Majlis Perasmian Seminar “Development Of A National Health Insurance: Roles And Functions In Supporting Universal Health Coverage In Middle Income Countries”
Majlis Perasmian Seminar “Development Of A National Health Insurance: Roles And Functions In Supporting Universal Health Coverage In Middle Income Countries” yang dianjurkan oleh Asia Pacific Network for Health Systems Strengthening (ANHSS) dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 14 Oktober 2025 (Selasa) bertempat di Dewan Khalid Kadir, HCTM.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur, UKM. ANHSS, sebuah rangkaian yang merangkumi sembilan institusi bersama World Bank Institute, telah beroperasi lebih 15 tahun dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan di rantau Asia melalui pertukaran ilmu dan pembangunan kapasiti.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa di Asia, penjagaan kesihatan diiktiraf sebagai hak asasi manusia. Usaha memperjuangkan perlindungan kesihatan sejagat sedang giat dijalankan meskipun berdepan dengan cabaran kos yang tinggi serta kekangan tenaga kerja. Beliau juga menekankan pencapaian positif dalam prestasi kesihatan di Asia Tenggara yang perlu dipertahankan dan diperkukuh. Selain itu, beliau menyatakan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan, akan memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan masa hadapan, namun penggunaannya harus dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan ketidaksamaan dan berat sebelah yang tidak diingini.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Prof. Dr. Laksono Trisnantoro, Pengarah Fakulti Perubatan, Kesihatan Awam dan Kejururawatan, Universitas Gadjah Mada, Indonesia merangkap Pengerusi Seminar; YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM; YBhg. Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), wakil Dekan Fakulti Perubatan UKM; YBhg. Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Dekan Pusat Pengajian Citra Universiti merangkap Pengerusi ANHSS Malaysia; YBhg. Prof. Dr. Azimatun Noor Aizuddin, Ketua Pusat Informatik Kesihatan; pegawai-pegawai kanan dan peserta-peserta seminar.










