HCTM Perkukuh Budaya Kerja Berkualiti Melalui Audit Pensijilan 5S/QE 5.0

27 Nov 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan tiga orang penilai bagi pelaksanaan Audit Pensijilan 5S/QE 5.0 yang berlangsung pada 25 November 2026. Sesi pembukaan audit telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan) HCTM yang dalam ucapannya menekankan kepentingan pembudayaan amalan 5S/QE 5.0 sebagai salah satu usaha berterusan dalam memperkukuh kecekapan pengurusan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran kerja yang bersih, teratur, selamat dan kondusif.

Pasukan penilai yang terdiri daripada tiga orang pegawai diketuai oleh Encik Firdaus Ishak dengan dibantu oleh Puan Ati Djam Seri Montoi dan Cik Syaza Yasmin Jafari. Sepanjang pelaksanaan audit, pasukan penilai telah membuat penilaian di beberapa kawasan dan zon terpilih sekitar HCTM, antaranya Jabatan Kualiti, Jabatan Farmasi, Jabatan Khidmat Pelanggan, Klinik Virtual dan Pusat Teknologi Digital, Kampus Kuala Lumpur.

Pelaksanaan audit ini merupakan platform untuk menilai tahap pematuhan terhadap kriteria pensijilan 5S/QE 5.0, di samping mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memastikan amalan persekitaran kerja berkualiti dapat dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.

Turut hadir bersama Dr. Noor Asyikin Jasni, Ketua Jabatan Kualiti, Encik Muhammad Khairi Khalis, Pengerusi Jawatankuasa 5s, Pegawai- pegawai Kanan UKM, ketua- ketua zon dan fasilitator.


Galeri foto:  https://www.facebook.com/share/p/18xc9yviQt/

Search

+