HCTM Perkasakan Kesejahteraan Warga Emas Komuniti PPR Desa Tun Razak Menerusi Karnival Kesihatan

2 Nov 2026 2026, Berita

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mendampingi masyarakat menerusi penganjuran Karnival Warga Emas dan Hari Bersama Komuniti PPR Desa Tun Razak 2026 yang berlangsung di PPR Desa Tun Razak hari ini.

Inisiatif program jangkauan komuniti ini dianjurkan oleh Unit Kesihatan Awam HCTM dengan kerjasama Jabatan Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan UKM, Pejabat Kesihatan Cheras, Persatuan Penduduk PPR Desa Tun Razak serta rakan strategik seperti Malaysian Relief Agency (MRA), Politeknik METrO, Projek Pondok Rahmat bagi mendekatkan perkhidmatan dan promosi kesihatan kepada masyarakat setempat.

Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM dalam ucapannya semasa majlis penutup, menekankan bahawa Malaysia kini sedang menuju ke arah negara menua. Walau bagaimanapun, data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2025 menunjukkan hanya 14.7 peratus warga emas mencapai status penuaan sihat, manakala hampir 85 peratus hidup dengan sekurang-kurangnya satu penyakit kronik. Senario ini menuntut masyarakat untuk mengubah pemikiran daripada sekadar meniti usia kepada menua secara sihat, aktif dan sejahtera.

Bagi mencapai matlamat tersebut, tiga teras utama pengurusan kesihatan telah ditekankan. Teras pertama ialah amalan pemakanan sihat dan mesra bajet, di mana pengawasan pengambilan gula, garam, dan minyak serta pengutamaan serat dapat membantu mengawal penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Teras kedua pula memberi fokus kepada kesihatan mental dan pencegahan demensia. Beliau menarik perhatian terhadap laporan kebangsaan yang menunjukkan 9.8 peratus warga emas mengalami demensia dan kira-kira 770,800 orang (18.8 peratus) tinggal bersendirian. Sementara itu, teras ketiga menekankan kepentingan saringan kesihatan awal di peringkat komuniti.

Selain aktiviti saringan dan ceramah, program ini turut memperlihatkan keprihatinan sosial menerusi inisiatif Ziarah Kasih. Pasukan sukarelawan dan pakar perubatan HCTM menyantuni pesakit terlantar serta warga emas dengan menyampaikan Pek Jagaan Kesihatan yang mengandungi lampin pakai buang, blue sheet dan susu nutrisi, di samping pengagihan Bakul Makanan Sihat kepada ketua isi rumah B40.


Galeri Foto: https://www.facebook.com/share/p/1HxrBuWHR9/

Search

+