalah bahaya kerana ia boleh menyebabkan sekatan pada saluran pernafasan seterusnya menyebabkan pesakit mengalami kekurangan oksigen.

Sakit tekak yang disebabkan ketumbuhan kanser pula perlu diberi perhatian yang segera dan perlu dirujuk kepada pakar ENT.

 

Nota: Soalan ini berkisar kepada tahap kesakitan yang dialami, serta potensi untuk individu diserang penyakit ini untuk maut.

 

 

6.  Bilakah waktu yang tepat untuk individu yang disyaki diserang sakit ini untuk bertemu doktor atau pengamal perubatan?

Sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan virus biasanya akan reda dengan sendiri dalam beberapa hari. Namun sekiranya sakit tekak itu semakin bertambah teruk, bengkak pada kelenjar leher dan demam yang tinggi, pesakit perlu mendapatkan rawatan dengan berjumpa doktor.

<pstyle=”font-weight: 400;” align=”justify”>Individu disarankan untuk berjumpa doktor dengan segera sekiranya terdapat sakit tekak yang serius sehingga kesukaran menelan, kesusahan bernafas, sukar membuka mulut, perubahan pada percakapan dan suara, demam yang tinggi, air liur bercampur darah, darah ketika meludah, sakit telinga (referred pain), dan sakit tekak yang berpanjangan.

Doktor akan bertanya tentang sejarah sakit tekak dan membuat pemeriksaan selain mengenalpasti punca sakit tekak tersebut. Rawatan akan diberikan bergantung kepada diagnosis dan punca sakit tekak tersebut yang mana rawatan boleh dibahagikan kepada rawatan akut dan rawatan berterusan untuk punca sakit tekak tersebut. Sekiranya sakit tekak disebabkan oleh ketumbuhan, pesakit akan dirujuk ke pakar ENT untuk sampel tisu diambil.

Sakit tekak yang berulang dan berpanjangan juga perlu mendapat rujukan ke pakar ENT.

 

7.  Apakah kaedah rawatan konvensional yang boleh memulihkan penyakit ini?

Rawatan sakit tekak adalah bergantung kepada diagnosis and punca sakit tekak tersebut. Selain itu, rawatan juga boleh diberi berdasarkan gejala yang dihadapi semasa sakit tekak. Pengambilan paracetamol untuk demam, ubat selsema bagi rawatan selsema dan ubat kumur, spray tekak atau hisap (lozenges) bagi mengurangkan keradangan dan meredakan sakit tekak adalah antara rawatan gejala yang boleh diberikan. Antibiotik hanya diberikan sekiranya punca sakit tekak tersebut adalah dari jangkitan bakteria.

Bagi sakit tekak yang teruk sehingga sukar menelan yang menyebabkan pengurangan pengambilan makanan dan minuman perlulah mendapat rawatan doktor yang mana doktor akan melihat samada rawatan dengan memasukkan drip intravena perlu atau tidak sekiranya terdapat dehidrasi. Bagi pesakit kanak-kanak, pengukuran tahap dehidrasi adalah sangat penting. Untuk pesakit yang sukar menelan, antibiotik akan diberikan secara suntikan intravena sekiranya perlu.

Selain dari rawatan akut, iaitu rawatan semasa sakit tekak, faktor risiko penyebab sakit tekak tersebut perlu dirawat. Contohnya sekiranya penyebab atau faktor risiko sakit tekak adalah disebabkan oleh alahan hidung, maka rawatan alahan hidung perlu diberi seperti dengan pemberian ubat makan alahan dan spray steroid intranasal. Mengenalpasti punca alahan dengan menjalankan ujian alahan juga perlu dilakukan agar pesakit boleh mengelakkan alahan tersebut.

Rawatan pembedahan tonsils akan dicadangkan sekiranya pesakit mendapat sakit tekak (tonsillitis) secara berulang dan kerap selepas mendapat rundingan pakar ENT. Gejala halangan seperti berdengkur dan masalah pernafasan tidur merupakan salah satu indikasi pembedahan tonsil. Selain itu, sekiranya terdapat nanah (pertonsillar abscess / quinsy) pembedahan mengeluarkan nanah adalah perlu selain pemberian antibiotik.

Sekiranya diagnosis sakit tekak adalah ketumbuhan, rawatan adalah bergantung kepada jenis, tahap dan lokasi ketumbuhan tersebut.

 

8.  Apakah tips kepada masyarakat untuk pastikan mereka bebas dari penyakit ini?

Mengenalpasti punca dan faktor risiko adalah salah satu dari cara untuk mengelakkan sakit tekak dari berulang. Amalan hidup yang sihat dan menjaga kebersihan adalah salah satu cara bagi mengelakkan jangkitan kuman pada saluran pernafasan. Mengelakkan diri dari orang yang mempunyai selsema, batuk, demam dan sakit tekak akan mengurangkan risiko mendapat jangkitan virus atau bakteria.

Penggunaan antibiotik dengan sewenang-wenangnya hendaklah dielakkan kerana penggunaan antibiotik yang tidak mengikut indikasi ini akan menyebabkan keberkesanan antibiotik terhadap bakteria menurun.

GAGAP DI KALANGAN KANAK-KANAK

30 Nov 2021 Artikel
Pensyarah / Pakar Otorinolaringologi
KONSULTAN TELINGA, HIDUNG & TEKAK (ENT)
PUSAT PERUBATAN UKM

 

PENYAKIT GAGAP DI KALANGAN KANAK-KANAK

1. Boleh doktor terangkan latar belakang penyakit ini?

Gagap atau ‘stuttering’ merujuk kepada permasalahan komunikasi yang lancar. Secara harfiahnya, tidak wujud seseorang yang boleh berkomunikasi lancar tanpa satu cela dalam menyempurnakan ayat ketika bertutur. Cuba anda perhatikan, adalah biasa untuk mendengar seseorang menyelitkan suku kata seperti “umm” atau “err” dalam pertuturan harian. Ini membentuk satu bentuk ayat pertuturan yang tidak lancar. Di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun, “developmental stuttering” atau gagap ketika proses perkembangan bahasa adalah normal disebabkan pendedahan pada kemahiran baru. 60-70% penghidap gagap dapat bertutur lancar apabila mencapai usia remaja, 80% hilang gagap apabila dewasa. Walaubagaimanapun, jika kelancaran pertuturan terus terganggu oleh sebutan yang berulang-ulang, tersekat-sekat atau panjang harakahnya, adalah penting untuk mendapatkan perhatian pakar. Masalah gagap boleh muncul setiap kali seseorang bertutur atau hanya pada waktu dan sebutan tertentu. Ia merupakan masalah yang signifikan bukan sahaja kepada penghidap juga pendengar.

2. Dari sudut sejarah, bilakah penyakit ini pertama kali dikesan ke atas manusia?

Terdapat laporan di mana masalah gagap dikenalpasti seawal abad ke-10. Pada zaman purba Egypt, penemuan dalam bentuk hieroglif yang diterjemahkan kepada kata nama ‘nitit’ dan ‘ketket’yang membawa maksud penyampaian yang sering berulang atau berterusan. Pengkarya Greek purba juga menterjemahkan masalah gagap ketika zaman mereka sebagai satu gangguan pertuturan. Lebih menarik, mereka mengaitkan setiap penyakit termasuk masalah gagap dengan humorisme (cairan) badan dan konsep ‘soul’ (jiwa). Seterusnya, mengikut peredaran zaman, gagap ditauliahkan sebagai satu masalah kelancaran pertuturan (fluency) yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

3. Apa punca seseorang diserang penyakit ini?

Masalah gagap biasanya dikelaskan kepada gagap disebabkan perkembangan bahasa (developmental stutter) dan gagap neurogenik. Jenis pertama didapati di kalangan kanak-kanak dalam usia pengembangan skil bertutur dan bahasa. Para penyelidik percaya ianya dipengaruhi oleh pengembangan pesat skil ini terutama pada usia 3 tahun pertama kelahiran yang tidak dapat dipenuhi disebabkan ketidakmatangan keupayaan bertutur seorang kanak-kanak. Ini menghasilkan pertuturan yang tidak lancar atau gagap. Walaubagaimana pun, adalah sangat penting untuk memastikan kebolehan mendengar seseorang kanak-kanak adalah optimum untuk memastikanskil bertutur dan bahasa ini berkembang. Ini kerana, jika ada gangguan pendengaran, skil penting ini akan terencat. Isu kelancaran bertutur bukan sahaja pasti berlaku, malah terencat mengakibatkan komunikasi vokal sangat terbatas. Faktor genetik juga dilaporkan boleh menyumbang kepada gagap. Satu kajian pada tahun 2013, mendapati kanak-kanak lelaki yang gagap dari usia kurang 3 tahun dengan sejarah keluarga yang positif boleh terus gagap jika gangguan ini berlanjutan lebih 12 bulan dan tidak dirawat. Gagap neurogenik boleh berlaku selepas strok, jangkitan atau kecederaan otak selepas sesuatu trauma. Masalah kelancaran pertuturan ekoran punca ini biasanya lebih kompleks kerana keupayaan otak untuk mengkoordinasikan pertuturan terganggu. Selain bertutur, kefahaman bahasa, kebolehab menulis dan membaca juga terkesan. Gagap juga boleh berlaku disebabkan gangguan psikogenik. Sebab gagap jenis ini jarang diperhalusi. Ini disebabkan kesukaran untuk mengelaskan masalah pertuturan yang berlaku disebabkan oleh gangguan emosi psikologi atau dipengaruhi faktor fizikal psikosomatik. Walaubagaimanapun, gagap di kalangan kanak-kanak boleh menjadi satu ekspresi dari rasa mudah cemas, ketakutan yang tinggi atau trauma emosi yang berlarutan.

4. Apa simptom penyakit ini?

Ketidaklancaran pertuturan tidak terhad pada selitan bunyi “umm” atau“err” sahaja yang dilihat seperti satu trend bercakap gaya semasa. Mereka yang gagap akan mengulang berkali-kali sebahagian perkataan dalam sesuatu ayat (repetitions), menyebut satusuku kata dengan panjang (prolongations) atau mengalami kesukaran untuk menyebut perkataan yang sesuai (blocks). Gagap dikaitkan dengan perasaan “hilang kawalan diri” yang diterjemahkan melalui mekanisme defensif tanpa sedar. Contohnya, jika anda hampir tergelincir, otot-otot badan akan segera tegang secara refleks untuk mempertahankan diri atau bersedia dari kecederaan yang teruk. Seseorang yang bertutur gagap di khalayak ramai akan mengelip mata tanpa henti, atau mengelak bertentang mata malah mungkin melakukan rutin pergerakan kepala tertentu sebagai satu ekspresi defensif terhadap kehilangan kawalan diri semasa gagap. Ada juga yang akan mengelak menggunakan atau menggantikan perkataan tertentu supaya gagap tidak berlaku. Jika terus dibiarkan, masalah gagap boleh membawa kepada kurang keyakinan diri, masalah buli, penjarakan sosial yang berkekalan seterusnya gangguan kesihatan mental.

Ada juga tanggapan bahawa gagap berkaitrapat dengan masalah “ankyloglossia” (tongue tie) atau lebih dikenali masyarakat sebagai “lidah pendek”. Kanak-kanak didapati mengalami kesukaran meyebut suku kata tertentu atau pelat berpunca dari serat “frenulum” di dasar lidah yang pendek menyebabkan pergerakan lidah terhad. Ini juga akan mengganggu kelancaran pertuturan. Tiga ciri pertuturan gagap yang disebut di atas, tidak ketara dalam susun atur percakapan kanak-kanak dengan “ankyloglossia” malah mungkin tidak disedari ibu bapa. Ankyloglossia jenis teruk biasanya disedari apabila bayi atau kanak-kanak mengalami masalah ketika menyusu atau mengunyah makanan.

5.Boleh kongsikan statistik penyakit ini di Malaysia?

Kelaziman berlakunya masalah gagap pad  kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun adalah lebih tinggi berbanding populasi umum. Ini kerana lebih dari 70-80% kanak-kanak akan secara natural mengatasi gagap apabila mereka membesar. Walaubagaimanapun, diingatkan sejumlah kecil kanak-kanak didapati terus gagap sehingga usia dewasa jika tiada intervensi dilakukan. Secara spesifik, tiada laporan statistik tepat insidens gagap di Malaysia.

6. Boleh kongsikan statistik penyakit ini di peringkat global?

Di peringkat global, insidens masalah kelancaran pertuturan disebabkan gagapdilaporkan antara 5 -15%. Dalam sesuatu populasi, 1-1.5% mengalami gagap dengan kencederungan terhadap kanak-kanak lelaki. Di Amerika Syarikat, 2.5% kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun mengalami gagap, sementara di India adalah sebanyak 1.5%. Di Jepun, 0.82% kanak-kanak mengalami masalah sama. Variasi kelaziman gagap ini didapati hampir sama di negara-negara barat dan Asia. Statistik berkenaan gagap adalah perlu terutama berkenaan penilaian pandangan orang ramai terhadap masalah ini dan persekitaran sosial penghidap gagap untuk mewujudkan respon lebih kondusif dan masyarakat berkesedaran pada masa akan datang.

7. Rawatan penyakit ini?

Jika anda rasa wujudnya ciri-ciri gangguan kelancaran pertuturan pada anak anda, rujuk kepada pakar pemulihan pertuturan dan bahasa (SLP) di institusi berdekatan. Kenalpasti adakah wujud juga masalah lain termasuk masalah pendengaran, kecelaruan emosi dan tingkahlaku seperti autism, hiperaktif atau ketidakstabilanpsikologi kerana rujukan dan rawatan mungkin perlu melibatkanbeberapa displin berbeza seperti ENT,dan Pediatrik. Kanak-kanak gagap boleh dibantu dengan memberi sokongan melalui tips seperti berikut:

– Beri masa dan perhatian. Dengar apa yang ingin disampaikan anak dengan penuh minat. Tunjukkan ekspresi muka yang tenang dan bertentang mata dengannya. Elakkan memberi komen awal atau mimik yang kurang menyenangkan. Apabila selesai, respon dengan baik.

–  Serlah peluang. Kanak-kanak selepas generasi milenial dilihat lebih ekspresif dan kritikal. Tanya secara spesifik bagaimana cara untuk membantu. Pada satu ketika, kita mungkin berasa kasihan kerana anak mengalami kesukaran memesan makanan sendiri di kaunter tetapi pada ketika lain, adalah penting untuk si anak berasa “seperti di puncak” jika berjaya membuat pesanan tersebut sendiri.

–  Ayat mudah. Cuba sampaikan sesuatu arahan atau mulakan komunikasi dengan ayat yang pendek, berintonasi lembut dan lancar. Ini untuk menggelakkan wujudnya sisipan bebanan emosi dan paksaan.

–  Elakkan notasi negatif seperti “jangan”,“tidak boleh”,“salah” dan kurangkan bertanya soalan. Sebaliknya tunjukkan pada kanak-kanak bahawa tidak apa jika tersilap menyebut sesuatu. Terangkan pembetulan alternatif atau beri ayat pembuka dengan nada yang tenang. Beri komen yang efektif.

–  Teknologi. Beberapa tahun kebelakangan wujud kajian tentang kepenggunaan aplikasi moden dan ada yang sudah dikomersilkan. Walaupun laporan melibatkan keberkesanan aplikasi ini terhadap masalah gagap adalah terhad, opsyen ini semakin mendapat perhatian profesional dan kajian semasa masih dijalankan.

–  Luangkan masa. Wujudkan rasa kepunyaan (belonging) antara satu sama lain.

Harus diingat, kejayaan rawatan pemulihan gagap adalah merupakan hasil kerjasama penuh penghidap gagap, penjaga, persekitaran selain skil profesional pakar perubatan.

8. Tips mencegah penyakit ini?

Adalah tepat untuk meletakkan faktor kesedaran dan pemahaman tinggi terhadap masalah gagap sebagai langkah utama untuk mencegah ianya bertambah teruk sehingga melibatkan faktor sosial dan kesihatan mental. Pengetahuan bahawa gagap itu dikira patologikal, atau tidak lagi sebahagian daripada proses tumbesaran bahasa kanak- anak adalah titik utama. Namun, yang lebih kritikal adalah mengenalpasti bahawa deria pendengaran kanak-kanak tersebut adalah normal untuk mewujudkan potensi skil
pertuturan dan bahasa yang lancar berkadaran usia kerana deria ini terbentuk lebih awal dari dalam kandungan lagi. Ambil tindakan pada kerisauan yang wujud jika anda mendapati perkembangan pertuturan atau respon anak menunjukkan kelainan yang meragukan.

TERIMA KASIH

 

 

RUJUKAN

  1. Sibylle Brosch, Wolfgang Pirsig.(2001) Stuttering in history and culture. International Journal of Pediatric Otorhinolaryngology, Vol 59 :2: 81-87.

  2. Oliveira, C. M. C. d., et al. (2013). Risk factors for stuttering in disfluent children with familial recurrence. Audiology – Communication Research 18: 43-49.

  3. Nieto, Janae (2019) “Aphasia & Stutter Therapy: An Ailment Not to be Treated”. HonorsTheses. 2337.
  4. Gerlach H, Subramanian A and Wislar E (2020) Stuttering and Its Invisibility: Why Does My Classmate Only Stutter Sometimes?. Front. Young Minds
  5. Harun, Haryani& Chu, Shin Ying & Yaruss, J. & McConnell, Grace & Mohd. Ali, Manisah. (2020). Public Attitudes in Asia Toward Stuttering: A Scoping Review. The Open Public Health Journal. 12. 503-511.
  6. Mohd Fadzilah, Fazwa and Arshad, Noreen Izza, “Towards the Development of Criteria to Assess Stuttering Mobile Apps” (2017). PACIS 2017 Proceedings. 240.
  7. https://www.asha.org/public/speech/disorders/stuttering/

Kenali ‘teman tidur’ anda

30 Nov 2021 Artikel

 

Apa Itu pepijat?

Pepijat adalah antara serangga yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia. Infestasinya biasa berlaku di rumah kediaman, hotel, asrama, sekolah dan tempat perlindungan. Ia juga boleh ditemui di pusat jagaan, hospital, perpustakaan mahupun di dalam pengangkutan awam. Dengan kata lain, di mana ada manusia, di situ jugalah pepijat boleh ditemui.

Secara biologinya, pepijat merupakan serangga kecil penghisap darah yang berasal daripada genus Cimex. Terdapat dua spesies pepijat utama yang biasa menginfestasi manusia iaitu Cimex hemipterus dan Cimex lectularius. Walau bagaimanapun, hanya Cimex hemipterus yang biasanya ditemui di Malaysia yang beriklim tropika, manakala Cimex lectularius pula cenderung mendiami negara beriklim sederhana. 

Pepijat dewasa berukuran 4-7 mm panjang dan berwarna coklat kemerahan seolah-olah warna biji epal. Ia berbentuk bujur dan leper yang memudahkan mereka bersembunyi di dalam rekahan dan celah pada perabot, tilam dan dinding. Ia tidak mempunyai sayap dan tidak melompat, tetapi bergerak secara merangkak perlahan pada lantai, dinding, siling dan permukaan lain. 

 

Apakah kesan gigitan pepijat?

Pepijat bersifat nokturnal iaitu aktif menggigit dan menghisap darah manusia ketika tidur pada waktu malam. Kedua-dua pepijat jantan dan betina adalah penghisap darah tegar. Mereka menghisap darah dengan menusuk permukaan kulit menggunakan struktur seperti paruh yang memanjang. Bendalir liur pepijat mempunyai kesan pelali yang menyebabkan gigitannya tidak menyakitkan dan kesan gigitan hanya disedari beberapa jam selepas gigitan. Kebiasaannya, pepijat memerlukan masa antara 3 hingga 12 minit setiap kali menghisap darah. Kawasan yang biasa menjadi sasaran pepijat adalah permukaan kulit yang tidak dilitupi pakaian seperti pada bahagian muka, leher, tangan, belakang badan, kaki dan betis. 

Kerap kali gigitan pepijat dianggap sebagai gigitan serangga lain seperti nyamuk ataupun pinjal. Ini mengakibatkan infestasi pepijat pada sesuatu kawasan hanya disedari apabila infestasi berada pada tahap yang serius. Secara spesifiknya, gigitan pepijat akan menyebabkan kemunculan lesi kemerahan berukuran lebih kurang 5 hingga 20 mm berserta gelembung air di bahagian tengah. Tidak seperti nyamuk yang gigitannya tiada corak tertentu, kesan gigitan pepijat pula kebiasaannya hadir secara berturutan dalam garis lurus ataupun melengkung.

Setakat hari ini, belum dapat dibuktikan bahawa pepijat boleh menularkan sebarang penyakit kepada manusia. Walau bagaimanapun, bagi individu yang sensitif, gigitan pepijat mampu mengakibatkan kegatalan dan alahan yang teruk. Gangguan pepijat secara berterusan akan menjejaskan kualiti hidup dengan mengakibatkan ketidakselesaan dan gangguan tidur yang serius. Ini secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif kepada psikologi dan menjejaskan kesihatan emosi individu yang terlibat.

 

Bagaimana mengenalpasti infestasi pepijat?

Pepijat merupakan ‘pengembara’ yang cekap dan ini dilakukan dengan ‘menumpang’ pada bagasi, pakaian atau perabot yang dipindahkan daripada satu tempat ke tempat lain. Bagi sesuatu bangunan yang telah diinfestasi pepijat, pepijat mampu bergerak dari satu bilik ke bilik lain, malahan dari satu tingkat ke tingkat lain menerusi rekahan dan celahan yang terdapat pada lantai, dinding dan siling.

Pepijat tidak mempunyai sarang seperti semut ataupun lebah tetapi cenderung untuk berkumpul di tempat persembunyian seperti pada tilam, kotak simpanan, rangka katil, perabot dan celahan dinding. Tempat yang paling disukai adalah tempat di mana manusia berehat dan tidur seperti pada katil dan sofa. Kebiasaannya, kawasan yang diinfestasi pepijat akan ditandai dengan kesan kehitaman yang merupakan hasil kumuh pepijat yang telah mengering. Kehadiran telur dan kelongsong nimfa juga boleh dikesan menandakan berlakunya infestasi aktif di sesuatu kawasan. Selain itu, kehadiran kesan darah kering pada cadar atau tilam pada pagi hari juga boleh menjadi petunjuk berlakunya gigitan pepijat pada malam hari. Bau yang kurang menyenangkan juga boleh muncul bagi ruang atau premis yang mengalami infestasi yang teruk.

 

Bagaimana menghindari dan membasmi infestasi pepijat?

Menghindari dan membasmi pepijat adalah sesuatu yang sangat mencabar memandangkan pepijat mampu berhabitat pada banyak kawasan di dalam rumah. Langkah-langkah berikut boleh diambil bagi menghindari dan membasmi pepijat:

  1. Memastikan barang-barang dan perabot yang dibawa masuk ke rumah (terutamanya perabot terpakai) bebas daripada infestasi pepijat.
  2. Memeriksa secara teliti tempat persembunyian pepijat termasuk mengasingkan cadar dan tilam daripada kerangka katil.
  3. Lakukan pembersihan menggunakan vakum secara berterusan dan masukkan isi kandungan beg vakum ke dalam beg plastik yang bertutup sebelum dibuang.
  4. Membasmi tempat persembunyian pepijat dengan menampal dan membaiki rekahan pada dinding, perabot dan sebagainya.
  5. Pakaian dan cadar yang diinfestasi pepijat perlu dibasuh dengan air panas sekurang-kurangnya pada suhu 60oC bagi membunuh pepijat.
  6. Racun serangga yang bersesuaian perlu digunakan untuk merawat kawasan yang diinfestasi pepijat. Rawatan ulangan dan khidmat syarikat kawalan serangga perosak adalah perlu terutamanya bagi kediaman yang mengalami infestasi yang teruk.

Rupa bentuk pepijat jantan (kiri) dan pepijat betina (kanan) di bawah pembesaran menggunakan mikroskop
Gambar daripada koleksi Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan UKM

Model pepijat untuk tujuan pameran dan pengajaran
Gambar daripada koleksi Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan UKM
1 2

Search

+