Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM

16 Mac 2026 2026, Berita
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat telah mengadakan Program Merendang Bersama Pengurusan HCTM pada 16 Mac 2026 bertempat di Ruang Galeri, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar, HCTM. Seawal jam 9.00 pagi, para sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja hospital mula berkumpul bagi menyediakan hidangan istimewa sempena menyambut kedatangan Syawal. Pelbagai aktiviti penyediaan rendang dijalankan secara bersama seperti memotong daging, meracik bawang, memasak rendang secara bergilir-gilir serta membungkus makanan. Suasana yang santai namun penuh kerjasama jelas memperlihatkan semangat gotong-royong dalam kalangan warga kerja HCTM, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan dan warga hospital. Sebanyak 700 pek rendang daging berjaya disediakan untuk diagihkan kepada warga kerja hospital. Seawal jam 3.00 petang, lokasi agihan mula dikunjungi warga kerja yang hadir untuk mendapatkan pek rendang sambil berkongsi kemeriahan menjelang sambutan Aidilfitri. Pengurusan HCTM yang hadir menjayakan program ini, YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), YBrs. Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), YBrs. Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), YBrs. Puan Suraya Abdul Hamid, Ketua Jabatan Kewangan dan YBrs. Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan.




Search

+