Perhimpunan Kakitangan HCTM Bil.2/2026: Perkukuh Kebersamaan, Raikan Kecemerlangan Warga
Dalam ucapannya, Pengarah HCTM, Dato’ Dr. Azmi Baharudin, menzahirkan penghargaan atas dedikasi warga kerja yang memacu pelbagai pencapaian hospital sepanjang tahun 2026, merangkumi aspek inovasi perubatan, kelestarian, kejayaan serta naik taraf kemudahan dan sistem digital demi keselesaan pesakit. Mengakhiri amanat tersebut, seluruh warga kerja turut diseru agar terus mengamalkan pengurusan sumber secara berhemah tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, khususnya menjelang sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun HCTM pada Julai 2027.
"Kita mungkin tidak mampu mengubah segala-galanya dalam sehari, tetapi setiap hari kita mempunyai peluang untuk menjadikan HCTM lebih baik daripada semalam. Bekerjalah dengan hati, berkhidmatlah dengan jiwa dan tinggalkanlah legasi yang bermakna. Kerana akhirnya, kejayaan HCTM bukan kejayaan seorang Pengarah, bukan kejayaan sesebuah jabatan, tetapi kejayaan kita semua," tegas beliau.
Selesai sesi ucapan tersebut, majlis diteruskan dengan sesi pelantikan dan penyerahan sijil kepada barisan juruacara rasmi HCTM sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam mengendalikan acara rasmi hospital. Kemuncak majlis turut diserikan dengan pelancaran video korporat rasmi HCTM yang memaparkan identiti, kecemerlangan perkhidmatan serta hala tuju hospital pengajar.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19g71ARAXT/
HCTM Anjur Sambutan Hari Integriti 2026: Pupuk Nilai Integriti, Ketelusan dan Amanah dalam Perkhidmatan Kesihatan
Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, integriti merupakan asas utama kepada keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam, khususnya dalam sektor perkhidmatan kesihatan. Menurut beliau, integriti di peringkat hospital dizahirkan menerusi kejujuran pentadbiran, ketelusan pengurusan sumber, keadilan perkhidmatan tanpa mengira latar belakang pesakit, serta amanah dalam memelihara nyawa dan maruah insan.
“Di HCTM, setiap hari kita memikul amanah yang besar termasuk menjaga kerahsiaan maklumat peribadi pesakit, harta benda dan wang tunai milik pesakit, mengurus peruntukan awam serta memelihara kepercayaan keluarga yang menyerahkan insan tersayang kepada penjagaan kita. Sebarang keputusan yang tidak telus atau tindakan yang tidak beretika boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan.
Sambutan pada kali ini disemarakkan dengan pelbagai program interaktif yang diadakan bermula 21 Oktober hingga 5 November 2026. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Pertandingan Kreativiti Poster AI Integriti, aktiviti media sosial seperti Teka Peribahasa dan Video Pendek Integriti, serta Kursus “Pandu Citra: Memacu Integriti Profesional”.
Acara kemuncak sambutan menampilkan sesi Ucaptama Integriti bertajuk "Integriti Bertunjang Ilmu: Mantap Diri, Kukuh Organisasi" yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), YBhg. Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. Kehadiran mantan Timbalan Ketua Polis Negara yang juga alumni UKM itu disifatkan amat bermakna dalam memberikan perspektif mendalam berkenaan cabaran integriti, risiko penyalahgunaan kuasa, dan kepentingan memelihara kepercayaan rakyat.
Majlis turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Marina Mat Baki; wakil Pengarah Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK UKM), YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Halim Abd Rashid; wakil Pengarah Pusat Integriti dan Ombudsman UKM, Encik Seng Chuan Din Wan; Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HCTM selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Encik Mursidi Ahamad; serta barisan pegawai kanan dan warga HCTM.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19kiPcjqWH/
HCTM Perkasakan Kesejahteraan Warga Emas Komuniti PPR Desa Tun Razak Menerusi Karnival Kesihatan
Inisiatif program jangkauan komuniti ini dianjurkan oleh Unit Kesihatan Awam HCTM dengan kerjasama Jabatan Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan UKM, Pejabat Kesihatan Cheras, Persatuan Penduduk PPR Desa Tun Razak serta rakan strategik seperti Malaysian Relief Agency (MRA), Politeknik METrO, Projek Pondok Rahmat bagi mendekatkan perkhidmatan dan promosi kesihatan kepada masyarakat setempat.
Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dalam ucapannya semasa majlis penutup, menekankan bahawa Malaysia kini sedang menuju ke arah negara menua. Walau bagaimanapun, data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2025 menunjukkan hanya 14.7 peratus warga emas mencapai status penuaan sihat, manakala hampir 85 peratus hidup dengan sekurang-kurangnya satu penyakit kronik. Senario ini menuntut masyarakat untuk mengubah pemikiran daripada sekadar meniti usia kepada menua secara sihat, aktif dan sejahtera.
Bagi mencapai matlamat tersebut, tiga teras utama pengurusan kesihatan telah ditekankan. Teras pertama ialah amalan pemakanan sihat dan mesra bajet, di mana pengawasan pengambilan gula, garam, dan minyak serta pengutamaan serat dapat membantu mengawal penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Teras kedua pula memberi fokus kepada kesihatan mental dan pencegahan demensia. Beliau menarik perhatian terhadap laporan kebangsaan yang menunjukkan 9.8 peratus warga emas mengalami demensia dan kira-kira 770,800 orang (18.8 peratus) tinggal bersendirian. Sementara itu, teras ketiga menekankan kepentingan saringan kesihatan awal di peringkat komuniti.
Selain aktiviti saringan dan ceramah, program ini turut memperlihatkan keprihatinan sosial menerusi inisiatif Ziarah Kasih. Pasukan sukarelawan dan pakar perubatan HCTM menyantuni pesakit terlantar serta warga emas dengan menyampaikan Pek Jagaan Kesihatan yang mengandungi lampin pakai buang, blue sheet dan susu nutrisi, di samping pengagihan Bakul Makanan Sihat kepada ketua isi rumah B40.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1HxrBuWHR9/
HCTM Terima Sistem Terapi Oksigen Aliran Tinggi
Sistem perubatan ini merupakan teknologi terapi oksigen aliran tinggi melalui kanula nasal yang membekalkan oksigen yang dipanaskan dan dilembapkan secara terkawal. Teknologi ini berpotensi mengekalkan pengoksigenan pesakit sepanjang prosedur, terutamanya bagi prosedur endoskopi yang memerlukan pemantauan rapi terhadap status pernafasan. Penggunaannya dilaksanakan berdasarkan penilaian klinikal, kesesuaian pesakit dan jenis prosedur yang dijalankan.
Penerimaan teknologi ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam memperkukuh infrastruktur perubatan moden, menyokong amalan klinikal berasaskan bukti serta meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan endoskopi untuk menghadapi keperluan penjagaan pesakit yang semakin kompleks.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan institusi hospital pengajar dalam meneroka dan mengadaptasi inovasi perubatan demi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan pesakit serta kecemerlangan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/18Uns6uLNX/
HCTM Terima Stroke Rehabilitation Certification (Advanced Level) oleh World Stroke Organisation (WSO) di Seoul, Korea Selatan
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah dan terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan negara apabila menjadi Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama yang menerima Stroke Rehabilitation Certification (Advanced Level) daripada World Stroke Organisation (WSO) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 23 Oktober 2026 yang lepas.
Inisiatif pensijilan oleh WSO ini mengiktiraf fasiliti kesihatan yang menyampaikan perkhidmatan rehabilitasi strok berkualiti tinggi, berstruktur, berasaskan bukti saintifik serta berpusatkan pesakit. Pengiktirafan tahap Advanced Level ini membuktikan HCTM memiliki kepakaran rehabilitasi strok yang tinggi, aktif dalam penyelidikan serta menyumbang secara mendalam kepada pendidikan, latihan kepakaran dan program mentoring.
Pensijilan ini merangkumi penilaian komprehensif terhadap 55 indikator utama iaitu 9 Indikator Peringkat Perkhidmatan yang merangkumi penambahbaikan kualiti, penyelidikan, pemantauan pencapaian, pembangunan kakitangan, dokumentasi dan komunikasi bersama pesakit dan 46 Indikator Penjagaan Pesakit yang merangkumi pelaksanaan rehabilitasi berasaskan kerjasama berpasukan, penetapan sasaran rehabilitasi, pengurusan komplikasi dan sokongan penyertaan pesakit dalam komuniti.
Pengiktirafan baharu ini melengkapkan pensijilan Advanced Level WSO Stroke Care Centre yang diterima HCTM sebelum ini memberi penekanan kepada rawatan fasa akut, pensijilan rehabilitasi ini pula memastikan kesinambungan penjagaan pesakit dari fasa pesakit dalam (inpatient), pesakit luar (outpatient), sehinggalah pesakit kembali berintegrasi dalam komuniti.
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan HCTM dalam menyediakan perkhidmatan rawatan dan rehabilitasi strok yang holistik, berimpak tinggi dan bertaraf dunia demi kesejahteraan masyarakat.
Galeri Foto:
TASKA HCTM Rai Graduan Cilik Tahun 2026
Dalam ucapan perasmiannya, Encik Mursidi menekankan bahawa pendidikan awal merupakan fasa kritikal dalam membina asas perkembangan kanak-kanak. Beliau menjelaskan bahawa pada peringkat ini, kanak-kanak bukan sahaja belajar asas akademik seperti mengenal huruf dan nombor, malah dibimbing untuk berkomunikasi, mengurus emosi, berdikari serta membina keyakinan diri sebagai persediaan melangkah ke alam persekolahan.
"Kejayaan anak-anak pada usia ini tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut dilihat melalui keberanian mencuba, kesediaan berkongsi, dan kesungguhan belajar daripada pengalaman," ujar beliau.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu serta seluruh warga pendidik TASKA HCTM atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menjayakan majlis tersebut disamping dedikasi mereka yang berterusan terhadap perkembangan anak-anak didik TASKA.
Beliau berharap agar pengalaman dan kenangan manis sepanjang berada di TASKA HCTM akan menjadi bekalan berharga buat anak-anak graduan untuk membesar sebagai individu yang yakin, berdikari, berdaya tahan dan berakhlak mulia pada masa hadapan.
Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/19F8JsedHM/








