Pelancaran Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (KKPP) HCTM

20 Jan 2025 2025, Berita

Selaras dengan perubahan pentadbiran HCTM serta keperluan kepatuhan kepada perundangan, Dasar KKPP HCTM sedia ada perlu dikemaskini dan dihebahkan kepada seluruh warga dan pelanggan HCTM.

Dasar KKPP HCTM yang telah dikemaskini dengan beberapa penambahbaikan ini telah dilancarkan dalam Majlis Bicara HCTM: 45 Minit Bersama Pengarah. Majlis ini telah berlangsung pada 14 Januari 2025 bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM.

Sebagai simbolik pelancaran, Dasar KKPP HCTM yang baharu ini telah ditandatangani secara digital oleh YBhg. Dato’ Dr. Azmi Baharudin, Pengarah HCTM. Mengiringi pelancaran ini Prof. Madya Dr. Jamari Sapuan, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Surgeri), Dr. Zairul Azwan Mohd Azman, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), YBhg. Prof. Dr. Hamzaini Abdul Hamid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Diagnostik, Farmasi dan Sokongan), Encik Mursidi Ahamad, Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dan Puan Masrifah Zakaria, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, serta Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Dr. Khamsiah Nawawi.

Setiap jabatan perlu memastikan Dasar KKPP ini dibaca dan dipamerkan di jabatan masing-masing. Warga HCTM boleh merujuk dasar ini pada pautan dibawah:

Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (KKPP) HCTM

 

 

Ceramah Diabesiti : Pencegahan dan Kawalan

20 Jan 2025 2025, Berita

Pada 7 Januari 2025 yang lalu, UKKP telah menganjurkan satu ceramah berkaitan kesihatan yang bertajuk Diabesiti: Pencegahan dan Kawalan. Ceramah ini telah disampaikan oleh Profesor Dr. Norlaila Mustafa, Pakar Perunding Endokrinologi & Perubatan, Jabatan Perubatan HCTM bertempat di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, HCTM. Walaupun program ini dilaksanakan pada awal tahun, ia telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran seramai 204 orang kakitangan dari pelbagai jabatan.

Lawatan Penanda Aras Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Ke Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)

15 Jul 2024 2024, Berita

Satu lawatan penanda aras KKP ke Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah telah diadakan pada 4 Julai 2024. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Khamsiah Hj Nawawi selaku ketua UKKP dan disertai oleh semua kakitangan UKKP. Kunjungan UKKP ke MBMB telah diraikan dengan sangat baik oleh Puan Aznitah Ahmad, Jurutera Jabatan Teknologi Maklumat selaku Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MBMB dan En. Mohd Faizal bin Rashid, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Landskap & Pengindahan Bandaraya MBMB serta seluruh warga kerja MBMB.

Objektif utama lawatan adalah utk mendapatkan khidmat pandangan dan perkongsian pengalaman MBMB dalam pengurusan KKP. Ini adalah sebahagian dari pra-persediaan HCTM dalam menyertai Anugerah Cemerlang KKP Peringkat Kebangsaan yang akan datang. Banyak ilmu dan manfaat melalui taklimat dan sesi perkongsian pengalaman antara kedua-dua pihak telah diperolehi dalam lawatan ini.

 

Lawatan Penanda Aras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

6 Jun 2024 2024, Berita

Pada 24 Mei 2024 yang lalu, UKKP telah mengadakan lawatan penanda aras KKP ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan perkongsian pengalaman dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti pihak JKR Malaysia berkaitan aspek KKP di tempat kerja yang mendorong kejayaan mereka dalam memenangi Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan (OSH Award) pada tahun 2022.

Lawatan ini telah diketuai oleh Dr. Nora ‘Aini Ramly selaku Timbalan Ketua UKKP dan disertai oleh kakitangan UKKP. Kehadiran delegasi UKKP telah diraikan oleh Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat JKR, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Kualiti, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Hj. Abdul Rani bin Harun, serta beberapa orang kakitangan kanan JKR daripada pelbagai sektor. Selain taklimat ringkas berkenaan aktiviti KKP JKR Malaysia, delegasi UKKP juga telah dibawa melawat ke beberapa tingkat pejabat di bangunan Menara Kerja Raya.

 

Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Kontraktor dan Vendor Lantikan HCTM 2024

18 Mar 2024 2024, Berita

Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Kontraktor dan Vendor Lantikan HCTM 2024 telah diadakan pada 11 Mac 2024 bertempat di Auditorium ASSC, HCTM. Taklimat ini merupakan anjuran bersama Jabatan Pembangunan Prasarana KKL dan Jawatankuasa Keselamatan Persekitaran HCTM. Seramai 40 orang wakil syarikat dan vendor lantikan HCTM telah
menyertai taklimat ini. Pelbagai topik yang menekankan isu-isu berkaitan keselamatan, kesihatan dan persekitaran pekerjaan telah disampaikan oleh beberapa orang penceramah jemputan dari UKKP, Jabatan Pembangunan Prasarana KKL, Bahagian Keselamatan KKL dan Unit Kesihatan Awam HCTM.

BENGKEL PENGURUSAN INSIDEN: PENYIASATAN EFEKTIF

18 Mar 2024 2024, Berita

UKKP telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Insiden: Penyiasatan Efektif pada 27 Februari 2024 bertempat di Bilik Seminar 1, Aras 3, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM. Ini merupakan inisiatif UKKP dalam memastikan kakitangan HCTM mengamalkan budaya kerja selamat serta dapat mengawal risiko hazard di tempat kerja.

Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk membimbing kakitangan dalam melaksanakan penyiasatan insiden, memahami keperluan dan cara pencegahan kemalangan di tempat kerja serta membimbing kakitangan dalam menyediakan laporan kemalangan.

Penceramah bengkel yang dijemput adalah Ir. Nimi binti Ahmad, seorang konsultan yang terkenal dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. Pengisian bengkel adalah berbentuk ceramah interaktif, kuiz atas talian serta pembentangan kumpulan oleh para peserta.

Bengkel Pengurusan Keselamatan Kimia: Pengukuhan Peraturan USECHH 2000

18 Mar 2024 2024, Berita

UKKP dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil Kimia HCTM telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Keselamatan Kimia: Pengukuhan Peraturan USECHH 2000 pada 16 Januari 2024 bertempat di Auditorium ASSC, HCTM.

Seramai 42 orang kakitangan yang terdiri dari para pengendali bahan kimia di HCTM telah menyertai bengkel ini. Objektif utama bengkel ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kompetensi kakitangan dalam mengurus dan mengendalikan bahan kimia dengan kaedah betul dan selamat, selaras dengan keperluan perundangan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 (Peraturan USECHH).

Bengkel selama satu hari ini telah diterajui oleh Dr. Wan Muhammad Zulhusni Abdul Halim, Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan dari OSHmed Solutions Sdn. Bhd. Selain dari pengisian berbentuk ceramah, latihan praktikal secara hands-on turut dilaksanakan oleh pasukan Dr. Zulhusni. Majoriti peserta memberi maklumbalas yang cukup baik tentang bengkel yang bermanfaat dalam aktiviti perkhidmatan mereka ini.

 

1 2 3 4 7

Search

+