Dua Juta Rakyat Malaysia Hidap Asma, Akses Inhaler Anti-Radang Kekal Keutamaan

5 Mei 2026 2026, Berita
‘Akses kepada inhaler anti-radang bagi semua pesakit asma kekal menjadi keperluan mendesak’ adalah tema Sambutan Hari Asma Sedunia 2026 bagi memastikan pengurusan penyakit kronik tersebut berada pada tahap optimum. Tema tersebut menjadi tunjang utama Sambutan Hari Asma Sedunia peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang dianjurkan melalui Pusat Perkhidmatan Endoskopi serta Pusat Jantung dan Paru-paru di Lobi Utama HCTM, hari ini.
Pengarah HCTM, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin berkata, statistik tahun 2024 menunjukkan asma kekal sebagai isu kesihatan awam yang signifikan dengan anggaran kira-kira dua juta penghidap di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 1.4 juta merupakan golongan dewasa manakala 500,000 lagi melibatkan kanak-kanak.
“Malah, pesakit yang menghidap rinitis alergi atau resdung turut dikenal pasti mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi untuk menghidap asma,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.
Beliau menjelaskan, walaupun terdapat pelbagai pilihan rawatan berkesan, beberapa kekangan utama seperti teknik penggunaan inhaler yang salah dan pendedahan kepada faktor pencetus masih menyumbang kepada kawalan penyakit yang kurang memuaskan.
Program berkenaan menekankan kepentingan penggunaan inhaler anti-radang, khususnya 𝘪𝘯𝘩𝘢𝘭𝘦𝘥 𝘤𝘰𝘳𝘵𝘪𝘤𝘰𝘴𝘵𝘦𝘳𝘰𝘪𝘥𝘴 sebagai rawatan asas dan tunjang utama dalam mengawal asma. Antara pengisian program adalah sesi ceramah bertajuk ‘Panduan Mudah Memahami & Mengawal Asma’ serta ‘Anjakan Paradigma Rawatan Asma’. Selain perkongsian pakar, program itu turut menampilkan sesi interaktif bersama pesakit asma kronik yang berkongsi pengalaman serta cabaran mereka dalam mendepani penyakit berkenaan bagi memberi inspirasi kepada pesakit lain.

Search

+