CHERAS, 29 November 2023 – Majlis Perasmian Sambutan Hari Radiografi Sedunia Peringkat UKM dan Pelancaran Sistem Pacs Synapse telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Hanita Othman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan) mewakili Pengarah HCTM di Lobi Utama, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM). Hari Radiografi Sedunia disambut pada 8 November pada setiap tahun bagi memperingati penemuan x-ray oleh Professor Roentgen pada 8 November 1895.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Perkhidmatan Radiologi HCTM dengan kerjasama 8 Pusat Tanggungjawab iaitu Bahagian Teknologi Maklumat KKL, Jabatan Radiologi HPKK, Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Jabatan Pengimejan Molekul & Perubatan Nuklear, Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, Unit Radiologi, Pusat Kesihatan Universiti, Unit Radiologi Jabatan Diagnostik Kraniofasial dan Biosains Fakulti Pergigian dan Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi Fakulti Sains Kesihatan. Bertemakan Celebrating Patient Safety, keselamatan pesakit menjadi keutamaan dalam mengurangkan tahap radiasi dalam setiap pemeriksaan dan prosedur Radiologi yang dijalankan.
Prof. Madya Dr. Hanita berkata pihak pengurusan sentiasa menyokong program seumpama ini dan percaya ianya akan memberikan peluang untuk pihak yang terlibat berinteraksi dan disajikan dengan pengetahuan baru yang lebih mendalam mengenai perkhidmatan dan peluang pembelajaran yang ditawarkan UKM.
Beliau berkata gabungan jabatan-jabatan dan unit-unit yangberkaitan dan sinonim dengan perkhidmatan dan pembelajaran dalam bidang radiologi secara keseluruhannya dari UKM ini, akan meningkatkan lagi peluang untuk masyarakat mengetahui dengan lebih dekat lagi jenis perkhidmatan dan peluang pembelajaran dalam bidang radiologi.
“Aktiviti telah disusun oleh pihak penganjur sepanjang program ini berlangsung amat menarik dan salah satu aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan payudara dan ultrasound percuma untuk komuniti masyarakat di sekitar yang hadir ke program pada hari ini.
“Kanser payudara, barah utama yang menjadi penyebab utama kematian wanita yang telah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 34.1 peratus berbanding kanser lain di kalangan wanita di Malaysia adalah satu penyakit yang perlu diberikan perhatian kerana kadar insiden kanser payudara di Malaysia ini adalah sebanyak 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita,” katanya.
Majlis Sambutan Hari Radiologi juga akan melancarkan Sistem PACS Synapse iaitu satu sistem penstoran dan pengurusan imej berteknologi canggih dan terkini berasaskan web. Sistem ini digunakan dalam bidang perubatan bagi memudahkan proses penyimpanan dan perkongsian imej perubatan secara pantas dan cekap. Teknologi yang ditawarkan ini meningkatkan tahap capaian imej yang pantas dengan menggunakan teknologi penstriman secara terus dalam masa nyata. Teknologi ini juga akan meningkatkan keselamatan siber bagi capaian imej kerana imej perubatan yang sensitif tidak di simpan di dalam penstoran setempat.
Capaian imej perubatan dapat diperolehi dengan lebih cepat dan teratur yang dapat membantu pakar dalam memberi diagnosis penyakit dengan lebih cekap, efisien dan tepat bersesuaian dengan moto HCTM ‘Better, Faster and Friendlier’. Kemudahan ini banyak memberikan manfaat kepada pesakit dan perawat dalam memastikan diagnosis yang paling tepat, sekaligus rawatan yang berkesan, terbaik dan kos efektif dapat diberikan.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Prof. Madya Datin Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Ketua Jabatan Radiologi, Ketua-ketua Jabatan dan Warga HCTM.